Friday, December 16, 2011

CUTI HUJUNG TAHUN


Tenang fikiran bila berada di kawasan percutian seperti ini.


Deru angin laut mengurangkan tekanan yang membebani badan. Ini ialah lokasi percutian dalam negeri. Jadi apa bezanya dengan bercuti di luar negeri?


Bernang di dalam kolam air panas. Setelah itu berendam di kolam yang mengeluarkan buih dan mengurut bahagian badan yang lenguh.

Seorang pegawai insuran dari Singapura terkedu melihat kehadiran life planner yang amat sedikit bilangannya menghadiri taklimat bulanan. Katanya di Singapura bulan Disember adalah bulan yang amat sibuk. Ramai planner di Singapura mahu buat submission pada saat akhir. Berbeza dengan di Brunei. Disember adalah bulan cuti. Jadi kelihatannya dia tidak ada mood untuk beri taklimat panjang. Taklimat sejam berakhir kira-kira sepuluh minit saja.

Sekarang ialah pertengahan bulan Disember. Masih ada lagi masa bercuti. Biasanya keluarga bercuti mengikut jadual cuti sekolah. Sekolah buka dalam masa dua minggu lagi. Soalnya ke mana hendak di tuju. Kalau mahu budget holiday pergi saja bercuti dalam negeri. Tidak perlu tambang. Tidak perlu belanja hotel. Kalau ada pun tidak se mahal pergi keluar negeri.
Tempat terdekat di luar negeri ialah Kota Kinabalu dan Miri. Bila pergi ke sana yang difikirkan ialah tersekat di perjalanan. Apa lagi dua tiga hari sebelum hari Krismas dan tahun baru masihi 2012. Nah cuba fikirkan cuti dalam negeri kalau inda mau terus berkurung dalam rumah.

Sunday, December 11, 2011

Anugerah Pelangi 2010/2011



Salah sebuah kumpulan yang ikut bertanding. Kumpulan ani OK jua. Saya melihat ramai pemusik/penyanyi yang tidak memasang butang baju. Baik jua ada baju T di bahagian dalam. Trend masa anikah? Saya inda tau, saya orang pencen.



Ani tah golongan remaja yang dahagakan hiburan. Panuh JP Amphitheatre malam atu. Inda ramai yang sedar ketika itu berlaku gerhana bulan dan di mesjid berkumandang jemaah bersembahyang sunat gerhana.



Asap dari smoke machine ke mana tujunya? Asap atu bagus bagi menghasilkan lighting yang menarik. Tapi sekadar di pam keluar saja tanpa tujuan khusus menggelapkan pentas saja. Mata juga padih.


Bulan Januari 2012 sudah tujuh tahun saya “terpisah” dari membuat kerja-kerja TV production setelah bersara wajib pada tahun 2005. Namun tatacara production program hiburan masih melekat dalam minda. Maka itu semalam bila saya memenuhi undangan Pmk Penolong Ketua Rancangan Radio menghadiri Anugerah Pelangi 2010/2011 di Jerudong Amphitheatre saya tidak tergamam melihat “TV production”nya. Pendekatan dan “touch” nya gitu-gitu juga. Dewan itu besar tapi kreographynya tidak menawan hati saya. Lightingnya hanya kelap sana kelap sini. Kurang back light. Lampu spot juga tidak memadai. Pakaian artis ada yang tidak sedondon dengan musik yang disampaikan. Ada solekan yang terlalu over hingga bila di CU, bulumata menyampir bagaikan tabir mata. (maafkankan saya. Anilah yang saya rasa dan lihat).
Bagi saya penerbit TV perlu bekerjasama rapat lagi dengan penerbit radio. Musik dan vokalnya bagus tapi bila melihat persembahan TV penyanyi ada yang macam tunggul sedangkan penari nya bagaikan larak menggayakan tarian rap dan break dance. (barangkali ada beranggap ani projek radio dan bukan TV yang memerlukan visual). Oh ya penari kecil itu tidak ngam dengan program ani. Dia terlalu muda untuk di blend dengan program remaja walau dia hebat menari. Kesan jangka panjang inda membina. (mungkin sesuai untuk rancangan Bintang Kecil).



Mengenai nama-nama kumpulan dan peserta, awda boleh rujuk balik apa yang pernah dikatakan oleh mantan Pengarah RTB Tuan Haji Alidin beberapa tahun dulu. Usulnya temulih Ji. Saranan untuk menimbulkan nama tempatan/Melayu itu nampaknya inda berkenan pada orang karang ani.


Walau macam manapun tahniah kerana dapat memancing penonton (tentunya remaja) ke acara itu yang diadakan semasa cuti sekolah. Ada jua sedikit hiburan bagi yang inda berduyun-duyun keluar negeri.

Sunday, December 4, 2011

RETREAT


On The way ke kolam bernang di luar hotel. Dalam hotel pun ada kolam bernang. Di dalam hotel airnya panas. Di luar dingin.


Inilah pemandangan Empire Hotel and Country Club, tempat kami "retreat"



Facilities di hotel okey. Cuma TVnya masih stail lama. Belum tukar kepada flat screen.




Macam-macam kemudahan sukan ada termasuk main bowling.




Bersama anak, menantu dan cucu.



Nah, ani antara keluarga yang pergi "retreat" di Jerudong hari Ahad 4 Disember 2011.

Saya mempunyai load kerja penulisan yang banyak minggu ini. Ada tugasan yang melimpasi dateline. Seakan tidak tahu yang mana harus ditangani dan diberi prioriti. Pegang satu terasa pula yang satu lagi lebih penting. Tukar dan pegang yang lain pula. Itu juga terasa tidak kena. Ada tugasan yang lebih mustahak dan perlu didahulukan. Jadi timbul perasaan bingung. Kalau zaman bertugas dulu, ketua mengarahkan supaya “dimalamkan dahulu” tugasan yang berat-berat itu bagi menimbulkan rasa tenang. Sayapun ikut cara itu. Tapi zaman pencen ani cara “memalamkan” itu lain sedikit. Saya pergi “retreat.”

Ramai orang menginap di Empire Hotel and Country Club Jerudong Brunei membawa anak-anak mengisi cuti panjang bulan Disember. Saya dan keluarga juga ikut sama. Mudah-mudahan rasa tertekan akan reda.

Friday, December 2, 2011

DARI DIA KITA DATANG, PADANYA JUGA KITA KEMBALI


Allahyarham Tuan Haj Abdul Wahab Mohamad bersama mantan Pengarah Radio Televisyen Brunei Dato Paduka Awang Haji Alidin bin Haji Othman.


Ada sesuatu yang disampaikan oleh Allahyarham Tuan Haji Wahab kepada Awang Haji Idris Abdul Rahman mantas Pengurus Operasi Teknikal RTB.



Allahyarham Awang Haji Abdul Wahab bersama warga tua RTB bergambar di hadapan Dewan Raya. Di belakang berbaju cerah ialah Awang Haji Adnan Haji Hassan. Dia juga sudah kembali ke rahmatullah baharu-baharu ini. Saya berdiri di belakang no 2 dari kiri.





Semoga rohnya dicucuri rahmat. Itulah sahaja ucapan terakhir buat mentor saya Tuan Haji Abdul Wahab Muhammad yang kembali ke rahmatullah petang kemarin 1hb Disember 2011. Saya sempat mengunjunginya di RIPAS pada hari Selasa sebelumnya. Ketika itu dia sudah uzur. Masa bertugas dulu dia tidak lokek memberi nasihat kepada saya. Dia ada memberikan secebis kertas yang ditulis dengan tangannya sendiri. “Hati-hati menjalankan tugas. Banyak yang cuba menjatuhkan kitani.” Itu pesanannya sebelum menyerahkan kerusi Pengurus Penerbitan Rancangan TV dan masuk ke dunia pesaraan wajib.








Jasanya terlalu banyak untuk dikenang bukan saja bagi kerabat Radio Televisyen Brunei malah juga negara. Siapa tidak kenal Bujang Sigandam. Itulah perahan ilhamnya dan ditulis minggu demi minggu dan terkenal hingga masa ini.








Selamat jalan tokoh yang ku sanjung tinggi

Wednesday, November 30, 2011

PELANCARAN BUKU


Sebahagian dari buku yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Brunei

Hari Selasa lalu 29hb November 2011/3hb Muharram 1433 saya ke Indera Kayangan Ballroom Hotel Empire bagi menghadiri Majlis Pelancaran dua buah buku: Melayu Islam Beraja “Mahkota Negara” dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah: Penyelamat Ummah. Kedua-dua buah buku itu adalah tulisan Mufti Kerajaan Brunei Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.




Dengan terbitnya buku itu bertambahlah lagi bahan bacaan bagi rakyat dan penduduk di negara ini. Ada orang kata bukan jumlah buku yang dikira tetapi seramai mana orang membacanya. Saya tanya rakan yang bertugas di Jabatan Mufti apa cara supaya ramai lagi orang gemar membaca, khususnya buku-buku ugama. Dia menjawab memang tidak ramai orang membaca buku ilmiah. Maka itu penerbitan buku Jabatan itu mengambil kira ketebalan buku. Dan ini berkait rapat dengan harganya. Mudah-mudahan ramai orang menjadi pengemar buku.

Tuesday, November 29, 2011

MESYUARAT OH MESYUARAT


Bilik ini selesa. Ada meja, kerusi dan berhawa dingin. Ini ialah rakaman perjumpaan JK Asterawani dengan penulis Daerah Tutong. Biliknya lebih jauh selesa dari Pusat Belia yang diperuntukkan kepada Asterawani bermesyuarat.

Saya diundang untuk menghadiri mesyuarat Asterawani pada Ahad lepas 27hb November bersamaan 1hb Muharram.. Bawa kueh seangkat-angkat hati , pesan Setiausaha. Mesyuarat itu sepatutnya bermula jam 7.30 malam. Tetapi menghadapi hadangan. Tempat mesyuarat diaturkan di sebuah bilik kecil yang bakal diperuntukkan kepada Asterawani . Kerusinya tidak cukup untuk diduduki oleh ahli yang hadir. Meja cuma satu. Yang menghalang bukan itu. Panas bilik yang menjadikan badan tidak selesa. Bilik hanya dibekalkan dengan sebuah kipas angin. Tidak ada air-con.

Pengerusi mencari sekuriti dan meminta supaya membuka bilik mesyuarat yang biasanya digunakan. Mengikut Pengerusi sekuriti itu tidak berani membuka kerana tiada ada tempahan bagi berbuat demikian. Menurutnya tempahan yang ada ialah pada sebelah tengah hari dan bukan sebelah malam. Pengerusi menghubungi Pengarah Kebajikan Belia dan Sukan. Pengarah memberi kebenaran bagi menggunakan bilik mesyuarat. Bila khabar ini mahu disampaikan pada sekuriti, sekuriti itu pula tidak dijumpai. Maklumat yang didapat sekuriti pergi keluar makan!
Mesyuarat tidak dapat dijalankan di bilik kecil kerana panas. Juga tidak dapat dilangsungkan di bilik mesyuarat kerana bilik itu berkunci. Akhirnya kami bermesyuarat di bilik sembahyang kerana bilik sembahyang sentiasa terbuka. Di sana ada air com. Lucunya kami bermesyuarat dengan duduk bersila. Tiada ada kerusi meja kerana bilik dipenuhi sejadah.

Begitulah nasib sebuah persatuan yang ingin menegakkan Bahasa dan Sastera.

Wednesday, November 23, 2011

MENCAWANG KELUARGA


Kenapa kurang senyum? Berdebarkah untuk menjadi seorang isteri?. Melly anak saudara angkat saya.


Menyarungkan cincin perkahwinan ke jari suami Mohd Halem Sani




Antara keluarga yang hadir. Yang berbaju biru ialah abang saya Haji Sablee yang mengasuh Melly (bersama isteri - isteri sudah meninggal). Sekarang dia di bawah tanggungjawab suami. Jangan lupa orang yang mengasuh kau Melly.




Dengan sekali lapaz sah Mohd Halem Sani menjadi suami kepada Melly Abdullah.


19hb November lalu saya ke KK. Saya hampir terperangkap dalam banjir kilat dalam Bandar. Hujan mencurah-curah. Kata orang di sana jarang hujan sebegitu lebat. Semasa hujan lebat saya berada di dalam 1 Borneo. Saya ingat bunyi hujan yang mencurah itu sebahagian dari dekor dalam shopping centre itu. Rupanya hujan lebat betul-betul.

Saya ke KK menghadiri perkahwinan anak angkat abang saya. (kira anak kemanakan saya juga)Namanya Melly. Suaminya, Mohd Halem orang Johor. Nikah di mesjid negeri di Sambulan. Ibu Melly meninggal dunia ketika dia dilahirkan. Maka isteri abang saya (ipar) memeliharanya. Sekarang ipar saya juga telah meninggal dunia.


Dengan perkahwinan ini tercabang lagi pelbagai ethnik yang menjadi kaum kerabat. Melly berdarah Dusun. Suaminya mungkin Bowian Singapura-Johor.. Di kalangan keluarga ada yang berkahwin dengan Kadazan Dusun, Rungus, Jawa, Brunei dan bermestautin di Kedah, Johor, Sabah, Brunei.

Friday, November 18, 2011

DAILOG SENI


Bersama saudara Kamal Ishak Pengarah/Penulis Skrip dari Malaysia.


Antara mahasiswa/penggemar seni yang mengikuti Dailog Seni di CLT G12 Universiti Brunei Darussalam.



Sempat juga mencurahkan ilmu mengadaptasi cerpen/nobel menjadi skrip pentas/TV dalam majlis Pantaran Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada 17hb November yang lalu saya berpeluang menghadiri Dailog Seni dengan Pengarah/Penulis Skripari Malaysia Saudara Kamal Ishak. Acara berlangsung di CLT G 12 Universiti Brunei Darussalam. Banayk perkara dibincangkan melalui pengalaman sdra Kamal yang berkecimpung dalam bidang ini lebih 30 tahun.















Keesokan harinya Kamal Ishak hadir pula di Pantaran Sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan sempat menurunkan ilmu mengenai cara mengadaptasi Cerpen/Nobel menjadi skrip Pentas/TV. Bertambah lagi ilmu di dada melalui sesi itu.

Thursday, November 17, 2011

PERADUAN MENULIS


Ingin tahu bagaimana mencipta cerpen yang bernas. Pengiran Haji Metassan Pengiran Haji Abu Bakar, sahabat saya yang menjadi pemenang pertama dalam kategori penulisan cerpen diwawancara pihak media.

12hb November 2011 yang lalu berlangsung Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Cerpen Kreatif Bahana anjuran DBP-BSP 2011. Disampaikan juga ialah hadiah beberapa peraduan yang lain. Saya menyertai peraduan Cerpen, Rencana dan Kertas Cadangan Penyelidikan. Paling ramai mengikuti ialah Peraduan Cerpen seramai 53 orang. Peraduan Menulis Rencana hanya mengundang 22 orang peserta sementara Peraduan Cadangan Penyelidikan hanya diikuti oleh 11 orang. Saya kurang pasti format Peraduan yang terakhir itu kerana kebanyakan yang menang ialah seakan penyelidikan bagi penulisan tesis. Hari itu saku saya bertambah sebanyak $500.00 hasil dari saguhati Peraduan Menulis Rencana.

Saturday, November 12, 2011

11.11.11. (11HB NOVEMBER 2011)


Menyerahkan tanda barian kepada pengantin perempuan


Indah indah bawaan dalam majlis Menghantar Barian



Beliau pengantin bini memerhatikan bawaan dari rombongan pengantin lelaki




Menyukat beras bawaan dari rombongan pengantin lelaki dengan menggunakan sulang: adat yang masih kukuh di kalangan masyarakat

Ramai yang mengadakan majlis sempena tarikh 11.11.2011. Tarikh yang ada “ekor” 11 ini akan hanya ada 100 tahun akan datang iaitu pada 11 hb November 3011. Saya menghadiri majlis Menghantar Barian dan Akad nikah anak kemanakan Awang Shamsareysal Haji Besar dengan isterinya Hajah Zuliana Haji Zunaidi. Saya menjadi “chef de mission” bagi majlis Hantar Barian. Perjalanan dari Serasa ke Labi agak jauh. Tapi seronok dengan menaiki bas. Juga melihat keindahan sekitar hutan Labi (lama saya tidak ke sana). Saya melihat banyak sekali pohon durian di kampung Hajah Zuliana tapi belum berbuah. Angan-angan sudah ada untuk berkunjung ke tempat ini pada musim buah terutama bila durian sudah dapat dipetik.

Wednesday, November 9, 2011

SANTAI YANG TIDAK SANTAI


Bot-bot "flying coffin" menunggu penumpang. Lihat jenis enjinnya dan perahunya. Bot jenis ini juga menjadi alat pengangkutan Labuan-Sipitang, BSB - Temburung/Limbang.


Masuk ke dalam bot ini kena hati-hati. Kalau tidak mudah mencabur. Ikut serta dalam bot ini adalah tanggungan sendiri. Ada insurankah pengendali bot ini?



Fesyennya macam kapalterbang. Inilah jenis kapal yang membawa penumpang mengharung laut berombak ke Negara Brunei Darussalam.


Untuk sekian lamanya saya tidak pergi ke Labuan walaupun kata orang tempat itu tumbir-tumbir di kuala sungai Brunei. Minggu lepas saya berkesempatan ke sana. Bukan setakat Labuan saja, malah menyeberang ke pekan kecil Menumbuk.
Untuk ke Menumbuk saya menaiki bot tambang yang dulu dikenali sebagai flying coffin. Betul-betul macam keranda. Bot atu disertai oleh 12 orang penumpang. Lajunya bukan main. Saya khuatir kalau terlanggar batang “timbul tahi”. Ke mana hendak pergi walaupun bot atu mempunyai pelampung peribadi. Badan saya sudah berat dan sudah lama tidak bernang di air masin. Alhamdulillah saya sampai juga ke Menumbuk. Pekan itu bagaikan pekan koboi. Lengang. Tidak seperti ketika musim cuti sekolah.
Dua jam di sana saya pulang ke Labuan. Kalau semasa pergi ke Menumbuk saya menaiki bot 200 kuda. Masa pulang enjin bot itu berkuasa 250 kuda. Saya tidak dapat mengampaikan punggung . Hentakannya terlalu kuat. Bagaikan orang menumbuk tulang belakang. Dalam kepala saya sudah berligar untuk mencari tukang urut. Pemandu bot biasa-biasa saja melanggar ombak besar. Dia mempunyai kerusi berkosyen. Yang sengsara ialah menumpang. Nasib baik masa yang diambil tidak sampai setengah jam. Sungguh hebat deraannya.
Saya jalan-jalan buang masa di Labuan menunggu kapal bertolak jam 3.30 petang. Tiada apa yang menarik. Saya singgah di gerai dan menempah cucur pisang. Saya belasah bersama teh tarik.
Menyeberang ke Brunei satu hal lagi. Ombangnya besar-besar. Salam salur kapal dibuatnya. Lenggangannya juga terasa. Anging bersama ombak menimbulkan rasa gerun. Kata seorang kenalan yang ikut dalam kapal itu, lima belas minit lagi kalau kapal belum merakit ke Serasa pasti membual isi perutnya keluar. Muntahnya sudah berada di leher.
Buat apa pergi ke Labuan? Itu pertanyaan kawan-kawan. Saya kata cari ilham sambil cari buku. Tapi tidak ada buku yang menarik.

Saturday, October 29, 2011

SEMINAR PENGAJIAN MELAYU

Saya menghadiri Seminar Pengajian Melayu Dalam Pembinaan Temadun Nusantara Pengajian Melayu di Universiti Brunei Darussalam kemarin dan hari ini. Seminar ini mahu mendedahkan dan meletakkan kembali nilai pengajian Melayu sebagai disiplin ilmu yang mempunyai banyak kepentingan dalam kehidupan. Saya petik sedikit nukilan semasa perasmian Seminar yang bertema Pemerkasaan dan Pelestarian Pengajian Sastera, Bahasa dan Budaya Melayu.

Para penggemar pengajian Melayu sedar tentang tekanan yang dihadapi, saingan dan pengupayaan sebagai disiplin ilmu dalam garapan sistem pendidikan dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi.

Pengajian Melayu tidak hanya dilihat sebagai suatu bentuk perjuangan egosentrik di wilayah Nusantara tetapi harus diiktiraf sebagai satu bidang keilmuan dalam konteks global. Tunjang -tunjang pengajian Melayu harus ditrampilkan sebagai penanda aras serta sumber kebijakan, keilmuan atau kebitaraan yang boleh menyokong pembinaan dan peningkatan temadun tinggi dalam dunia Melayu.

Apresiasi yang berterusan dalam pengajian Melayu memerlukan sokongan dan dokongan pelbagai media komunikasi baik berbentuk massa mahupun personal. Hal ini memerlukan cendikia pengajian Melayu merumuskan formula untuk menyemarakkan kembali bidang-bidang pengajian Melayu sebagai suatu bidang pengajian yang kondusif, impresif dan kompetatif.

Friday, October 28, 2011

Pemalas

Terkejut juga saya bila singgah ke ruangan Blog saya. Sudah empat bulan saya tidak menambah walau satu perkataan pada hal saya mempunyai banyak bahan. Malah saya tidak menulis apa-apa ketika sambutan hariraya Aidil Fitri 1432 Hijrah. Sekarang hariraya Aidil Adha juga sudah jauh di belakang dan akan menjelang pula sambutan tahun Hijrah 1433. Saya melihat mereka yang singgah ke Blog saya. Bilangannya hampir mencecah 30 ribu.
Satu sebab kenapa tidak ada tambahan pada cerita dalam Blog ialah kerana keghairahan untuk mengikuti jejak kawan-kawan untuk menatap Facebook. Facebook wujud pada tahun 2004. Sebelum itu ruang untuk berkomunikasi di alam siber ialah dengan menggunakan Blog.
Semasa saya mula diperkenalkan kepada Blog, saya merasa was-was untuk apa Blog itu. Masa itu saya bertugas dengan sebuah akhbar yang menyampaikan komunikasi kepada pekerja melalui IT. Tidak ada kertas yang digunakan. Oleh sebab terbiasa dengan cara kerja begitu saya terus menatap Blog. Terdapat beberapa orang kawan yang sudah rancak menulis dan memberi ruang iklan dalam Blog mereka. Maka penyakit menulis dalam Blog itu menjangkit pada diri saya.

Saya menyemak siapa lagi menjadi ahli Facebook. Ada organisasi ngo samada bercorak sosial atau ekonomi yang menghubungi klien mereka melalui Facebook. Begitu juga hal ini diikuti oleh jabatan-jabatan Kerajaan. Maknanya seperti juga tool dalam alam siber lain, terpulang kepada kita untuk bagaimana alat itu digunakan. Untuk kebaikan atau sekadar suka-suka.
Dan sekarang saya ingin belajar lebih lanjut mengenai Facebook. Bagaimana menggunakannya secara positif. Dan dalam masa yang sama saya cuba memaksa diri untuk kembali menulis dalam Blog saya.

Friday, June 24, 2011

MENGAIL DI MESJID


Jame Asr' Hassanil Bolkiah. Dalam mesjid indah ini terdapat beberapa buah tabung bagi memudahkan jemaah bersedekah.

Ketika saya mendengar orang menyebut-yebut hal ini saya tidak ambil peduli. Apalah yang menarik tentang mengail di mesjid. Biasa saja. Minda sayapun terus memberi bayangan tentang kawasan lagoon mesjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Dalam lagoon itu banyak ikan walaupun kawasan berkenaan adalah kawasan tegahan untuk memancing. Ikan boleh bernang masuk tetapi tidak boleh keluar. Begitulah keadaannya semasa saya kecil-kecil dulu. Di sana saya mengikat perahu pergi dan balik dari sekolah. Saya tidak tahu keadaannya sekarang.
Kalaupun orang tidak mengail di Mesjid Sultan Omarali Saifuddien yang menjadi kemegahan Negara itu mungkin juga pengail-pengail menyasarkan mesjid mesjid di Kampung Tamoi atau Mesjid Sungai Kebun atau mesjid-mesjid lain di kampung air.

“Bukan mengail ikan” Kata sahabat saya membangunkan saya dari lamunan. Abis mengail apa ? Soalan itu membuatkan saya memberi perhatian dan tumpuan. Ini menarik jadi bahan tulisan, minda saya berkata-kata.

Kalau bukan mengail ikan, mengail apa? Saya menyusul pertanyaan.
Mengail duit, mengail wang, mengail usin” tegas rakan itu. Buat seketika saya merasa bengang. Apa sebenarnya cerita mengail di mesjid ini? Kawan saya itupun bercerita membuatkan saya terkedu.
“Mungkin bunyinya lembut kerana perbuatan itu berlaku di mesjid. Malas orang hendak kata dalam nada kasar. Maka disebutlah saja mengail di mesjid itu. Sebenarnya apa yang berlaku ialah perbuatan pencuri wang derma di mesjid.
Mondas Operandinya ialah memasukkan suatu benda yang ada pelekat dan menarik ke atas wang-wang kertas yang melekat pada benda yang mempunyai pelekat itu. Itulah yang dikatakan mengail.

Sungguh kurang sopan orang yang melakukan perbuatan itu. Peti-peti derma disediakan ialah bagi memasukkan wang derma; cara mudah orang bersedekah. Bukan sebaliknya. Pada suatu ketika dulu bukan saja wang yang dicuri malah juga tabung itu juga dilarak dan di bawa sama. Maka pihak berkuasa mesjid membuat tabung yang kukuh yang melekat pada tiang atau dinding. Adapun yang tabung mudahalih dibubuh rantai. Cara pertama itu menasabah. Tapi cara kedua itu menimbulkan tandatanya. Apa lagi sekarang pelancong luar negeri ramai yang melawat mesjid-mesjid. Mungkin mereka akan bertanya kenapa tabung mudahalih itu dirantai. Mahu tidak mahu pengiring pelancong terpaksalah bercerita tentang pencuri di mesjid dan cerita itu akan dibawa pulang ke negara asal mereka. Mudah-mudahan tidak menjadi bahan tulisan di akhbar-akhbar di negara mereka.
Rupa-rupanya dengan membina tabung yang kukuh pencuri mula pula beroperasi dengan tektik baru. Mengail di mesjid.

Wednesday, June 22, 2011

PLASTIK


Ini penunjuk Al-Qur'an diperbuat dari kayu Ramin. Bagus dan menarik. Dengan penunjuk ini kita dapat mengelak dari menggunakan penunjuk Al Qur'an yang diperbuat dari plastik.

Saya seronok setiap kali menonton iklan yang disuarakan oleh anak kecil “ jangan lupa.” Iklan itu mengingatkan kita supaya jangan lupa membawa beg atau kantung semasa membeli belah pada hari Sabtu dan Ahad kerana pada hari tersebut pasar raya tidak akan menyediakan beg-beg plastik. Imbasan saya melencong pada sebuah lakaran karun tentang pengguna yang membawa tekiding ke pasar raya bagi memuat indah-indah yang dibelinya.
Walaupun sering di keudarakan “jangan lupa” saya seperti ibu anak kecil dalam iklan itu sering juga tidak membawa beg kitar semula untuk menyimpan indah-indah belian. Akhirnya saya juga ketuk dahi macam ibu si anak dalam iklan kerana amalan pengurangan guna plastik itu belum meresap penuh dalam diri. Bukan saya seorang saja yang sering lupa. Di luar sana ramai yang belum mesra dengan iklan “jangan lupa”. Akhirnya bila kita ke pasar raya nampaklah pelanggan-pelanggan yang tidak mahu beli beg pembawa barang, menggunakan kotak-kotak kosong. Dia berbuat begitu bukan lokek tapi beg-beg pembawa barang jenis kitar semula sudah banyak di rumah. Dia sekadar lupa membawanya. Kasihan juga mereka yang membuat penjualan kitar semula kotak kosong. Bekalan sudah berkurangan.
Hari itu saya lupa membawa beg semasa hendak beli roti paun. Malas hendak mengambil beg itu di kereta saya bawa saja roti itu tanpa menggunakan beg. Lain juga rasanya. Takut nanti ada mata yang memandang seolah-oleh saya limbai-limbai membawa roti paun dari ragian jualan tanpa melalui meja juru wang. Maka itu sebaiknya “jangan lupa” bawa beg kitar semula bila berbelanja di hujung minggu.
Saya terbaca dalam satu ruangan di akhbar tempatan cadangan supaya beli belah tanpa beg plastik ini dilaratkan pada hari-hari lain. Dari satu aspek cadangan itu bagus. Tetapi kenalah dibudayakan dulu tentang jangan guna beg plastik pada hujung minggu. Bila sudah mesra baru kita tingkatkan pada hari-hari lain.
Entah kenapa baharu sekarang manusia menyedari tentang bahaya menggunakan plastik. Plastik diperbuat dari bahan kimia. Tahan tapi bila tidak digunakan payah untuk memusnahkannya.
Kita harus tidak melihat beg-beg plastik saja. Dalam kehidupan kita sekarang kita dikelilingi oleh indah-indah dari bahan plastik. Lihat dapor kita. Mana ada takung dari bahan asli. Kita menggunakan takung plastik. Lihat panusan kita. Itu juga dari plastik. Lihat talaya kita. Juga didominasi oleh bahan plastik. Malah ramai anak muda tidak mengenali telaya dari bahan asli. Sudu garpu pinggan mangkuk juga dari plastik. Itu baru di dapor.
Bahan-bahan riadah juga sudah diplastikkan. Misalan bulu ayam dalam permainan badminton atau bola sepak takraw sudah jarang diperbuat dari rotan. Lama kelamaan hilang identiti permainan itu yang berasal dari dunia Melayu kerana di antarabangsakan dan bolanya pula dibuat dari plastik.
Plastik juga menembusi budaya. Saya sudah terlihat permainan congkak yang diperbuat dari plastik. Cipta saja “calak” perahu congkak dari plastik maka akan dapat dikeluarkan perahu congkak dalam jumlah yang banyak. Ketika itu tidak perlu lagi mencari tukang-tukang mahir membuat congkak dari kayu.
Semua ini timbul dalam bayangan minda saya ketika menghadap Al-Qur’an. Di zaman kanak-kanak, saya menggunakan bulu landak yang tajam itu sebagai penunjuk aksara. Kalau hendak mendapatkan bahan itu saya pernah terlihat di pasar tamu di Miri. Mungkin di tamu Brunei juga ada. Tapi sekarang yang mudah ialah membeli penunjuk dari kedai-kedai buku. Dan bahan itu juga sudah diperbuat dari plastik.
Cerita-cerita yang saya bawakan setakat ini mungkin belum menggerunkan awda walaupun kesannya secara berkumpulan akan memusnahkan alam sekitar kita sebagai penghuni dunia. Mari saya bawa pula awda pada suatu cerita yang bertarikh 25 Februari 2011. Cerita ini belum lama; sekitar empat bulan yang lalu.
Kita pernah mendengar negara China mencipta pelbagai bahan palsu. Bahan-bahan elektronik malah minuman susu kanak-kanak damit juga dipalsukan. Sekarang mereka juga mencipta beras palsu. Antara bahan campurannya ialah plastik. Bagaimana saudara? Terkejutkah tidak?
Beras yang dijual di Taiyuan Shaanxi China adalah beras palsu dari campuran kentang, ubi manis dan bahagian utamanya dari plastik. Sudah terang dan nyata bahawa plasik amat merbahaya kepada kesihatan manusia.
Walaupun perkara itu diketahui tetapi edarannya meluas kerana pembuatnya mendapat hasil keuntungan yang besar. Mungkin juga ada yang sudah di eksport. Maka itu awda perlu ubaya-ubaya bila membeli bahan beras dari luar negara.
Nah kita kembali pada iklan yang disuarakan oleh anak kecil tadi. Walaupun cuma dua perkataan yang yang diluahkannya dalam iklan hujung minggu tanpa plasti “jangan lupa”: tetapi mesej yang perlu kita amat-amati sungguh besar dan serius.

Thursday, June 9, 2011

MAKAN DI GERAI DAN DI HOTEL MEWAH


Bila roti paun dihias sebegini sayang pula hendak makan. Tapi bagaimana rasanya? Sama juga seperti mengunyah roti bersama hirisan daging dan buah-buahan.

Apa beza makan di restoran dan di gerai?
Ada orang kata, sama saja. Malah kadang-kadang makanan di gerai lagi sedap.

Semasa tinggal di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur beberapa tahun dulu saya dan rakan teringin hendak makan roti canai. Kamipun tanya adakah hotel menyediakan roti canai. Jawapannya ada. Kamipun menempah. Lama baru pelayan hantar ke meja kami. Sudah tentu tidak sama seperti roti canai di gerai. Roti itu sudah dihias sehingga sayang untuk memakannya.

Beberapa hari kemudian kami mendapati restoran itu membawa masuk roti canai dari gerai. Rupanya asal roti canai di restoran itu dari gerai. Roti itu kemudian di “make up” dan diletak pada pinggan mahal. Tentu saja harganya empat kali lipat dari harga di gerai.

Sejak hari itu kalau teringin hendak makan roti canai kami duduk saja di gerai yang terletak di belakang hotel mewah. Hari itu juga baru kami tahu mereka yang pakai tali leher dan jeket yang sembang-sembang di gerai sambil menghirup teh tarik setiap pagi adalah pelanggan hotel mewah itu.

MACAM WOKSYOP


Kereta buatan Korea ini sudah banyak di jalanraya Brunei. Bila sampai ke rumah tak kan diletakkan berhujan berpanas tanpa garaj.

“Macam woksyop” komen seorang teman luar negeri bila kami berada di kawasan sebuah perumahan. “Tidak juga” Saya menyanggah. Alasan saya kerana apa yang dilihatnya itu adalah perkara biasa di Negara Brunei Darussalam. Lagipun benda yang dilihatnya semua baru dan berjenama pula. Tidak seperti yang ada di woksyop, kemek, berkarat dan berlonggok.

Abiskita tentu bertanya apakah yang disuarakan oleh sahabat saya itu dan kenapa pula saya menyanggah. Sebenarnya saya membawanya sekitar perumahan yang disediakan oleh pihak Kerajaan. Teman itu terpesona kerana setiap buah rumah mempunyai beberapa buah kereta. Ada yang sampai sembilan sepuluh buah kereta !

“Kalau saya sendiri memandu di kawasan ini tentu saya berpersangka ada acara di jalankan di rumah yang saya lihat. Ramai yang berkunjung ke rumah itu. Lihat saja kereta yang diletakkan dalam kawasan rumah itu. Rupa-rupanya kenderaan yang berlabuh itu dipunyai oleh ahli keluarga yang tinggal dalam rumah tersebut.”

Kalau disemak bahagian dalam rumah, ramai yang melengkapkan perhiasan dengan garget terkini. Sayangnya di halaman terbiar. Pokok-pokok bunga sepatutnya berdaun hijau sudah bertukar warna.

Kawasan rumah juga patut dihias bagi menimbulkan inviromen yang menarik. Saya pernah terlihat rumah-rumah yang menyediakan letak kereta mereka begitu cantik sehingga kereta-kereta itu bagaikan hiasan rumah. Tidak sakit mata memandang walaupun bilangan kereta yang berlabuh berjumlah tujuh ke lapan buah. Tidak simpang siur berhujan berpanas seperti “macam woksyop”

Tuesday, April 12, 2011

TIDAK SETUJU

Ini gambar hiasan saja. Gambar orang tua yang saya klik semasa bertugas di Vietnam beberapa tahun dulu. Bukan orang tua dalam penulisan di bawah ini

Cerita ini saya petik dari sebahagian tulisan saya yang dimuat dalam Pelita Brunei, akhbar rasmi Kerajaan Kebawah DYMM. Cerita mengenai pertembungan pedapat orang muda dengan orang tua. Orang tua lebih awal merasa garam, kata orang tua. “Soalnya, garam abis kita berbeza dengan garam kami masa ani.” Kata orang muda. “Walaupun abiskita makan garam lebih awal, garam atu mungkin lebih masin atau kurang masin dari garam masa ani.” Orang Muda menghujah. Hati orang tua jadi temutuk. Memang payah orang tua becakap dengan orang muda masa ini. Mati-mati orang muda kata jika berpelajaran, pengaruh luar yang negatif tidak akan menyusup ke jiwa mereka. Tapi cuba lihat cara gadis berpakaian saja. Sudahlah seluar itu mengantam sampai kelihatan takah seluar dalam, ada lagi tattoo di sana sini. Anting-anting tidak lagi di telinga. Sudah ada di hidung dan kirai. Kalau di tegur, mereka kata: “nini ani setail lama” Banar, memang zaman sudah jauh berubah. Sayapun terkenang dua bulan sebelum saya pencen. Ada pegawai muda tidak setuju dengan keputusan yang saya lakukan. Ia pun marah-marah. Kalau marah-marah tidak mengapa kerana sudah menjadi resam mesyuarat selalunya ada ahli yang setuju dan ada yang tidak setuju pada satu-satu keputusan. Tapi yang penting keputusan mesti dibuat samada keputusan itu good decision atau bad decision. “Kita perlu perubahan,” kata saya. Pegawai muda tidak puas hati. Ia terus mengekori saya ke pejabat. Dalam pejabat saya, ia terus berhujah. Merah padam mukanya. Tidak cukup dengan itu dia terus menghentak meja. Fail dicampakkan. Tapi saya tidak menukar keputusan yang disetujui oleh sidang mesyuarat. Entah apa terjadi sekarang. Saya sudah bersara. Tidaklah saya tau apakah ada lagi tempat orang muda itu melepaskan geram dan menghempas meja dan menghumbankan fail atau sudah ada lagi pegawai baru dan muda darinya yang menghentak meja dan melontarkan fail di hadapannya bila dia sudah jadi senior officer.

Friday, March 11, 2011

ULANG TAHUN PERKAHWINAN


Hari ulang tahun perkahwinan saya terasa nikmatnya dengan kehadiran lima orang cucu.


Majlis ringkas itu diadakan secara mendadak. Mana-mana saja yang dapat hadir.



Doa selamat diketuai oleh anak saya Ilham Hidayat. Di pangkuan atu ialah cucu yang baru hendak pandai berdiri di pangku oleh mamanya (isteri Ilham).



Sajian yang sedarhana. Di hujung majlis abis jua. Syukur alhamdulillah.



Anitah ahli keluarga yang sempat hadir di majlis sambutan ulang tahun perkahwinan ke 36 tahun.

Kemarin 10hb Mac 2011 adalah hari ulang tahun perkahwinan saya. Sudah 36 tahun saya hidup bersama isteri. Cabaran hidup memang ada. Semuanya itu menambahkan kebahagian rumahtangga. Kami mengadakan doa kesyukuran ringkas. Yang seronoknya ialah melihat telatah cucu-cucu yang baru kan pandai berdiri dan merunggau.
Tahun tahun dulu inda pernah saya mengadakan majlis doa ulang tahun perkahwinan. Kali ini kebetulan doktor mengsahkan bahawa isteri saya "clear" dari mengidap penyakit jantung (sebenarnya atinya abak-abak saja). Jadi isteri berniat untuk baca doa selamat dan kebetulan hari itu adalah hari ulang tahun perkahwinan kami ke 36 tahun.

Tuesday, March 8, 2011

OKU - ORANG KELAINAN UPAYA


Jangan sangka tanpa kaki, anak ini tidak maju dalam pembelajarannya. Inilah insan yang dikatakan sebagao Orang Kelainan Upaya.

Pada suatu ketika dulu ada bermacam-macam nama yang diberikan kepada orang-orang cacat anggota. Salah satu gelaran itu, mereka dikenali sebagai Orang Cacat. Pendek dan straight forward.
Kecacatan itu ada bermacam-macam. Tidak dapat melihat, tidak boleh mendengar, tidak boleh bercakap, terancat akal, tempang, sumbing, tidak bertangan, tidak berkaki dan macam-macam lagi. Mereka digelar Orang Cacat kerana ingin dibezakan dengan orang yang tidak cacat. Pengkategerian ini perlu bagi membantu urusan pentadbiran kehidupan mereka apa lagi Negara Brunei Darussalam dikenal sejak dulu lagi sebagai negara kebajikan yang membantu rakyatnya dalam apa jua kapisiti.
Golongan itu tidak ramai. Bukan tidak ada tetapi ramai keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang cacat malu untuk mendaftarkan ke badan-badan yang khusus memberikan penjagaan dan bimbingan. Namun bila zaman berubah, keadaan mendesak mereka untuk melakukan sesuatu yang positif bila saja anggota keluarga yang cacat itu membesar. Lagi pula pusat-pusat penjagaan dan bimbingan seperti KACA mula ditubuhkan dan Bahagian Kebajikan Masyarakat semakin aktif menyelenggarakan orang-orang cacat.
Untuk menggalakkan keluarga orang cacat menghantar ahli mereka yang cacat itu ke rumah-rumah kebajikan, gelaran bagi mereka yang kurang bernasib baik itu diubah menjadi orang kurang upaya atau ringkasnya OKU. Secara saikologi gelaran itu mengurangkan rasa rendah diri kumpulan orang cacat dan keluarga mereka. Di pihak pentabir pula gelaran itu menjadi katalis dalam menggalak orang-orang cacat menghubungi mereka.
Secara sistematik orang-orang cacat diajar bagi dapat berdiri sendiri dan tidak mengharapkan bantuan dari keluarga dalam menjalani kehidupan. Mereka dilatih dengan kerja-kerja yang mendatangkan hasil. Perasaan kurang upaya itu secara sedikit demi sedikit terhakis dan ada kalangan orang kurang upaya sudah mendirikan rumahtangga samada sesama mereka yang kurang upaya atau dengan insana yang lengkap anggota badan mereka. Mereka yang berkebolehan dihantar keluar negara untuk mendapatkan kemahiran khusus samada untuk keperluan mereka atau untuk membantu sesama kalangan orang-orang yang cacat. Di negara luar terdapat orang cacat yang bertugas dalam bidang perniagaan seperti menjadi tukang urut professional malah ada yang bagitu maju sehingga ada yang menyandang gelaran professor dalam dunia akedemik. Kita pernah terbaca dalam akhbar bagaimana orang cacat mencabar kekurangan mereka dengan mendaki gunung tinggi dalam dunia.
Dalam Negara Brunei Darussalam tentu saja puncak kejayaan yang sama ingin dicapai. Malah kita kagum ada kalangan orang cacat anggota penglihatan berjaya menjadi sebagai makenik enjin. Orang yang lengkap pancaindera seperti kita tidak mampu berbuat demikian tetapi mereka yang tidak dapat melihat bentuk skrew mampu pula berbuat demikian. Mereka menggunakan deria sentuh.
Dari keadaan itu, ada pendekatan untuk mereka ini tidak digelar sebagai OKU atau orang kurang upaya dan menukar singkatan OKU itu menjadi Orang Kelainan Upaya. Maknanya mereka ini mampu menjalankan apa-apa juga tugas dengan upaya yang ada pada mereka. Kekurangan satu atau dua pancaindera bukanlah kekurangan total tetapi keadaan itu menjana bagi mencapai sesuatu yang begitu menakjumkan.
Ketika sambutan Hari Kebangsaan, orang-orang yang dulunya dikenali sebagai Orang Cacat juga ikut serta dalam perarakan. Ini suatu yang membanggakan. Kalau tidak dapat berjalan kerana lumpuh, mereka keluar dengan di dorong oleh rakan mereka yang mempunyai kaki. Mereka sudah tidak malu. Mereka sama-sama menyumbang dalam meraikan hari bersejarah Negara.
Jadi bagaimana saudara? Setujukah awda dengan singkatan OKU itu bukan bererti Orang Kurang Upaya tetapi Orang Kelainan Upaya.

Sunday, March 6, 2011

TITIH LUTANAN


Teman baik saya Pg Haji Aji bersama isteri yang menyandang tempat pertama peraduan menulis rencana Tata Rakyat.



Kuasa wanita. Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Datin Hajah Adina menyampaikan ucapan penutupan sementara di belakangnya Hajah Aminah, Pmk Pengarah DBP sebagai penganjur.



Sebahagian dari rakan-rakan penulis. Gambar ini dirakam sebelum mengumuman pemenang. Pasti hati berdemar menunggu-nunggu keputusan.

Malam 6hb Mac 2011, alhamdulillah, rezeki saya bertambah seribu ringgit. Wang itu dari hadiah mendapat tempat ketiga dalam Peraduan Menulis Rencana Tata Rakyat yang penyampaian hadiahnya berlangsung beberapa jam tadi di Dewan Persidangan Antarabangsa Berakas. Majlis itu juga sebagai penutup rasmi Pesta Buku 2011. Selain wang tunai saya juga menerima sijil dan plague.
Rencana yang menyandang tempat pertama ditulis oleh rakan saya Pengiran Haji Aji bin Pengiran Haji Mohd Tahir. Hadiahnya ialah wang sebanyak tiga ribu ringgit, plague dan sijil. Rencana saya bertajuk Titih Lutanan. Ini kali pertama saya menulis dalam genre ini. Saya kena semak di mana kekuatan dan kelemahannya. Mudah-mudahan jika bahan itu diterbitkan menjadi buku, rencana itu akan menjadi kenangan hidup saya dan genarasi yang akan datang.
Majalis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan YM Datin Hajah Adina bte Haji Othman.

Tuesday, March 1, 2011

TINTA PESARA


Inilah tulisan yang terbaharu dimuatkan dalam Pelita Brunei akhbar Kerajaan.


Saya gembira kerana sempena Hari Kebangsaan ke 27 yang lalu pada 23hb Februari 2011, tulisan saya diterima oleh Pelita Brunei. Nama ruangan itu Tinta Pesara dan mudah-mudahan akan diterbitkan setiap minggu di akhbar kerajaan itu. Tinta Pesara akan memuatkan cerita-cerita dan pengalaman orang pencen.

Monday, February 28, 2011

BILA MENGHADAPI GANGGUAN TEKNIKAL


Masing-masing menunjukkan kebolehan menarikan tarian Poco-Poco


Hero bagi memeriahkan majlis- C Taufik, pelakon lawak Brunei


Saya diundang oleh Bahagian Drama RTB untuk menjadi salah seorang juri bakal pelakon drama RTB. Mereka itu terdiri dari peminat lakonan yang digabungkan berlakon dengan pelakon veteran. Hasil lakonan itu dinilai dan diberikan komen. Ada yang berpotensi. Namun ramai calon yang perlu dedahan dan bimbingan. Bukan mudah untuk jadi pelakon.
Pemilihan diadakan selama tiga hari. Beberapa hadangan dihadapi termasuk kerosakan teknikal. Sementara alat perakan di baik pulih para kakitangan penerbitan berhibus sesama sendiri bagi menyahkan rasa jemu. Telatah si Taufik pelakon lawak itu membuatkan kre terhibur dengan mengetuai tarian poco-poco.

JALAN LAUT KE TEMBURONG

Sejak bersara dari perkhidmatan Kerajaan saya tidak menggunakan perkhidmatan kenderaan laut untuk pergi ke Temburong. Maka bila ada tawaran Pusat Da’wah untuk pergi ke sana melalui jalan laut saya terus menerimanya. Sudah hampir tujuh tahun saya tidak melihat sekitar sungai menuju ke Temburong. Banyak perubahannya. Ada juga yang masih kekal seperti pokok-pokok pidada, daun nipah yang masih ada. Saya terlihat ada sekor buaya tersadai semasa pulang ke BSB. Sayang tidak sempat ambil gambar. Perahu-perahu yang dikendali oleh perambat udang galah tidak pula risau kehadiran buaya itu.
Bot yang membawa saya semakin laju. Kekuatannya 200 kuda. Pemandunya cekap bila membuat cornering di selekoh sungai yang tajam. Saya tanyakan pada rakan saya yang pergi dengan saya: sekiranya kita stuck di tengah-tengah laluan itu adakah dia ingat hala sungai yang berliku-liku itu? Terus dia jawab: tidak. Saya pasti ramai yang menggunakan khidmat sungai itu juga dalam keadaan begitu. Mereka pasti sesat. Jadi ini sebagai petunjuk bagaimana pentingnya perkhidmatan bot laju ke Temburong ke Brunei dan sebaliknya. Mereka benar-benar memudahkan perhubungan antara Bangar dengan BSB
Jalan darat ke Temburong sudah ada. Tapi dari segi kecepatan masa tiba ramai yang memilih pengangkutan laut.

Thursday, February 24, 2011

MAJLIS PELANCARAN BUKU PUSAT SEJARAH


Majlis Pelancaran buku terbitan Pusat Sejarah disempurnakan oleh YB Pehin Dato Haji Hazair Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan



Ada bermacam-macam gambar sejarah yang dipamerkan. Gambar-gambar itu mengingatkan hadirin pada zaman silam.



Kedai buku Pusat Sejarah terletak di hadapan bangunan Pusat Sejarah. Banyak buku boleh didapat sebagai tujukan dan bacaan umum.



Antara gambar yang dipamerkan ialah semasa Brunei di bawah pemerintahan Jepun 50 ke 60 tahun lalu.

Saya dijemput hadir ke Majlis Pelancaran Buku terbitan Pusat Sejarah Brunei 2010-2011 pada hari ini 24hb Februari 2011. Lapan buah buku di lancarkan yang termasuk buku-buku dalam bahasa Inggeris. Dalam majlis yang sama Kedai Buku Pusat Sejarah juga dilancarkan. Kedai itu terletak di bahagian hadapan baguna Jabatan itu.
Saya tertarik dengan beberapa gambar yang dipamerkan termasuk gtambar-gambar ketika Negara di bawah pemerintahan Jepun. Gambar-gambar lama Bandar Brunei (Bandar Seri Begawan) juga ada. Gambar itu mengingatkan saya tentang tambing kadai, panggung Boon Pang dan juga pasar dan tamu lama.