Wednesday, June 22, 2011

PLASTIK


Ini penunjuk Al-Qur'an diperbuat dari kayu Ramin. Bagus dan menarik. Dengan penunjuk ini kita dapat mengelak dari menggunakan penunjuk Al Qur'an yang diperbuat dari plastik.

Saya seronok setiap kali menonton iklan yang disuarakan oleh anak kecil “ jangan lupa.” Iklan itu mengingatkan kita supaya jangan lupa membawa beg atau kantung semasa membeli belah pada hari Sabtu dan Ahad kerana pada hari tersebut pasar raya tidak akan menyediakan beg-beg plastik. Imbasan saya melencong pada sebuah lakaran karun tentang pengguna yang membawa tekiding ke pasar raya bagi memuat indah-indah yang dibelinya.
Walaupun sering di keudarakan “jangan lupa” saya seperti ibu anak kecil dalam iklan itu sering juga tidak membawa beg kitar semula untuk menyimpan indah-indah belian. Akhirnya saya juga ketuk dahi macam ibu si anak dalam iklan kerana amalan pengurangan guna plastik itu belum meresap penuh dalam diri. Bukan saya seorang saja yang sering lupa. Di luar sana ramai yang belum mesra dengan iklan “jangan lupa”. Akhirnya bila kita ke pasar raya nampaklah pelanggan-pelanggan yang tidak mahu beli beg pembawa barang, menggunakan kotak-kotak kosong. Dia berbuat begitu bukan lokek tapi beg-beg pembawa barang jenis kitar semula sudah banyak di rumah. Dia sekadar lupa membawanya. Kasihan juga mereka yang membuat penjualan kitar semula kotak kosong. Bekalan sudah berkurangan.
Hari itu saya lupa membawa beg semasa hendak beli roti paun. Malas hendak mengambil beg itu di kereta saya bawa saja roti itu tanpa menggunakan beg. Lain juga rasanya. Takut nanti ada mata yang memandang seolah-oleh saya limbai-limbai membawa roti paun dari ragian jualan tanpa melalui meja juru wang. Maka itu sebaiknya “jangan lupa” bawa beg kitar semula bila berbelanja di hujung minggu.
Saya terbaca dalam satu ruangan di akhbar tempatan cadangan supaya beli belah tanpa beg plastik ini dilaratkan pada hari-hari lain. Dari satu aspek cadangan itu bagus. Tetapi kenalah dibudayakan dulu tentang jangan guna beg plastik pada hujung minggu. Bila sudah mesra baru kita tingkatkan pada hari-hari lain.
Entah kenapa baharu sekarang manusia menyedari tentang bahaya menggunakan plastik. Plastik diperbuat dari bahan kimia. Tahan tapi bila tidak digunakan payah untuk memusnahkannya.
Kita harus tidak melihat beg-beg plastik saja. Dalam kehidupan kita sekarang kita dikelilingi oleh indah-indah dari bahan plastik. Lihat dapor kita. Mana ada takung dari bahan asli. Kita menggunakan takung plastik. Lihat panusan kita. Itu juga dari plastik. Lihat talaya kita. Juga didominasi oleh bahan plastik. Malah ramai anak muda tidak mengenali telaya dari bahan asli. Sudu garpu pinggan mangkuk juga dari plastik. Itu baru di dapor.
Bahan-bahan riadah juga sudah diplastikkan. Misalan bulu ayam dalam permainan badminton atau bola sepak takraw sudah jarang diperbuat dari rotan. Lama kelamaan hilang identiti permainan itu yang berasal dari dunia Melayu kerana di antarabangsakan dan bolanya pula dibuat dari plastik.
Plastik juga menembusi budaya. Saya sudah terlihat permainan congkak yang diperbuat dari plastik. Cipta saja “calak” perahu congkak dari plastik maka akan dapat dikeluarkan perahu congkak dalam jumlah yang banyak. Ketika itu tidak perlu lagi mencari tukang-tukang mahir membuat congkak dari kayu.
Semua ini timbul dalam bayangan minda saya ketika menghadap Al-Qur’an. Di zaman kanak-kanak, saya menggunakan bulu landak yang tajam itu sebagai penunjuk aksara. Kalau hendak mendapatkan bahan itu saya pernah terlihat di pasar tamu di Miri. Mungkin di tamu Brunei juga ada. Tapi sekarang yang mudah ialah membeli penunjuk dari kedai-kedai buku. Dan bahan itu juga sudah diperbuat dari plastik.
Cerita-cerita yang saya bawakan setakat ini mungkin belum menggerunkan awda walaupun kesannya secara berkumpulan akan memusnahkan alam sekitar kita sebagai penghuni dunia. Mari saya bawa pula awda pada suatu cerita yang bertarikh 25 Februari 2011. Cerita ini belum lama; sekitar empat bulan yang lalu.
Kita pernah mendengar negara China mencipta pelbagai bahan palsu. Bahan-bahan elektronik malah minuman susu kanak-kanak damit juga dipalsukan. Sekarang mereka juga mencipta beras palsu. Antara bahan campurannya ialah plastik. Bagaimana saudara? Terkejutkah tidak?
Beras yang dijual di Taiyuan Shaanxi China adalah beras palsu dari campuran kentang, ubi manis dan bahagian utamanya dari plastik. Sudah terang dan nyata bahawa plasik amat merbahaya kepada kesihatan manusia.
Walaupun perkara itu diketahui tetapi edarannya meluas kerana pembuatnya mendapat hasil keuntungan yang besar. Mungkin juga ada yang sudah di eksport. Maka itu awda perlu ubaya-ubaya bila membeli bahan beras dari luar negara.
Nah kita kembali pada iklan yang disuarakan oleh anak kecil tadi. Walaupun cuma dua perkataan yang yang diluahkannya dalam iklan hujung minggu tanpa plasti “jangan lupa”: tetapi mesej yang perlu kita amat-amati sungguh besar dan serius.

No comments: