Saturday, October 29, 2011

SEMINAR PENGAJIAN MELAYU

Saya menghadiri Seminar Pengajian Melayu Dalam Pembinaan Temadun Nusantara Pengajian Melayu di Universiti Brunei Darussalam kemarin dan hari ini. Seminar ini mahu mendedahkan dan meletakkan kembali nilai pengajian Melayu sebagai disiplin ilmu yang mempunyai banyak kepentingan dalam kehidupan. Saya petik sedikit nukilan semasa perasmian Seminar yang bertema Pemerkasaan dan Pelestarian Pengajian Sastera, Bahasa dan Budaya Melayu.

Para penggemar pengajian Melayu sedar tentang tekanan yang dihadapi, saingan dan pengupayaan sebagai disiplin ilmu dalam garapan sistem pendidikan dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi.

Pengajian Melayu tidak hanya dilihat sebagai suatu bentuk perjuangan egosentrik di wilayah Nusantara tetapi harus diiktiraf sebagai satu bidang keilmuan dalam konteks global. Tunjang -tunjang pengajian Melayu harus ditrampilkan sebagai penanda aras serta sumber kebijakan, keilmuan atau kebitaraan yang boleh menyokong pembinaan dan peningkatan temadun tinggi dalam dunia Melayu.

Apresiasi yang berterusan dalam pengajian Melayu memerlukan sokongan dan dokongan pelbagai media komunikasi baik berbentuk massa mahupun personal. Hal ini memerlukan cendikia pengajian Melayu merumuskan formula untuk menyemarakkan kembali bidang-bidang pengajian Melayu sebagai suatu bidang pengajian yang kondusif, impresif dan kompetatif.

No comments: