Wednesday, November 9, 2011
SANTAI YANG TIDAK SANTAI
Bot-bot "flying coffin" menunggu penumpang. Lihat jenis enjinnya dan perahunya. Bot jenis ini juga menjadi alat pengangkutan Labuan-Sipitang, BSB - Temburung/Limbang.
Masuk ke dalam bot ini kena hati-hati. Kalau tidak mudah mencabur. Ikut serta dalam bot ini adalah tanggungan sendiri. Ada insurankah pengendali bot ini?
Fesyennya macam kapalterbang. Inilah jenis kapal yang membawa penumpang mengharung laut berombak ke Negara Brunei Darussalam.
Untuk sekian lamanya saya tidak pergi ke Labuan walaupun kata orang tempat itu tumbir-tumbir di kuala sungai Brunei. Minggu lepas saya berkesempatan ke sana. Bukan setakat Labuan saja, malah menyeberang ke pekan kecil Menumbuk.
Untuk ke Menumbuk saya menaiki bot tambang yang dulu dikenali sebagai flying coffin. Betul-betul macam keranda. Bot atu disertai oleh 12 orang penumpang. Lajunya bukan main. Saya khuatir kalau terlanggar batang “timbul tahi”. Ke mana hendak pergi walaupun bot atu mempunyai pelampung peribadi. Badan saya sudah berat dan sudah lama tidak bernang di air masin. Alhamdulillah saya sampai juga ke Menumbuk. Pekan itu bagaikan pekan koboi. Lengang. Tidak seperti ketika musim cuti sekolah.
Dua jam di sana saya pulang ke Labuan. Kalau semasa pergi ke Menumbuk saya menaiki bot 200 kuda. Masa pulang enjin bot itu berkuasa 250 kuda. Saya tidak dapat mengampaikan punggung . Hentakannya terlalu kuat. Bagaikan orang menumbuk tulang belakang. Dalam kepala saya sudah berligar untuk mencari tukang urut. Pemandu bot biasa-biasa saja melanggar ombak besar. Dia mempunyai kerusi berkosyen. Yang sengsara ialah menumpang. Nasib baik masa yang diambil tidak sampai setengah jam. Sungguh hebat deraannya.
Saya jalan-jalan buang masa di Labuan menunggu kapal bertolak jam 3.30 petang. Tiada apa yang menarik. Saya singgah di gerai dan menempah cucur pisang. Saya belasah bersama teh tarik.
Menyeberang ke Brunei satu hal lagi. Ombangnya besar-besar. Salam salur kapal dibuatnya. Lenggangannya juga terasa. Anging bersama ombak menimbulkan rasa gerun. Kata seorang kenalan yang ikut dalam kapal itu, lima belas minit lagi kalau kapal belum merakit ke Serasa pasti membual isi perutnya keluar. Muntahnya sudah berada di leher.
Buat apa pergi ke Labuan? Itu pertanyaan kawan-kawan. Saya kata cari ilham sambil cari buku. Tapi tidak ada buku yang menarik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment