Thursday, August 19, 2010

BURUNG KAKAK TUA


Cerdik bersuara tapi tidak tahu apa yang diperkatakannya.

Awdapun tahu tentang sifat Burung Kakak Tua. Dia suka meniru suara orang walaupun mungkin tidak mengerti tentang apa yang ditiru. Begitu juga dengan kita manusia. Kita bak burung Kakak Tua terus mengikut lagu Burung Kakak Tua dari satu genarasi ke genarasi seterusnya.

Saya sendiri mengikuti lagu Burung Kakak Tua dari sejak kecil lagi. Seingat saya bila genarasi pop yeh yeh bangkit pada tahun 60an, lagu Burung Kakak Tua dipermodenkan mengikut rentak kesukaan ramai pada masa itu. Saya masih menyimpan piring hitam kumpulan Dara Puspita yang mempopkan lagu berkenaan.

Satu yang tidak berubah ialah lirik lagu itu. Sama ada lagu itu dinyanyikan oleh anak yang baru berumur dua tahun dan baru pecah-pecah biji untuk membentuk ayat yang betul sehinggalah lagu itu disampaikan oleh kumpulan band wanita yang tersohor dari Indonesia, Dara Puspita. Mereka mengekalkan lirik yang kurang lebih berbunyi Burung Kakak Tua, hinggap di jendela, nenek sudah tua, giginya tinggal dua.

Biasa bukan awda mendengarnya ? Sekali lalu memang melucukan. Dan itulah barangkali yang ingin dicapai oleh menulis asal lirik lagu itu. Namun zaman sudah berubah. Kalau dulu tahun 60an awda muda dan mahu berlelochon dengan orang tua. Sekarang awda sudah menjadi orang tua atau sekurang-kurangnya orang dewasa. Bila mendengar lagu itu dalam lirik yang asal perasaan awda tersentuh.
Sejak kecil sudah anak-anak di ajar untuk mempersendakan orang tua. Apa lagi bila dewasa kelak. Lama kelama lirik semudah ini boleh menjadi agen pembentuk jurang genarasi yang kita cuba elakkan antara orang muda dan orang tua.

“Syukurtah kitani yang sudah berumur ini masih inginkan bahaum-haum. Itu tandanya kita masih alert. Keupayaan kita berfikir dan bergerak masih ada. Dan bahkan ia menandakan bahawa kita yang dalam usia lepas zuhur masuk asar membawa ke senja ini masih lagi bertenaga.

Dengan masih bertenaga itu kita masih juga kuai-kuai yang tentu menyenangkan hati anak cucu melihatnya. Sebab kita tahu mereka itu bimbang kalau-kalau kita ini jatuh sakit. Lebih-lebih lagi kalau kita tiba-tiba nuhun.Kalau kita sakit dan uzur mereka akan susah menjaga. Kalau kita nuhun mereka bukan sahaja akan kehilangan bahkan juga keunjaran.

Ada kalanya kita rasakan aneh dengan keolahan mereka. Memang orang dalam peumuran kita ini mudah tersentuh, sensitif. Tidak apa kalau kita setakat sedih dan tidak sampai merajuk. Tidak apa juga kalau kita setakat marah dan tidak sampai mengutuk-ngutuk. Kalau orang tua macam kita ini merajuk maka payah pula dapat dipujuk. Dan kalau marah sampai mengutuk-ngutuk takut mulut kita masin. Anak cucu akan menerima padahnya.

Balik pada cerita lirik lagu Burung Kakak Tua. Memang ada orang tua yang sensitif tersentuh oleh lagu itu yang dinyanyikan oleh cucu-cucunya. Mereka merasakan dipeibunkan oleh insan-insan kecil yang tidak sepatutnya berlaku.

Seorang kenalan dalam satu perbualan memberitahu tentang pentingnya lirik-lirik lagu ini. Terkait dengan lagu Burung Kakak Tua ini, dia mencuba memperbaikinya sesuai dengan peredaran zaman. Maka pada anak-anak yang kecil, anak dan cucunya, teman saya itu mensyorkan bila menyanyi lagu Burung Kakak Tua di hadapan nenek atau datuknya supaya tidak menggunakan lirik asal sebaliknya mengubah kepada:
Burung Kakak Tua....hinggap di jendela.....Nenek pernah muda....nasihatnya amat berguna.

Bagaimana saudara ? Saya pasti lirik itu dapat menyumbang usaha mengurangkan genaration gap dan dalam masa yang sama mengiktiraf orang tetua sebagai mentor genarasi baru. Selamat berpuasa.