Thursday, November 17, 2011

PERADUAN MENULIS


Ingin tahu bagaimana mencipta cerpen yang bernas. Pengiran Haji Metassan Pengiran Haji Abu Bakar, sahabat saya yang menjadi pemenang pertama dalam kategori penulisan cerpen diwawancara pihak media.

12hb November 2011 yang lalu berlangsung Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Cerpen Kreatif Bahana anjuran DBP-BSP 2011. Disampaikan juga ialah hadiah beberapa peraduan yang lain. Saya menyertai peraduan Cerpen, Rencana dan Kertas Cadangan Penyelidikan. Paling ramai mengikuti ialah Peraduan Cerpen seramai 53 orang. Peraduan Menulis Rencana hanya mengundang 22 orang peserta sementara Peraduan Cadangan Penyelidikan hanya diikuti oleh 11 orang. Saya kurang pasti format Peraduan yang terakhir itu kerana kebanyakan yang menang ialah seakan penyelidikan bagi penulisan tesis. Hari itu saku saya bertambah sebanyak $500.00 hasil dari saguhati Peraduan Menulis Rencana.

Saturday, November 12, 2011

11.11.11. (11HB NOVEMBER 2011)


Menyerahkan tanda barian kepada pengantin perempuan


Indah indah bawaan dalam majlis Menghantar Barian



Beliau pengantin bini memerhatikan bawaan dari rombongan pengantin lelaki




Menyukat beras bawaan dari rombongan pengantin lelaki dengan menggunakan sulang: adat yang masih kukuh di kalangan masyarakat

Ramai yang mengadakan majlis sempena tarikh 11.11.2011. Tarikh yang ada “ekor” 11 ini akan hanya ada 100 tahun akan datang iaitu pada 11 hb November 3011. Saya menghadiri majlis Menghantar Barian dan Akad nikah anak kemanakan Awang Shamsareysal Haji Besar dengan isterinya Hajah Zuliana Haji Zunaidi. Saya menjadi “chef de mission” bagi majlis Hantar Barian. Perjalanan dari Serasa ke Labi agak jauh. Tapi seronok dengan menaiki bas. Juga melihat keindahan sekitar hutan Labi (lama saya tidak ke sana). Saya melihat banyak sekali pohon durian di kampung Hajah Zuliana tapi belum berbuah. Angan-angan sudah ada untuk berkunjung ke tempat ini pada musim buah terutama bila durian sudah dapat dipetik.

Wednesday, November 9, 2011

SANTAI YANG TIDAK SANTAI


Bot-bot "flying coffin" menunggu penumpang. Lihat jenis enjinnya dan perahunya. Bot jenis ini juga menjadi alat pengangkutan Labuan-Sipitang, BSB - Temburung/Limbang.


Masuk ke dalam bot ini kena hati-hati. Kalau tidak mudah mencabur. Ikut serta dalam bot ini adalah tanggungan sendiri. Ada insurankah pengendali bot ini?



Fesyennya macam kapalterbang. Inilah jenis kapal yang membawa penumpang mengharung laut berombak ke Negara Brunei Darussalam.


Untuk sekian lamanya saya tidak pergi ke Labuan walaupun kata orang tempat itu tumbir-tumbir di kuala sungai Brunei. Minggu lepas saya berkesempatan ke sana. Bukan setakat Labuan saja, malah menyeberang ke pekan kecil Menumbuk.
Untuk ke Menumbuk saya menaiki bot tambang yang dulu dikenali sebagai flying coffin. Betul-betul macam keranda. Bot atu disertai oleh 12 orang penumpang. Lajunya bukan main. Saya khuatir kalau terlanggar batang “timbul tahi”. Ke mana hendak pergi walaupun bot atu mempunyai pelampung peribadi. Badan saya sudah berat dan sudah lama tidak bernang di air masin. Alhamdulillah saya sampai juga ke Menumbuk. Pekan itu bagaikan pekan koboi. Lengang. Tidak seperti ketika musim cuti sekolah.
Dua jam di sana saya pulang ke Labuan. Kalau semasa pergi ke Menumbuk saya menaiki bot 200 kuda. Masa pulang enjin bot itu berkuasa 250 kuda. Saya tidak dapat mengampaikan punggung . Hentakannya terlalu kuat. Bagaikan orang menumbuk tulang belakang. Dalam kepala saya sudah berligar untuk mencari tukang urut. Pemandu bot biasa-biasa saja melanggar ombak besar. Dia mempunyai kerusi berkosyen. Yang sengsara ialah menumpang. Nasib baik masa yang diambil tidak sampai setengah jam. Sungguh hebat deraannya.
Saya jalan-jalan buang masa di Labuan menunggu kapal bertolak jam 3.30 petang. Tiada apa yang menarik. Saya singgah di gerai dan menempah cucur pisang. Saya belasah bersama teh tarik.
Menyeberang ke Brunei satu hal lagi. Ombangnya besar-besar. Salam salur kapal dibuatnya. Lenggangannya juga terasa. Anging bersama ombak menimbulkan rasa gerun. Kata seorang kenalan yang ikut dalam kapal itu, lima belas minit lagi kalau kapal belum merakit ke Serasa pasti membual isi perutnya keluar. Muntahnya sudah berada di leher.
Buat apa pergi ke Labuan? Itu pertanyaan kawan-kawan. Saya kata cari ilham sambil cari buku. Tapi tidak ada buku yang menarik.

Saturday, October 29, 2011

SEMINAR PENGAJIAN MELAYU

Saya menghadiri Seminar Pengajian Melayu Dalam Pembinaan Temadun Nusantara Pengajian Melayu di Universiti Brunei Darussalam kemarin dan hari ini. Seminar ini mahu mendedahkan dan meletakkan kembali nilai pengajian Melayu sebagai disiplin ilmu yang mempunyai banyak kepentingan dalam kehidupan. Saya petik sedikit nukilan semasa perasmian Seminar yang bertema Pemerkasaan dan Pelestarian Pengajian Sastera, Bahasa dan Budaya Melayu.

Para penggemar pengajian Melayu sedar tentang tekanan yang dihadapi, saingan dan pengupayaan sebagai disiplin ilmu dalam garapan sistem pendidikan dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi.

Pengajian Melayu tidak hanya dilihat sebagai suatu bentuk perjuangan egosentrik di wilayah Nusantara tetapi harus diiktiraf sebagai satu bidang keilmuan dalam konteks global. Tunjang -tunjang pengajian Melayu harus ditrampilkan sebagai penanda aras serta sumber kebijakan, keilmuan atau kebitaraan yang boleh menyokong pembinaan dan peningkatan temadun tinggi dalam dunia Melayu.

Apresiasi yang berterusan dalam pengajian Melayu memerlukan sokongan dan dokongan pelbagai media komunikasi baik berbentuk massa mahupun personal. Hal ini memerlukan cendikia pengajian Melayu merumuskan formula untuk menyemarakkan kembali bidang-bidang pengajian Melayu sebagai suatu bidang pengajian yang kondusif, impresif dan kompetatif.

Friday, October 28, 2011

Pemalas

Terkejut juga saya bila singgah ke ruangan Blog saya. Sudah empat bulan saya tidak menambah walau satu perkataan pada hal saya mempunyai banyak bahan. Malah saya tidak menulis apa-apa ketika sambutan hariraya Aidil Fitri 1432 Hijrah. Sekarang hariraya Aidil Adha juga sudah jauh di belakang dan akan menjelang pula sambutan tahun Hijrah 1433. Saya melihat mereka yang singgah ke Blog saya. Bilangannya hampir mencecah 30 ribu.
Satu sebab kenapa tidak ada tambahan pada cerita dalam Blog ialah kerana keghairahan untuk mengikuti jejak kawan-kawan untuk menatap Facebook. Facebook wujud pada tahun 2004. Sebelum itu ruang untuk berkomunikasi di alam siber ialah dengan menggunakan Blog.
Semasa saya mula diperkenalkan kepada Blog, saya merasa was-was untuk apa Blog itu. Masa itu saya bertugas dengan sebuah akhbar yang menyampaikan komunikasi kepada pekerja melalui IT. Tidak ada kertas yang digunakan. Oleh sebab terbiasa dengan cara kerja begitu saya terus menatap Blog. Terdapat beberapa orang kawan yang sudah rancak menulis dan memberi ruang iklan dalam Blog mereka. Maka penyakit menulis dalam Blog itu menjangkit pada diri saya.

Saya menyemak siapa lagi menjadi ahli Facebook. Ada organisasi ngo samada bercorak sosial atau ekonomi yang menghubungi klien mereka melalui Facebook. Begitu juga hal ini diikuti oleh jabatan-jabatan Kerajaan. Maknanya seperti juga tool dalam alam siber lain, terpulang kepada kita untuk bagaimana alat itu digunakan. Untuk kebaikan atau sekadar suka-suka.
Dan sekarang saya ingin belajar lebih lanjut mengenai Facebook. Bagaimana menggunakannya secara positif. Dan dalam masa yang sama saya cuba memaksa diri untuk kembali menulis dalam Blog saya.

Friday, June 24, 2011

MENGAIL DI MESJID


Jame Asr' Hassanil Bolkiah. Dalam mesjid indah ini terdapat beberapa buah tabung bagi memudahkan jemaah bersedekah.

Ketika saya mendengar orang menyebut-yebut hal ini saya tidak ambil peduli. Apalah yang menarik tentang mengail di mesjid. Biasa saja. Minda sayapun terus memberi bayangan tentang kawasan lagoon mesjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Dalam lagoon itu banyak ikan walaupun kawasan berkenaan adalah kawasan tegahan untuk memancing. Ikan boleh bernang masuk tetapi tidak boleh keluar. Begitulah keadaannya semasa saya kecil-kecil dulu. Di sana saya mengikat perahu pergi dan balik dari sekolah. Saya tidak tahu keadaannya sekarang.
Kalaupun orang tidak mengail di Mesjid Sultan Omarali Saifuddien yang menjadi kemegahan Negara itu mungkin juga pengail-pengail menyasarkan mesjid mesjid di Kampung Tamoi atau Mesjid Sungai Kebun atau mesjid-mesjid lain di kampung air.

“Bukan mengail ikan” Kata sahabat saya membangunkan saya dari lamunan. Abis mengail apa ? Soalan itu membuatkan saya memberi perhatian dan tumpuan. Ini menarik jadi bahan tulisan, minda saya berkata-kata.

Kalau bukan mengail ikan, mengail apa? Saya menyusul pertanyaan.
Mengail duit, mengail wang, mengail usin” tegas rakan itu. Buat seketika saya merasa bengang. Apa sebenarnya cerita mengail di mesjid ini? Kawan saya itupun bercerita membuatkan saya terkedu.
“Mungkin bunyinya lembut kerana perbuatan itu berlaku di mesjid. Malas orang hendak kata dalam nada kasar. Maka disebutlah saja mengail di mesjid itu. Sebenarnya apa yang berlaku ialah perbuatan pencuri wang derma di mesjid.
Mondas Operandinya ialah memasukkan suatu benda yang ada pelekat dan menarik ke atas wang-wang kertas yang melekat pada benda yang mempunyai pelekat itu. Itulah yang dikatakan mengail.

Sungguh kurang sopan orang yang melakukan perbuatan itu. Peti-peti derma disediakan ialah bagi memasukkan wang derma; cara mudah orang bersedekah. Bukan sebaliknya. Pada suatu ketika dulu bukan saja wang yang dicuri malah juga tabung itu juga dilarak dan di bawa sama. Maka pihak berkuasa mesjid membuat tabung yang kukuh yang melekat pada tiang atau dinding. Adapun yang tabung mudahalih dibubuh rantai. Cara pertama itu menasabah. Tapi cara kedua itu menimbulkan tandatanya. Apa lagi sekarang pelancong luar negeri ramai yang melawat mesjid-mesjid. Mungkin mereka akan bertanya kenapa tabung mudahalih itu dirantai. Mahu tidak mahu pengiring pelancong terpaksalah bercerita tentang pencuri di mesjid dan cerita itu akan dibawa pulang ke negara asal mereka. Mudah-mudahan tidak menjadi bahan tulisan di akhbar-akhbar di negara mereka.
Rupa-rupanya dengan membina tabung yang kukuh pencuri mula pula beroperasi dengan tektik baru. Mengail di mesjid.

Wednesday, June 22, 2011

PLASTIK


Ini penunjuk Al-Qur'an diperbuat dari kayu Ramin. Bagus dan menarik. Dengan penunjuk ini kita dapat mengelak dari menggunakan penunjuk Al Qur'an yang diperbuat dari plastik.

Saya seronok setiap kali menonton iklan yang disuarakan oleh anak kecil “ jangan lupa.” Iklan itu mengingatkan kita supaya jangan lupa membawa beg atau kantung semasa membeli belah pada hari Sabtu dan Ahad kerana pada hari tersebut pasar raya tidak akan menyediakan beg-beg plastik. Imbasan saya melencong pada sebuah lakaran karun tentang pengguna yang membawa tekiding ke pasar raya bagi memuat indah-indah yang dibelinya.
Walaupun sering di keudarakan “jangan lupa” saya seperti ibu anak kecil dalam iklan itu sering juga tidak membawa beg kitar semula untuk menyimpan indah-indah belian. Akhirnya saya juga ketuk dahi macam ibu si anak dalam iklan kerana amalan pengurangan guna plastik itu belum meresap penuh dalam diri. Bukan saya seorang saja yang sering lupa. Di luar sana ramai yang belum mesra dengan iklan “jangan lupa”. Akhirnya bila kita ke pasar raya nampaklah pelanggan-pelanggan yang tidak mahu beli beg pembawa barang, menggunakan kotak-kotak kosong. Dia berbuat begitu bukan lokek tapi beg-beg pembawa barang jenis kitar semula sudah banyak di rumah. Dia sekadar lupa membawanya. Kasihan juga mereka yang membuat penjualan kitar semula kotak kosong. Bekalan sudah berkurangan.
Hari itu saya lupa membawa beg semasa hendak beli roti paun. Malas hendak mengambil beg itu di kereta saya bawa saja roti itu tanpa menggunakan beg. Lain juga rasanya. Takut nanti ada mata yang memandang seolah-oleh saya limbai-limbai membawa roti paun dari ragian jualan tanpa melalui meja juru wang. Maka itu sebaiknya “jangan lupa” bawa beg kitar semula bila berbelanja di hujung minggu.
Saya terbaca dalam satu ruangan di akhbar tempatan cadangan supaya beli belah tanpa beg plastik ini dilaratkan pada hari-hari lain. Dari satu aspek cadangan itu bagus. Tetapi kenalah dibudayakan dulu tentang jangan guna beg plastik pada hujung minggu. Bila sudah mesra baru kita tingkatkan pada hari-hari lain.
Entah kenapa baharu sekarang manusia menyedari tentang bahaya menggunakan plastik. Plastik diperbuat dari bahan kimia. Tahan tapi bila tidak digunakan payah untuk memusnahkannya.
Kita harus tidak melihat beg-beg plastik saja. Dalam kehidupan kita sekarang kita dikelilingi oleh indah-indah dari bahan plastik. Lihat dapor kita. Mana ada takung dari bahan asli. Kita menggunakan takung plastik. Lihat panusan kita. Itu juga dari plastik. Lihat talaya kita. Juga didominasi oleh bahan plastik. Malah ramai anak muda tidak mengenali telaya dari bahan asli. Sudu garpu pinggan mangkuk juga dari plastik. Itu baru di dapor.
Bahan-bahan riadah juga sudah diplastikkan. Misalan bulu ayam dalam permainan badminton atau bola sepak takraw sudah jarang diperbuat dari rotan. Lama kelamaan hilang identiti permainan itu yang berasal dari dunia Melayu kerana di antarabangsakan dan bolanya pula dibuat dari plastik.
Plastik juga menembusi budaya. Saya sudah terlihat permainan congkak yang diperbuat dari plastik. Cipta saja “calak” perahu congkak dari plastik maka akan dapat dikeluarkan perahu congkak dalam jumlah yang banyak. Ketika itu tidak perlu lagi mencari tukang-tukang mahir membuat congkak dari kayu.
Semua ini timbul dalam bayangan minda saya ketika menghadap Al-Qur’an. Di zaman kanak-kanak, saya menggunakan bulu landak yang tajam itu sebagai penunjuk aksara. Kalau hendak mendapatkan bahan itu saya pernah terlihat di pasar tamu di Miri. Mungkin di tamu Brunei juga ada. Tapi sekarang yang mudah ialah membeli penunjuk dari kedai-kedai buku. Dan bahan itu juga sudah diperbuat dari plastik.
Cerita-cerita yang saya bawakan setakat ini mungkin belum menggerunkan awda walaupun kesannya secara berkumpulan akan memusnahkan alam sekitar kita sebagai penghuni dunia. Mari saya bawa pula awda pada suatu cerita yang bertarikh 25 Februari 2011. Cerita ini belum lama; sekitar empat bulan yang lalu.
Kita pernah mendengar negara China mencipta pelbagai bahan palsu. Bahan-bahan elektronik malah minuman susu kanak-kanak damit juga dipalsukan. Sekarang mereka juga mencipta beras palsu. Antara bahan campurannya ialah plastik. Bagaimana saudara? Terkejutkah tidak?
Beras yang dijual di Taiyuan Shaanxi China adalah beras palsu dari campuran kentang, ubi manis dan bahagian utamanya dari plastik. Sudah terang dan nyata bahawa plasik amat merbahaya kepada kesihatan manusia.
Walaupun perkara itu diketahui tetapi edarannya meluas kerana pembuatnya mendapat hasil keuntungan yang besar. Mungkin juga ada yang sudah di eksport. Maka itu awda perlu ubaya-ubaya bila membeli bahan beras dari luar negara.
Nah kita kembali pada iklan yang disuarakan oleh anak kecil tadi. Walaupun cuma dua perkataan yang yang diluahkannya dalam iklan hujung minggu tanpa plasti “jangan lupa”: tetapi mesej yang perlu kita amat-amati sungguh besar dan serius.

Thursday, June 9, 2011

MAKAN DI GERAI DAN DI HOTEL MEWAH


Bila roti paun dihias sebegini sayang pula hendak makan. Tapi bagaimana rasanya? Sama juga seperti mengunyah roti bersama hirisan daging dan buah-buahan.

Apa beza makan di restoran dan di gerai?
Ada orang kata, sama saja. Malah kadang-kadang makanan di gerai lagi sedap.

Semasa tinggal di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur beberapa tahun dulu saya dan rakan teringin hendak makan roti canai. Kamipun tanya adakah hotel menyediakan roti canai. Jawapannya ada. Kamipun menempah. Lama baru pelayan hantar ke meja kami. Sudah tentu tidak sama seperti roti canai di gerai. Roti itu sudah dihias sehingga sayang untuk memakannya.

Beberapa hari kemudian kami mendapati restoran itu membawa masuk roti canai dari gerai. Rupanya asal roti canai di restoran itu dari gerai. Roti itu kemudian di “make up” dan diletak pada pinggan mahal. Tentu saja harganya empat kali lipat dari harga di gerai.

Sejak hari itu kalau teringin hendak makan roti canai kami duduk saja di gerai yang terletak di belakang hotel mewah. Hari itu juga baru kami tahu mereka yang pakai tali leher dan jeket yang sembang-sembang di gerai sambil menghirup teh tarik setiap pagi adalah pelanggan hotel mewah itu.

MACAM WOKSYOP


Kereta buatan Korea ini sudah banyak di jalanraya Brunei. Bila sampai ke rumah tak kan diletakkan berhujan berpanas tanpa garaj.

“Macam woksyop” komen seorang teman luar negeri bila kami berada di kawasan sebuah perumahan. “Tidak juga” Saya menyanggah. Alasan saya kerana apa yang dilihatnya itu adalah perkara biasa di Negara Brunei Darussalam. Lagipun benda yang dilihatnya semua baru dan berjenama pula. Tidak seperti yang ada di woksyop, kemek, berkarat dan berlonggok.

Abiskita tentu bertanya apakah yang disuarakan oleh sahabat saya itu dan kenapa pula saya menyanggah. Sebenarnya saya membawanya sekitar perumahan yang disediakan oleh pihak Kerajaan. Teman itu terpesona kerana setiap buah rumah mempunyai beberapa buah kereta. Ada yang sampai sembilan sepuluh buah kereta !

“Kalau saya sendiri memandu di kawasan ini tentu saya berpersangka ada acara di jalankan di rumah yang saya lihat. Ramai yang berkunjung ke rumah itu. Lihat saja kereta yang diletakkan dalam kawasan rumah itu. Rupa-rupanya kenderaan yang berlabuh itu dipunyai oleh ahli keluarga yang tinggal dalam rumah tersebut.”

Kalau disemak bahagian dalam rumah, ramai yang melengkapkan perhiasan dengan garget terkini. Sayangnya di halaman terbiar. Pokok-pokok bunga sepatutnya berdaun hijau sudah bertukar warna.

Kawasan rumah juga patut dihias bagi menimbulkan inviromen yang menarik. Saya pernah terlihat rumah-rumah yang menyediakan letak kereta mereka begitu cantik sehingga kereta-kereta itu bagaikan hiasan rumah. Tidak sakit mata memandang walaupun bilangan kereta yang berlabuh berjumlah tujuh ke lapan buah. Tidak simpang siur berhujan berpanas seperti “macam woksyop”

Tuesday, April 12, 2011

TIDAK SETUJU

Ini gambar hiasan saja. Gambar orang tua yang saya klik semasa bertugas di Vietnam beberapa tahun dulu. Bukan orang tua dalam penulisan di bawah ini

Cerita ini saya petik dari sebahagian tulisan saya yang dimuat dalam Pelita Brunei, akhbar rasmi Kerajaan Kebawah DYMM. Cerita mengenai pertembungan pedapat orang muda dengan orang tua. Orang tua lebih awal merasa garam, kata orang tua. “Soalnya, garam abis kita berbeza dengan garam kami masa ani.” Kata orang muda. “Walaupun abiskita makan garam lebih awal, garam atu mungkin lebih masin atau kurang masin dari garam masa ani.” Orang Muda menghujah. Hati orang tua jadi temutuk. Memang payah orang tua becakap dengan orang muda masa ini. Mati-mati orang muda kata jika berpelajaran, pengaruh luar yang negatif tidak akan menyusup ke jiwa mereka. Tapi cuba lihat cara gadis berpakaian saja. Sudahlah seluar itu mengantam sampai kelihatan takah seluar dalam, ada lagi tattoo di sana sini. Anting-anting tidak lagi di telinga. Sudah ada di hidung dan kirai. Kalau di tegur, mereka kata: “nini ani setail lama” Banar, memang zaman sudah jauh berubah. Sayapun terkenang dua bulan sebelum saya pencen. Ada pegawai muda tidak setuju dengan keputusan yang saya lakukan. Ia pun marah-marah. Kalau marah-marah tidak mengapa kerana sudah menjadi resam mesyuarat selalunya ada ahli yang setuju dan ada yang tidak setuju pada satu-satu keputusan. Tapi yang penting keputusan mesti dibuat samada keputusan itu good decision atau bad decision. “Kita perlu perubahan,” kata saya. Pegawai muda tidak puas hati. Ia terus mengekori saya ke pejabat. Dalam pejabat saya, ia terus berhujah. Merah padam mukanya. Tidak cukup dengan itu dia terus menghentak meja. Fail dicampakkan. Tapi saya tidak menukar keputusan yang disetujui oleh sidang mesyuarat. Entah apa terjadi sekarang. Saya sudah bersara. Tidaklah saya tau apakah ada lagi tempat orang muda itu melepaskan geram dan menghempas meja dan menghumbankan fail atau sudah ada lagi pegawai baru dan muda darinya yang menghentak meja dan melontarkan fail di hadapannya bila dia sudah jadi senior officer.