Sunday, January 2, 2011

TAHUN BARU MASIHI 2011

Sudah berbulan-bulan saya tidak menurunkan apa-apa pada blog ini. Bermula tahun baru 2011 ini saya cuba mengaktifkan penulisan melalui blog ini. Mula-mula saya ingin mengucapkan selamat tahun baru 2011 kepada semua.

Biasanya pada awal tahun orang memerkatakan tentang azam tahun baru. Azam itu perlu diteruskan hingga ke hujung tahun. Kalau pendirian awda tidak mantap, azam itu akan menipis dan hilang sekerat jalan. Jadi membina azam tanpa kecekalan untuk mencapainya tidak akan sampai ke mana. Kita perlu mengenal pasti hadangan yang menyebabkan azam tidak dapat dipenuhi.
Dua perkara utama yang menjadi penghadang besar ialah penyakit dan cuaca yang tidak menentu. Kemudahan pengangkutan dan komunikasi telah mempercepatkan perpindahan penyakit itu. Jika hari ini jenis penyakit itu di kesan di Afrika, esok sudah ada jangkitan di benua Amerika atau benua Asia.
Bila diketahui ada penyakit baru, orang tidak akan pergi ke tempat asal penyakit itu. Malah pergerakan manusia juga berkurangan. Akibatnya memberi kesan kepada ekonomi. Sektor penerbangan kurang penumpang. Bila itu berlaku kesannya bertiti-titi. Perniagaan hotel menjadi malap. Begitu halnya dengan pengangkutan, persajian dan banyak lagi sektor yang terlibat baik secara langsung maupun tidak langsung.

Sungguh menghairankan penyakit abad 21 ini begitu degil. Jangan sebut penyakit yang baru ditemui. Mari lihat penyakit batuk. Dulu penyakit ini mudah sembuh dengan hanya meminum air asam jawa bercampur sira dan gula. Pada masa ini seorang yang disampiri penyakit batuk, ada yang tidak sembuh selama berbulan-bulan.

Hadangan kedua ialah ketidak-stabilan keadaan kerana cuaca yang tidak menentu. Para ahli bijak pandai sudah meramalkan keadaan cuaca berpandukan stastik dan data masa lampau. Namun banyak yang menyeleweng dari ketentuan-ketentuan data. Padang pasir yang kering kontang tiba-tiba dilimpahi oleh air hujan hingga menyebabkan banjir. Air hujan pula terlalu mencurah-curah hingga menyebabkan banjir kilat. Angin taufan sambung-bersambung memusnahkan prasarana. Gunung berani meletuskan lava dan menyebabkan tsunami. Di negara kita sendiri pernah berlaku banjir kilat dan angin kencang yang menyebabkan atap rumah dan struktur bangunan rosak. Nah, sekarang elok juga kita merangka azam dengan mengambil kira hadangan-hadangan nature ini. Kesannya bertali-tali walau kita berada di tempat yang amat selesa. Kita tidak harus terperangkap. Hadangan yang dinyatakan baru dua. Ada banyak lagi hadangan-hadangan yang bakal dihadapi.

Selamat Tahun Baru Masihi 2011

No comments: