Saya menunggu minggu ini untuk memperkatakan subjek yang masih berlegar dalam minda saya. Ia bersesuaian kerana tiga hari lagi akan ada lagi cuti awam. Kali ini bagi merai’kan Tahun Baru Cina.
Beberapa minggu lalu anak saudara saya yang bermestautin di negeri jiran berpesan pada ibunya yang minggu lepas berkunjung ke Negara Brunei Darussalam. Anak itu berumur sekitar lapan tahun. Pesannya pada ibunya untuk minta belikan di Brunei kepala singa. Bukan singa hidup. Tapi kepala singa yang digerakkan semasa tarian Singa dalam majlis-majlis sambutan Tahun Baru China. Kami ketawa mendengar pesanannya itu. Kanak-kanak lain seperumurannya biasanya berpesan benda-benda yang mudah untuk didapat. Atau sekurang-kurangnya minta belikan permainan elektronik yang harganya lebih murah di sini. Ini lain pula. Kepala Singa yang dihajati. Katanya di Brunei ada jual di kedai $1.80 sen. Maknanya anak itu sudah pernah terlihat benda yang ia minta belikan semasa melawat ke sini.
Bagaimana anak ini terpengaruh untuk minta belikan kepala singa, merupakan satu perkara yang boleh diamat-amati untuk difikirkan. Mungkin ia ingin untuk berlagak menarikan tarian singa. Ibunya tidak pula membangkitkan soal ini. Takut kalau itulah sebenarnya yang ada dalam hatinya pasti dia juga mau minta belikan gendang besar dan juga hand percussion.
Dulu kanak-kanak takut bila ada rombongan penari singa bekunjung ke rumah jiran orang cina. Bunyi gendang besar dan sentuhan percussionnya saja sudah menggetarkan jantung. Apa lagi bila melihat keolahan tarian dan lagak singa yang berdiri tinggi bagi menelan paket angpow yang dihulurkan oleh tuan rumah atau kedai yang dikunjungi. Kanak-kanak dulu lari bertempiaran. Berlainan dengan kanak-kanak sekarang. Mereka menyoal bagaimana singa mampu berdiri tinggi sedangkan di dalam badan puppet singa adalah manusia. Inilah barangkali persoalan yang ingin dipecahkan oleh anak saudara saya itu. Saya pernah terbaca di Singapura, penggerak (penari) kepala singa itu terdiri dari kanak-kanak Melayu. Ertinya tarian Singa tidak lagi dimonopoli oleh kanak-kanak berbangsa Cina.
Tarian Singa berkait rapat dengan budaya masyarakat Cina semasa menyambut Tahun Baru Cina. Tapi bagi anak kecil ini dia mungkin melihat dari sudut lain. Adapun tarian Singa itu menurut legendanya bermula semasa pemerintahan Dinasti Han iaitu kira-kira Abad ketiga sebelum Masehi.. Singa adalah lambang kekuatan, keberanian, kebolehan survival dan ketrampilan yang disegani, ditakuti dan dihormati dan lambang nasib baik. Yang sungguh menakjubkan, masyarakat lama tidak pernah melihat bagaimana bentuk singa. Adapun bermulanya cerita singa berpunca dari daerah Iran dan Afghanistan sekarang, di mana melalui perniagaan Jalans Sutera (Silk Road) yang masyhur itu singa hidup diserahkan sebagai hadiah kepada pemerintah. Sebab itu jika awda teliti rekabentuk singa mempunyai tanduk di tengah-tengah. Itu adalah imiginasi masyarakat silam tentang singa yang diperturunkan hingga sekarang.
Pada tahun Baru Cina juga diadakan Tarian Naga. Naga mempunyai berbagai ukuran. Ada 7 bahagian, 13, bahkan jika mampu sehingga 46 bahagian. Setiap bahagian memerlukan sekurang-kurangnya 4 orang penari. Untuk menghasilkan Tarian Naga perlu belanja besar. Nasib baik anak saudara saya itu tidak minta belikan kepala naga. Jika begitu mengapa perlu bersusah payah membelanjakan wang untuk membeli peralatan, membayar upah tenaga kerja dan penari-penari untuk mengadakan tarian naga ini? Apa ada di sebaliknya? Semua pergerakan naga dari kepala, badan dan ekornya memerlukan kerjasama dan disiplin yang tinggi dari semua penari dalam memainkan peranan masing-masing untuk meng"hidup"kan naga berkenaaan. Pergerakan bahagian-bahagian berbeza tetapi mempunyai satu irama dan satu rentak dengan pergerakan penari-penari lain.
Ini merupakan suatu peringatan. Menghormati dan mengiktiraf peranan dan pergerakan yang berbeza dari setiap individu dalam membentuk kesatuan, pergerakan, tindakan dan tujuan. Semua penari dan semua pergerakan sama penting, sama memerlukan satu sama lain.
Alangkah bagusnya bila pengajaran ini dimengerti oleh anak kemanakan saya itu. Malah juga oleh orang dewasa dan tidak melihat tarian Singa dan Naga sebagai tarian bising yang mempunyai irama dong-dong cai.
Kepada rakan yang merai’kan tahun Tikus, tahun ini, diucapkan Selamat Tahun Baru Cina.
1 comment:
Kepala singa mempunyai pengaruh yang semakin luas tanpa mengira perbezaan kaum di negara kita ni.lebih-lebih lagi kita sendiri dapat lihat, iklan di tv seperti iklan petronas menggunakan kanak-kanak yang bermain kepala singa walau hanya diperbuat dari kotak.
Dahulu kala, permainan kepala singa sangat sukar didapati dan harga pun boleh tahan juga. Semasa musim perayaan cina, saya sendiri pernah melihat ibu bapa membelikan anaknya puppet singa walaupun keluarga mereka berbangsa Melayu. Mungkin atas desakan anaknya juga ibu bapa sanggup membelikan anaknya kepala singa. Tidak hairanlah mungkin pengaruh tarian singa ini sangat menarik dan meluas dikalangan masyarakat kita ini.
Juga berkaitan kepala singa, kita tidak lupa pada gendangnya. Apabila menjelang musim perayaan cina, cuba pergi ke mana-mana kawasan sekolah. sudah tentu kita akan dapat mendengar bunyi gendangan, ketukkan, pukulan yang mempunyai unsur gendangan tarian kepala singa. Sekira berkesempatan, kita dapat melihat meja, pintu, dinding, kerusi, papan hitam akan menjadi mangsa bagi pelajar untuk membuat bunyi gendang hanya menggunakan genggaman tangan mereka. Tidak lupa di kawasan2 bandar, anak-anak yang bekerja di kedai kopi kadang2 kita dapat mendengar bunyi ketukkan melodi gendang cina akan dibuat oleh mereka. Manalah tahu, anak-anak di rumah kalian juga ada menyimpan ketagihan untuk mengetuk meja makan nanti.lihat dan nantikanlah...
Namun, tarian singa ini semakin berkurangan dan biasanya persatuan2 tarian singa ini lebih tertumpu di kawasan perumahan kos hidup tinggi dan di hotel2 bagi mengutip angpau untuk menampung persatuan mereka termasuklah sekolah kebangsaan cina.
Di Malaysia, sebarang pertunjukkan singa kita boleh cuba menjenguk manusia yang memegang kepala singa adalah orang berkulit gelap. Mereka boleh terdiri daripada anak Iban, anak Melayu atau seumpamanya kerana pada masa kini manalah ada anak-anak cina yang sanggup menari tarian singa pada musim perayaan. Sudah tentu anak2 bumiputera sanggup bagi mendapat ganjaran yang lebih pada musim tersebut.
Sekian sahaja kisah kepala singa daripada saya. cukuplah sekadar ini mana tahu pada masa akan datang kepala singa lebih sinonim dikalangan masyarakat dan pendedahannya lebih meluas dikalangan anak-anak.
Post a Comment