Friday, June 24, 2011

MENGAIL DI MESJID


Jame Asr' Hassanil Bolkiah. Dalam mesjid indah ini terdapat beberapa buah tabung bagi memudahkan jemaah bersedekah.

Ketika saya mendengar orang menyebut-yebut hal ini saya tidak ambil peduli. Apalah yang menarik tentang mengail di mesjid. Biasa saja. Minda sayapun terus memberi bayangan tentang kawasan lagoon mesjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Dalam lagoon itu banyak ikan walaupun kawasan berkenaan adalah kawasan tegahan untuk memancing. Ikan boleh bernang masuk tetapi tidak boleh keluar. Begitulah keadaannya semasa saya kecil-kecil dulu. Di sana saya mengikat perahu pergi dan balik dari sekolah. Saya tidak tahu keadaannya sekarang.
Kalaupun orang tidak mengail di Mesjid Sultan Omarali Saifuddien yang menjadi kemegahan Negara itu mungkin juga pengail-pengail menyasarkan mesjid mesjid di Kampung Tamoi atau Mesjid Sungai Kebun atau mesjid-mesjid lain di kampung air.

“Bukan mengail ikan” Kata sahabat saya membangunkan saya dari lamunan. Abis mengail apa ? Soalan itu membuatkan saya memberi perhatian dan tumpuan. Ini menarik jadi bahan tulisan, minda saya berkata-kata.

Kalau bukan mengail ikan, mengail apa? Saya menyusul pertanyaan.
Mengail duit, mengail wang, mengail usin” tegas rakan itu. Buat seketika saya merasa bengang. Apa sebenarnya cerita mengail di mesjid ini? Kawan saya itupun bercerita membuatkan saya terkedu.
“Mungkin bunyinya lembut kerana perbuatan itu berlaku di mesjid. Malas orang hendak kata dalam nada kasar. Maka disebutlah saja mengail di mesjid itu. Sebenarnya apa yang berlaku ialah perbuatan pencuri wang derma di mesjid.
Mondas Operandinya ialah memasukkan suatu benda yang ada pelekat dan menarik ke atas wang-wang kertas yang melekat pada benda yang mempunyai pelekat itu. Itulah yang dikatakan mengail.

Sungguh kurang sopan orang yang melakukan perbuatan itu. Peti-peti derma disediakan ialah bagi memasukkan wang derma; cara mudah orang bersedekah. Bukan sebaliknya. Pada suatu ketika dulu bukan saja wang yang dicuri malah juga tabung itu juga dilarak dan di bawa sama. Maka pihak berkuasa mesjid membuat tabung yang kukuh yang melekat pada tiang atau dinding. Adapun yang tabung mudahalih dibubuh rantai. Cara pertama itu menasabah. Tapi cara kedua itu menimbulkan tandatanya. Apa lagi sekarang pelancong luar negeri ramai yang melawat mesjid-mesjid. Mungkin mereka akan bertanya kenapa tabung mudahalih itu dirantai. Mahu tidak mahu pengiring pelancong terpaksalah bercerita tentang pencuri di mesjid dan cerita itu akan dibawa pulang ke negara asal mereka. Mudah-mudahan tidak menjadi bahan tulisan di akhbar-akhbar di negara mereka.
Rupa-rupanya dengan membina tabung yang kukuh pencuri mula pula beroperasi dengan tektik baru. Mengail di mesjid.

Wednesday, June 22, 2011

PLASTIK


Ini penunjuk Al-Qur'an diperbuat dari kayu Ramin. Bagus dan menarik. Dengan penunjuk ini kita dapat mengelak dari menggunakan penunjuk Al Qur'an yang diperbuat dari plastik.

Saya seronok setiap kali menonton iklan yang disuarakan oleh anak kecil “ jangan lupa.” Iklan itu mengingatkan kita supaya jangan lupa membawa beg atau kantung semasa membeli belah pada hari Sabtu dan Ahad kerana pada hari tersebut pasar raya tidak akan menyediakan beg-beg plastik. Imbasan saya melencong pada sebuah lakaran karun tentang pengguna yang membawa tekiding ke pasar raya bagi memuat indah-indah yang dibelinya.
Walaupun sering di keudarakan “jangan lupa” saya seperti ibu anak kecil dalam iklan itu sering juga tidak membawa beg kitar semula untuk menyimpan indah-indah belian. Akhirnya saya juga ketuk dahi macam ibu si anak dalam iklan kerana amalan pengurangan guna plastik itu belum meresap penuh dalam diri. Bukan saya seorang saja yang sering lupa. Di luar sana ramai yang belum mesra dengan iklan “jangan lupa”. Akhirnya bila kita ke pasar raya nampaklah pelanggan-pelanggan yang tidak mahu beli beg pembawa barang, menggunakan kotak-kotak kosong. Dia berbuat begitu bukan lokek tapi beg-beg pembawa barang jenis kitar semula sudah banyak di rumah. Dia sekadar lupa membawanya. Kasihan juga mereka yang membuat penjualan kitar semula kotak kosong. Bekalan sudah berkurangan.
Hari itu saya lupa membawa beg semasa hendak beli roti paun. Malas hendak mengambil beg itu di kereta saya bawa saja roti itu tanpa menggunakan beg. Lain juga rasanya. Takut nanti ada mata yang memandang seolah-oleh saya limbai-limbai membawa roti paun dari ragian jualan tanpa melalui meja juru wang. Maka itu sebaiknya “jangan lupa” bawa beg kitar semula bila berbelanja di hujung minggu.
Saya terbaca dalam satu ruangan di akhbar tempatan cadangan supaya beli belah tanpa beg plastik ini dilaratkan pada hari-hari lain. Dari satu aspek cadangan itu bagus. Tetapi kenalah dibudayakan dulu tentang jangan guna beg plastik pada hujung minggu. Bila sudah mesra baru kita tingkatkan pada hari-hari lain.
Entah kenapa baharu sekarang manusia menyedari tentang bahaya menggunakan plastik. Plastik diperbuat dari bahan kimia. Tahan tapi bila tidak digunakan payah untuk memusnahkannya.
Kita harus tidak melihat beg-beg plastik saja. Dalam kehidupan kita sekarang kita dikelilingi oleh indah-indah dari bahan plastik. Lihat dapor kita. Mana ada takung dari bahan asli. Kita menggunakan takung plastik. Lihat panusan kita. Itu juga dari plastik. Lihat talaya kita. Juga didominasi oleh bahan plastik. Malah ramai anak muda tidak mengenali telaya dari bahan asli. Sudu garpu pinggan mangkuk juga dari plastik. Itu baru di dapor.
Bahan-bahan riadah juga sudah diplastikkan. Misalan bulu ayam dalam permainan badminton atau bola sepak takraw sudah jarang diperbuat dari rotan. Lama kelamaan hilang identiti permainan itu yang berasal dari dunia Melayu kerana di antarabangsakan dan bolanya pula dibuat dari plastik.
Plastik juga menembusi budaya. Saya sudah terlihat permainan congkak yang diperbuat dari plastik. Cipta saja “calak” perahu congkak dari plastik maka akan dapat dikeluarkan perahu congkak dalam jumlah yang banyak. Ketika itu tidak perlu lagi mencari tukang-tukang mahir membuat congkak dari kayu.
Semua ini timbul dalam bayangan minda saya ketika menghadap Al-Qur’an. Di zaman kanak-kanak, saya menggunakan bulu landak yang tajam itu sebagai penunjuk aksara. Kalau hendak mendapatkan bahan itu saya pernah terlihat di pasar tamu di Miri. Mungkin di tamu Brunei juga ada. Tapi sekarang yang mudah ialah membeli penunjuk dari kedai-kedai buku. Dan bahan itu juga sudah diperbuat dari plastik.
Cerita-cerita yang saya bawakan setakat ini mungkin belum menggerunkan awda walaupun kesannya secara berkumpulan akan memusnahkan alam sekitar kita sebagai penghuni dunia. Mari saya bawa pula awda pada suatu cerita yang bertarikh 25 Februari 2011. Cerita ini belum lama; sekitar empat bulan yang lalu.
Kita pernah mendengar negara China mencipta pelbagai bahan palsu. Bahan-bahan elektronik malah minuman susu kanak-kanak damit juga dipalsukan. Sekarang mereka juga mencipta beras palsu. Antara bahan campurannya ialah plastik. Bagaimana saudara? Terkejutkah tidak?
Beras yang dijual di Taiyuan Shaanxi China adalah beras palsu dari campuran kentang, ubi manis dan bahagian utamanya dari plastik. Sudah terang dan nyata bahawa plasik amat merbahaya kepada kesihatan manusia.
Walaupun perkara itu diketahui tetapi edarannya meluas kerana pembuatnya mendapat hasil keuntungan yang besar. Mungkin juga ada yang sudah di eksport. Maka itu awda perlu ubaya-ubaya bila membeli bahan beras dari luar negara.
Nah kita kembali pada iklan yang disuarakan oleh anak kecil tadi. Walaupun cuma dua perkataan yang yang diluahkannya dalam iklan hujung minggu tanpa plasti “jangan lupa”: tetapi mesej yang perlu kita amat-amati sungguh besar dan serius.

Thursday, June 9, 2011

MAKAN DI GERAI DAN DI HOTEL MEWAH


Bila roti paun dihias sebegini sayang pula hendak makan. Tapi bagaimana rasanya? Sama juga seperti mengunyah roti bersama hirisan daging dan buah-buahan.

Apa beza makan di restoran dan di gerai?
Ada orang kata, sama saja. Malah kadang-kadang makanan di gerai lagi sedap.

Semasa tinggal di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur beberapa tahun dulu saya dan rakan teringin hendak makan roti canai. Kamipun tanya adakah hotel menyediakan roti canai. Jawapannya ada. Kamipun menempah. Lama baru pelayan hantar ke meja kami. Sudah tentu tidak sama seperti roti canai di gerai. Roti itu sudah dihias sehingga sayang untuk memakannya.

Beberapa hari kemudian kami mendapati restoran itu membawa masuk roti canai dari gerai. Rupanya asal roti canai di restoran itu dari gerai. Roti itu kemudian di “make up” dan diletak pada pinggan mahal. Tentu saja harganya empat kali lipat dari harga di gerai.

Sejak hari itu kalau teringin hendak makan roti canai kami duduk saja di gerai yang terletak di belakang hotel mewah. Hari itu juga baru kami tahu mereka yang pakai tali leher dan jeket yang sembang-sembang di gerai sambil menghirup teh tarik setiap pagi adalah pelanggan hotel mewah itu.

MACAM WOKSYOP


Kereta buatan Korea ini sudah banyak di jalanraya Brunei. Bila sampai ke rumah tak kan diletakkan berhujan berpanas tanpa garaj.

“Macam woksyop” komen seorang teman luar negeri bila kami berada di kawasan sebuah perumahan. “Tidak juga” Saya menyanggah. Alasan saya kerana apa yang dilihatnya itu adalah perkara biasa di Negara Brunei Darussalam. Lagipun benda yang dilihatnya semua baru dan berjenama pula. Tidak seperti yang ada di woksyop, kemek, berkarat dan berlonggok.

Abiskita tentu bertanya apakah yang disuarakan oleh sahabat saya itu dan kenapa pula saya menyanggah. Sebenarnya saya membawanya sekitar perumahan yang disediakan oleh pihak Kerajaan. Teman itu terpesona kerana setiap buah rumah mempunyai beberapa buah kereta. Ada yang sampai sembilan sepuluh buah kereta !

“Kalau saya sendiri memandu di kawasan ini tentu saya berpersangka ada acara di jalankan di rumah yang saya lihat. Ramai yang berkunjung ke rumah itu. Lihat saja kereta yang diletakkan dalam kawasan rumah itu. Rupa-rupanya kenderaan yang berlabuh itu dipunyai oleh ahli keluarga yang tinggal dalam rumah tersebut.”

Kalau disemak bahagian dalam rumah, ramai yang melengkapkan perhiasan dengan garget terkini. Sayangnya di halaman terbiar. Pokok-pokok bunga sepatutnya berdaun hijau sudah bertukar warna.

Kawasan rumah juga patut dihias bagi menimbulkan inviromen yang menarik. Saya pernah terlihat rumah-rumah yang menyediakan letak kereta mereka begitu cantik sehingga kereta-kereta itu bagaikan hiasan rumah. Tidak sakit mata memandang walaupun bilangan kereta yang berlabuh berjumlah tujuh ke lapan buah. Tidak simpang siur berhujan berpanas seperti “macam woksyop”