Friday, June 24, 2011
MENGAIL DI MESJID
Jame Asr' Hassanil Bolkiah. Dalam mesjid indah ini terdapat beberapa buah tabung bagi memudahkan jemaah bersedekah.
Ketika saya mendengar orang menyebut-yebut hal ini saya tidak ambil peduli. Apalah yang menarik tentang mengail di mesjid. Biasa saja. Minda sayapun terus memberi bayangan tentang kawasan lagoon mesjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Dalam lagoon itu banyak ikan walaupun kawasan berkenaan adalah kawasan tegahan untuk memancing. Ikan boleh bernang masuk tetapi tidak boleh keluar. Begitulah keadaannya semasa saya kecil-kecil dulu. Di sana saya mengikat perahu pergi dan balik dari sekolah. Saya tidak tahu keadaannya sekarang.
Kalaupun orang tidak mengail di Mesjid Sultan Omarali Saifuddien yang menjadi kemegahan Negara itu mungkin juga pengail-pengail menyasarkan mesjid mesjid di Kampung Tamoi atau Mesjid Sungai Kebun atau mesjid-mesjid lain di kampung air.
“Bukan mengail ikan” Kata sahabat saya membangunkan saya dari lamunan. Abis mengail apa ? Soalan itu membuatkan saya memberi perhatian dan tumpuan. Ini menarik jadi bahan tulisan, minda saya berkata-kata.
Kalau bukan mengail ikan, mengail apa? Saya menyusul pertanyaan.
Mengail duit, mengail wang, mengail usin” tegas rakan itu. Buat seketika saya merasa bengang. Apa sebenarnya cerita mengail di mesjid ini? Kawan saya itupun bercerita membuatkan saya terkedu.
“Mungkin bunyinya lembut kerana perbuatan itu berlaku di mesjid. Malas orang hendak kata dalam nada kasar. Maka disebutlah saja mengail di mesjid itu. Sebenarnya apa yang berlaku ialah perbuatan pencuri wang derma di mesjid.
Mondas Operandinya ialah memasukkan suatu benda yang ada pelekat dan menarik ke atas wang-wang kertas yang melekat pada benda yang mempunyai pelekat itu. Itulah yang dikatakan mengail.
Sungguh kurang sopan orang yang melakukan perbuatan itu. Peti-peti derma disediakan ialah bagi memasukkan wang derma; cara mudah orang bersedekah. Bukan sebaliknya. Pada suatu ketika dulu bukan saja wang yang dicuri malah juga tabung itu juga dilarak dan di bawa sama. Maka pihak berkuasa mesjid membuat tabung yang kukuh yang melekat pada tiang atau dinding. Adapun yang tabung mudahalih dibubuh rantai. Cara pertama itu menasabah. Tapi cara kedua itu menimbulkan tandatanya. Apa lagi sekarang pelancong luar negeri ramai yang melawat mesjid-mesjid. Mungkin mereka akan bertanya kenapa tabung mudahalih itu dirantai. Mahu tidak mahu pengiring pelancong terpaksalah bercerita tentang pencuri di mesjid dan cerita itu akan dibawa pulang ke negara asal mereka. Mudah-mudahan tidak menjadi bahan tulisan di akhbar-akhbar di negara mereka.
Rupa-rupanya dengan membina tabung yang kukuh pencuri mula pula beroperasi dengan tektik baru. Mengail di mesjid.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment