Sunday, January 13, 2013

SEMINAR KESEDARAN ASEAN


Saya menghadiri Seminar “program Kesedaran Mengenai ASEAN” anjuran Persatuan Siswazah Wanita, Negara Brunei Darusalam kemarin 12hb Jan.  Ini langkah baik sebagai respon kepada persediaan Brunei menjadi Pengerusi ASEAN 2013.
Kata-kata dari ucapan SUT Jabatan Perdana Menteri Haji Mohd Roselan memberangsangkan.  Tiga orang penceramah juga memberikan input yang berguna.  Mereka ialah Garry Ramlee Dato Haji Ibrahim, Kementerian HEWLN, Pg Haji Mohd Aslan dari KKBS dan dari Malaysia Miss Tan Lay Ean.  Saya tertarik dengan topik ASEAN Charter And The Roadmap.
Sebahagian dari peserta seminar dari kalangan persatuan wanita

Banyak soalan dikemukakan semasa forum Kesedaran ASEAN
Kehadiran di seminar itu menimbulkan nostalgia zaman saya terlibat dalam ASEAN COCI dan menjadi Pengerusi sub Group on Film and TV bagi Negara Brunei Darussalam semasa masih dalam perkhidmatan kerajaan dulu. 

Monday, January 7, 2013

GELB KICK OFF 2013

Notis pelancaran GELB Kick Off 2013


Group CEO dari Singapura turun padang ke NBD beri perangsang dan nasihat

Belum lagi kumpul jualan sudah ada semangat Korea. Staf GELB menggayakan tarian Gangnam Style
Saya menghadiri perjumpaan GELB Kick Off 2013 Syarikat Great Eastern di mana saya bertugas sebagai Life Planner di syarikat tersebut.  Sesi ini ialah untuk melihat kemajuan pada tahun 2012 yang lalu  dan mendedahkan apa yang patut dibuat untuk tahun 2013 ini. Bagi merangsang perniagaan, beberapa orang top gun dari Singapura  turun padang dan menyampaikan pelbagai saranan, pandangan dan nasihat.  Antaranya ialah Group CEO dan juga Singapore CEO.  Hadiah yang ditawarkan dan bakal menanti ialah melancong ke Korea disamping pelbagai insentif lain.

Saturday, January 5, 2013

GUNA TENAGA ELEKTRIK


Saya sudahpun diaturkan menggunakan meter pra bayar menggantikan meter elektrik lama.  Sudah dua bulan saya menggunakannya.  Bila disemak memang ada penurunan bayaran.  Tapi masa ini saya masih berhempas pulas membayar tunggakan dua ratus ringgit sebulan disamping membeli kad pra bayar.  Mungkin selesai dalam tiga tahun ini.
Tunggakan itu adalah kerana ada sifat “nantitah dulu, esok lusa ku membayar”.  Akhirnya sampai ke hujung bulan tidak terbayar.  Lagi satu sebab masa itu tidak ada kemudahan membayar secara on line.  Bayaran harus dijelaskan di meja pembayaran.  Bila malas pergi ke tempat itu (dengan pelbagai alasan, tidak ada parking dan sebagainya) maka bayaran tertunggak.
Notis ini di diletakkan di pintu tandas Universiti Brunei Darussalam.  Cara begini mengingatkan tentang penggunaan tenaga elektrik
Sekarang ini kalau tidak peka mengenai penggunaan tenaga elektrik, alamat gelaplah rumah. 

Thursday, January 3, 2013

TENGUK AIR PADA 1HB JANUARI 2013


Pada 1hb Januari yang lalu saya tidak mempunyai program khusus.  Hari cuti tahun baru 2013 itu elok di isi dan tidak gureng limpang di rumah.  Maka saya ke Empire Hotel and Country Club.  Tengok pecahan ombak.  Tenguk orang mandi manda  di kolam bernang. Sayang  tidak ada pancutan air.
Air sebenarnya mustahak alam kehidupan, tujuh puluh peratus tubuh kita terdiri dari air. Jadi mengambil air bersih dan sihat sangat-sangat disarankan. Air menghantar vitamin dan zat makanan ke seluruh sel dan organ tubuh. Jika kita kekurangan air, vitamin dan zat makanan, daya tahan tubuh akan melemah. Air menjaga suhu tubuh khususnya bagi kita yang hidup di iklim tropika, kurang minum menyebabkan  dehidrasi. Air membantu peredaran oksigen ke seluruh sel tubuh. Jika tubuh kekurangan air, maka bekalan oksigen terganggu dan kesannya sangat tidak baik bagi kesihatan. Air membantu tubuh bebas bergerak. Sendi-sendi tulang bahkan otot tidak akan berfungsi dengan baik jika tidak terdapat peluancar yang dihasilkan air, yang membantu melenturkan tubuh kita. Air  berfungsi membantu membuang racun dalam tubuh kita yang keluar dalam bentuk air kencing. Air sebagai pengimbang elektrolit dalam tubuh untuk membantu mengawal tekanan darah. Air membantu memelihara volume darah dalam tubuh sehingga kita mendapatkan keseimbangan tenaga yang baik.  Dengan cukup minum air proses pembakaran kalori dalam tubuh akan berjalan secara baik. Air juga membantu mempercepat proses penyembuhan penyakit.

TENANG BILA MELIHAT AIR DI  RUANG DEPAN HOTEL


DEKOR EMPIRE HOTEL KETIKA MENYAMBUT TAHUN BARU 2013
Banyak lagi kegunaan air.  Bagi saya melihat desiran ombak yakni air  memecah di tepi pantai, air di kolam renang,  sudah cukup mentenangkan fikiran.

Monday, November 19, 2012

Sastera Bandingan


Pada 3hb November 2012 saya menghadiri Siri Kuliah Kesusasteraan Bimbingan  di Balai Sarmayuda DBP yang dibimbing oleh Prof. Dr Sohaimi Abdul Azizi dari Malaysia.  Sebelah petang diadakan di UBD.  Projek ini adalah projek MASTERA.
Kuliah kedua mengenai jenis-jenis adaptasi novel ke  filem menarik perhatian saya kerana sudah lama saya teringin untuk mengalih cerita dari novel kepada genre skrip filem/drama TV.  Sekarang saya sudah mempunyai sedikit kekuatan kerana Prof Dr Sohaimi ada menerangkan tentang jenis adaptasi; adaptasi yang hampir lengkap dengan karya asal, adaptasi yang merobah sebahagian dari apa yang terdapat dalam karya asal dan adaptasi yang menghancurkan karya asal.  Cuma semangat atau roh cerita novel itu saja yang diikut. 
Saya dan sebahagian dari yang menyertai ceramah itu

Prof Dr Sohaimi dari Malaysia  menyampaikan Kertas Ceramah
Sebelumnya saya ragu-ragu kerana ada jalan cerita yang mungkin payah untuk dialihkan kepada bentuk filem/drama TV. Khuatir kalau mengubahnya tidak akan dibenarkan.Contoh-contoh filem dan novel juga memudahkan saya kerana novel/filem yang digunakan dalam ceramah itu pernah saya baca dan tonton.

Friday, October 26, 2012

BERKUMPUL DI AIDIL ADHA 1433H


Keluarga terdekat saja sudah memenuhi ruang bilik tamu.  Kyusuk membaca tahlil selepas bertakbir


Ketam suri dari kampung. Juga ada ialah buah tarap yang baru di pupul.  Tapi saya menggemari ikan kerapu masam manis yang baru di kail.

Ani ialah pais ikan tamban dan talur tenggiri.
Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan pada pembaca sekalian.  Sambutan yang saya adakan di rumah sederhana saja dengan memanggil adik beradik, anak buah, cucu, menantu.  Itupun sudah memenuhi ruang tamu.  Kami bertakbir sebelum bertahlil.

Makanan cukup lumayan.  Daging saja ada empat macam; daging lembu, ayam, kambing dan payau.  Saya suka pada ikan kerapu masak masam manis.  Kurapu atu oleh mengail.  Katam suri pun ada.  Perut kenyang tapi saya tambah lagi dengan memakan pais ikan tenggiri.  Buah buahan dan kueh muih pun ada.  Di dapur mereka membuka buah tarap yang baru di pupul.  Isinya punat.
Memang seronok mun makan beramai-ramai.  

Monday, October 22, 2012

TUGASAN

Penerbit bersama ahli kru penggambaran.  releks saja
Mengambil close up cara membuang kulit kayu.  Nampak mudah.  Tapi bila dicuba kial-kial jua dibuatnya.
Saya diminta oleh Penerbit Dokumentari Dayang Hajah Roziah bagi menulis sebuah bahan tentang alat musik tradational - Alat Musik Sadaman.  Penyelidikan dan penggambaran membawa saya ke dalam hutan bagi melihat tumbuhan dari mana alat musik itu berasal.  Lama sudah saya tidak ke hutan sejak bersara dari perkhidmatan Kerajaan.  Tentu saja tugasan itu menimbulkan rasa gembira dan cabaran.  Cabaran awal ialah bersilat dengan nyamuk dan agas.

Monday, October 15, 2012

PERJALANAN KE MESJID



Biasanya mesjid dipenuhi oleh jemaah pada Hari Jumaat.  Tidak berapa lama lagi mesjid juga akan penuh semasa umat Islam menunaikan sembahyang sunat Aidil Adha.  Di luar hari-hari kebesaran Islam, minda saya sering tergerak bila memerhatikan suasana aman damai setiap hari melalui jalan yang sama menuju mesjid ketika hendak menunaikan sembahyang Subuh.  Rumah saya dekat saja dengan mesjid.  Cuma mengambil masa kira-kira tiga minit untuk sampai ke mesjid.

Saya bangun sekitar jam 4.10 minit pagi.  Setelah mandi dan sarapan ala kadar dan memanaskan enjin kereta saya mula bergerak perlahan sekitar jam 4.45 pagi.  Dalam perjalanan waktu subuh saya lebih suka membuka cermin kereta.  Udara waktu subuh sungguh nyaman.  Apa lagi bila selepas waktu hujan.  Bayu yang menampar muka segar dan mengasyikkan.

Sepanjang perjalanan itu mungkin ramai yang masih diulit mimpi.  Hanya sebuah dua kereta yang lalu di jalan raya.  Mungkin pekerja sebelah pagi atau yang baru balik dari kerja syip.  Laju kereta itu dipandu.  Ini mengingatkan saya supaya memasang tali keledar.  Jangan sangka waktu subuh yang permai itu tidak mengundang kemalangan.  Perlu waspada setiap masa.

Di kiri kanan sekitar kawasan perumahan saya  dapat melihat banyaknya kereta berlabuh di setiap rumah. Mewahnya orang Brunei.  Saya tidak melihat sebuah rumah hanya mempunyai sebuah kereta.  Jika dihitung-hitung kebanyakannya mempunyai enam hingga sepuluh buah kereta pada setiap rumah.
Sekitar jam empat empat puluh lima subuh sinar cahaya pagi belum muncul. Cahaya lampu floresen masih gagah menyinari setiap rumah.  Ada yang membubuh di keliling rumah.  Terang benderanglah rumah itu.  Kalangan ini mungkin berusaha untuk mencegah jenayah curi.  Pencuri tidak akan mendekati rumah itu apa lagi bila ada notis terlekat menyatakan rumah berkenaan dipasang dengan kamera sekuriti sepanjang 24 jam.

Ada juga rumah yang malap.  Apakah kalangan ini jenis yang berani atau mereka ini penuh percaya kawasan mereka tidak akan dikunjungi pencuri atau juga mereka ini cuba menyahut seruan supaya tidak terlalu banyak menggunakan tenaga.  Penghuninya saja yang tahu.
Anjing-anjing liar berkeliaran dan mengheret saki baki makanan dari tong sampah yang tidak bertutup.  Berjuritlah sampah sarap. Siang hari kelak pasti penghuninya menyumpah-yumpah.  Saya hanya mendamaikan hati dengan menyuarakan bahawa anjing itu juga mahluk yang mahu tumpang hidup dalam dunia ini.

Di perkarangan mesjid sudah banyak kereta yang berlabuh.  Saya tidak tahu jam berapa mereka sampai.  Di dinding mesjid saya pernah terlihat mesjid di buka jam empat pagi dan pagar mesjid di tutup jam lapan malam.

Biasanya saya tidak terus masuk ke mesjid.  Saya berlegar di sekitar kereta yang berlabuh.   Saya akan ditunggu oleh seekor kucing berwarna kuning.  Saya tidak tahu dari mana datangnya kucing itu kerana mesjid terletak di atas bukit.  Mungkin kucing itu dibuang oleh tuannya.  Kadang kala kucing itu bernasib baik kerana selepas Isya ada orang mengadakan jamuan di siring mesjid selepas bertahlil atau lain-lain kegiatan ugama.  Dapatlah dia memakan rimah.  Jika tidak ada, ia akan mengiau mengharapkan simpati jemaah.  Oleh sebab kucing itu sering saya temui saya menyediakan sebotol makanan kucing jenis kering untuk sajiannya.  Kucing itu nampaknya sudah mengenali saya.  Setiap kali saya keluar dari mesjid kucing itu mendongak.  Matanya yang bundar seolah-olah berkata, mana makananku.

Balik dari mesjid saya berpeluang mengikuti ceramah Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam mengenai Melayu Islam Beraja melalui televisyen kecil yang saya pasang dalam kereta. Cara penyampaian Pehin sangat bersahaja.  Mudah difaham apa lagi dalam suasana kepala masih kosong dan selepas menunaikan sembahyang fardhu Subuh pula.  Saya hanya menutup TV kereta setelah selesai mendengar ceramah itu yang disampaikan sekitar lima belas minit.  Biasanya ceramah tamat jam enam pagi.

Pantai nan indah, boleh menjadi ilham penulisan
Begitu rotin saya setiap pagi.

Sunday, October 14, 2012

HAMPIR TEBENGKALAI


Lama betul saya tidak singgah ke blog saya ini.  Pada hal banyak benda yang boleh dimasukkan terutama sambutan-sambutan hari raya. Namun yang mengesankan saya dan membuatkan saya terkilan ialah bila tidak diundang untuk majlis penyampaian hadiah menulis skrip drama radio.  Skrip saya tidak mendapat tempat, kata penganjur.  Jadi tidak ada undangan.  Tidak mengapalah.  Saya menghantar skrip itu kerana mahu sama-sama merespons promo meminta supaya penulis menghadapkan karya.  Tidak menang tidak apa.  Undangan ke majlis penyampaian hadiah itu memang ditunggu-tunggu (walaupun tidak menang).  Ada juga peluang memberi tahniah kepada penulis yang menang.  Tapi begitulah kejadiannya.....

Sebagai penulis mesti rajin ke sana ke maricari bahan.  Gambar ini ketika melawat pameran di Majlis Ilmu 2012
Seminggu selepas itu saya di undang oleh Pusat Dakwah.  Rupanya nobel saya mendapat tempat kedua.  Saya menerima hadiah lapan ribu ringgit Brunei.Cerita ini sudah berlalu tiga empat bulan. Saya sekadar mencatatkannya sebagai cara menghidupkan blog saya kembali.

Thursday, July 12, 2012

ESH

Rakan-rakan berkata: cuba tah kita tulis tentang ash. Perkara pertama yang terlintas dalam minda saya ialah tentang abu. Ash itu perkataan Inggeris. Bahasa Melayunya abu. Apa yang menarik tentang abu? Soal jerabukah? Setelah saya dengar bisik-bisik, rupanya saya salah dengan. Yang diperkatakan ialah ESH bukan ASH. ESH itu ialah singkatan dari Elaun Sara Hidup.


Oh itu rupanya. Memang ramai orang memperkatakannya. Pertama, sama ada dia akan menerima ESH itu. Kedua, berapa jumlahnya? Nampaknya soalan kedua itu lebih menonjol. Saya sebenarnya tidak kesah samada akan menerima ESH tersebut. Saya pencen tahun 2005. Bukan tidak mahu wang. Kalau ada, alhamdulillah. Apa lagi bila Ramadhan dan Hariraya akan menjelang. Belanja tetap lebih walau hari-hari sudah diingatkan supaya berbelanja secara berhemah.

Ada orang meramal ESH itu hanya akan dapat dilihat transit di mesen ATM saja kerana siapa yang berhutang pada kerajaan, akan diberi kemudahan untuk membayar hutang dulu. Kalau ada lebih baru dapat dijawat. Di pihak saya berpandangan berbelah bagi. Walaupun sudah pencen, hutang elektrik saya agak tinggi. Dulu bil elektrik di potong dari gaji. Bila pencen, bil itu harus dibayar di kaunter pembayaran. Kerana malas pergi ke kaunter, hutang elektrik meningkat. Nah, mun ada ESH boleh jua menampung. Inda sakit kepala hutang beres atau sekurang-kurangnya jumlahnya bekurangan.

“Kalau cam atu tuan aji, rapan-rapan saja dapat ESH kalau habis dipotong” seorang teman menyuarakan keluhan. Ia mahu kalaulah dapat potongan dari ESH itu hanya dipotong sekian sekian peratus saja. “Terasa jua ni’mat mendapat ESH itu” katanya. Saya tidak tahu apa nak kata pada dia. Pertama bentuk pembayaran itu belum diketahui. Kedua kita tahu negara kita adalah negara kebajikan. Pasti ada sifir-sifir yang lebih besar bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kewangan.

Bagi saya, kalau ada anugeraha, alhamdulillah. Kalau tidak ada, saya akan memikirkan betapa ni’matnya hidup berpencen. Goyang kaki dan jalan-jalan di kedaipun dapat imbalan di hujung bulan. Ada pencen perkhidmatan. Ada pencen tua.
Kalau ada wang, tamu sebegini menjadi tumpuan terutama dalam bulan Ramadhan