Friday, December 2, 2011

DARI DIA KITA DATANG, PADANYA JUGA KITA KEMBALI


Allahyarham Tuan Haj Abdul Wahab Mohamad bersama mantan Pengarah Radio Televisyen Brunei Dato Paduka Awang Haji Alidin bin Haji Othman.


Ada sesuatu yang disampaikan oleh Allahyarham Tuan Haji Wahab kepada Awang Haji Idris Abdul Rahman mantas Pengurus Operasi Teknikal RTB.



Allahyarham Awang Haji Abdul Wahab bersama warga tua RTB bergambar di hadapan Dewan Raya. Di belakang berbaju cerah ialah Awang Haji Adnan Haji Hassan. Dia juga sudah kembali ke rahmatullah baharu-baharu ini. Saya berdiri di belakang no 2 dari kiri.





Semoga rohnya dicucuri rahmat. Itulah sahaja ucapan terakhir buat mentor saya Tuan Haji Abdul Wahab Muhammad yang kembali ke rahmatullah petang kemarin 1hb Disember 2011. Saya sempat mengunjunginya di RIPAS pada hari Selasa sebelumnya. Ketika itu dia sudah uzur. Masa bertugas dulu dia tidak lokek memberi nasihat kepada saya. Dia ada memberikan secebis kertas yang ditulis dengan tangannya sendiri. “Hati-hati menjalankan tugas. Banyak yang cuba menjatuhkan kitani.” Itu pesanannya sebelum menyerahkan kerusi Pengurus Penerbitan Rancangan TV dan masuk ke dunia pesaraan wajib.








Jasanya terlalu banyak untuk dikenang bukan saja bagi kerabat Radio Televisyen Brunei malah juga negara. Siapa tidak kenal Bujang Sigandam. Itulah perahan ilhamnya dan ditulis minggu demi minggu dan terkenal hingga masa ini.








Selamat jalan tokoh yang ku sanjung tinggi

Wednesday, November 30, 2011

PELANCARAN BUKU


Sebahagian dari buku yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Brunei

Hari Selasa lalu 29hb November 2011/3hb Muharram 1433 saya ke Indera Kayangan Ballroom Hotel Empire bagi menghadiri Majlis Pelancaran dua buah buku: Melayu Islam Beraja “Mahkota Negara” dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah: Penyelamat Ummah. Kedua-dua buah buku itu adalah tulisan Mufti Kerajaan Brunei Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.




Dengan terbitnya buku itu bertambahlah lagi bahan bacaan bagi rakyat dan penduduk di negara ini. Ada orang kata bukan jumlah buku yang dikira tetapi seramai mana orang membacanya. Saya tanya rakan yang bertugas di Jabatan Mufti apa cara supaya ramai lagi orang gemar membaca, khususnya buku-buku ugama. Dia menjawab memang tidak ramai orang membaca buku ilmiah. Maka itu penerbitan buku Jabatan itu mengambil kira ketebalan buku. Dan ini berkait rapat dengan harganya. Mudah-mudahan ramai orang menjadi pengemar buku.

Tuesday, November 29, 2011

MESYUARAT OH MESYUARAT


Bilik ini selesa. Ada meja, kerusi dan berhawa dingin. Ini ialah rakaman perjumpaan JK Asterawani dengan penulis Daerah Tutong. Biliknya lebih jauh selesa dari Pusat Belia yang diperuntukkan kepada Asterawani bermesyuarat.

Saya diundang untuk menghadiri mesyuarat Asterawani pada Ahad lepas 27hb November bersamaan 1hb Muharram.. Bawa kueh seangkat-angkat hati , pesan Setiausaha. Mesyuarat itu sepatutnya bermula jam 7.30 malam. Tetapi menghadapi hadangan. Tempat mesyuarat diaturkan di sebuah bilik kecil yang bakal diperuntukkan kepada Asterawani . Kerusinya tidak cukup untuk diduduki oleh ahli yang hadir. Meja cuma satu. Yang menghalang bukan itu. Panas bilik yang menjadikan badan tidak selesa. Bilik hanya dibekalkan dengan sebuah kipas angin. Tidak ada air-con.

Pengerusi mencari sekuriti dan meminta supaya membuka bilik mesyuarat yang biasanya digunakan. Mengikut Pengerusi sekuriti itu tidak berani membuka kerana tiada ada tempahan bagi berbuat demikian. Menurutnya tempahan yang ada ialah pada sebelah tengah hari dan bukan sebelah malam. Pengerusi menghubungi Pengarah Kebajikan Belia dan Sukan. Pengarah memberi kebenaran bagi menggunakan bilik mesyuarat. Bila khabar ini mahu disampaikan pada sekuriti, sekuriti itu pula tidak dijumpai. Maklumat yang didapat sekuriti pergi keluar makan!
Mesyuarat tidak dapat dijalankan di bilik kecil kerana panas. Juga tidak dapat dilangsungkan di bilik mesyuarat kerana bilik itu berkunci. Akhirnya kami bermesyuarat di bilik sembahyang kerana bilik sembahyang sentiasa terbuka. Di sana ada air com. Lucunya kami bermesyuarat dengan duduk bersila. Tiada ada kerusi meja kerana bilik dipenuhi sejadah.

Begitulah nasib sebuah persatuan yang ingin menegakkan Bahasa dan Sastera.

Wednesday, November 23, 2011

MENCAWANG KELUARGA


Kenapa kurang senyum? Berdebarkah untuk menjadi seorang isteri?. Melly anak saudara angkat saya.


Menyarungkan cincin perkahwinan ke jari suami Mohd Halem Sani




Antara keluarga yang hadir. Yang berbaju biru ialah abang saya Haji Sablee yang mengasuh Melly (bersama isteri - isteri sudah meninggal). Sekarang dia di bawah tanggungjawab suami. Jangan lupa orang yang mengasuh kau Melly.




Dengan sekali lapaz sah Mohd Halem Sani menjadi suami kepada Melly Abdullah.


19hb November lalu saya ke KK. Saya hampir terperangkap dalam banjir kilat dalam Bandar. Hujan mencurah-curah. Kata orang di sana jarang hujan sebegitu lebat. Semasa hujan lebat saya berada di dalam 1 Borneo. Saya ingat bunyi hujan yang mencurah itu sebahagian dari dekor dalam shopping centre itu. Rupanya hujan lebat betul-betul.

Saya ke KK menghadiri perkahwinan anak angkat abang saya. (kira anak kemanakan saya juga)Namanya Melly. Suaminya, Mohd Halem orang Johor. Nikah di mesjid negeri di Sambulan. Ibu Melly meninggal dunia ketika dia dilahirkan. Maka isteri abang saya (ipar) memeliharanya. Sekarang ipar saya juga telah meninggal dunia.


Dengan perkahwinan ini tercabang lagi pelbagai ethnik yang menjadi kaum kerabat. Melly berdarah Dusun. Suaminya mungkin Bowian Singapura-Johor.. Di kalangan keluarga ada yang berkahwin dengan Kadazan Dusun, Rungus, Jawa, Brunei dan bermestautin di Kedah, Johor, Sabah, Brunei.

Friday, November 18, 2011

DAILOG SENI


Bersama saudara Kamal Ishak Pengarah/Penulis Skrip dari Malaysia.


Antara mahasiswa/penggemar seni yang mengikuti Dailog Seni di CLT G12 Universiti Brunei Darussalam.



Sempat juga mencurahkan ilmu mengadaptasi cerpen/nobel menjadi skrip pentas/TV dalam majlis Pantaran Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada 17hb November yang lalu saya berpeluang menghadiri Dailog Seni dengan Pengarah/Penulis Skripari Malaysia Saudara Kamal Ishak. Acara berlangsung di CLT G 12 Universiti Brunei Darussalam. Banayk perkara dibincangkan melalui pengalaman sdra Kamal yang berkecimpung dalam bidang ini lebih 30 tahun.















Keesokan harinya Kamal Ishak hadir pula di Pantaran Sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan sempat menurunkan ilmu mengenai cara mengadaptasi Cerpen/Nobel menjadi skrip Pentas/TV. Bertambah lagi ilmu di dada melalui sesi itu.

Thursday, November 17, 2011

PERADUAN MENULIS


Ingin tahu bagaimana mencipta cerpen yang bernas. Pengiran Haji Metassan Pengiran Haji Abu Bakar, sahabat saya yang menjadi pemenang pertama dalam kategori penulisan cerpen diwawancara pihak media.

12hb November 2011 yang lalu berlangsung Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Cerpen Kreatif Bahana anjuran DBP-BSP 2011. Disampaikan juga ialah hadiah beberapa peraduan yang lain. Saya menyertai peraduan Cerpen, Rencana dan Kertas Cadangan Penyelidikan. Paling ramai mengikuti ialah Peraduan Cerpen seramai 53 orang. Peraduan Menulis Rencana hanya mengundang 22 orang peserta sementara Peraduan Cadangan Penyelidikan hanya diikuti oleh 11 orang. Saya kurang pasti format Peraduan yang terakhir itu kerana kebanyakan yang menang ialah seakan penyelidikan bagi penulisan tesis. Hari itu saku saya bertambah sebanyak $500.00 hasil dari saguhati Peraduan Menulis Rencana.

Saturday, November 12, 2011

11.11.11. (11HB NOVEMBER 2011)


Menyerahkan tanda barian kepada pengantin perempuan


Indah indah bawaan dalam majlis Menghantar Barian



Beliau pengantin bini memerhatikan bawaan dari rombongan pengantin lelaki




Menyukat beras bawaan dari rombongan pengantin lelaki dengan menggunakan sulang: adat yang masih kukuh di kalangan masyarakat

Ramai yang mengadakan majlis sempena tarikh 11.11.2011. Tarikh yang ada “ekor” 11 ini akan hanya ada 100 tahun akan datang iaitu pada 11 hb November 3011. Saya menghadiri majlis Menghantar Barian dan Akad nikah anak kemanakan Awang Shamsareysal Haji Besar dengan isterinya Hajah Zuliana Haji Zunaidi. Saya menjadi “chef de mission” bagi majlis Hantar Barian. Perjalanan dari Serasa ke Labi agak jauh. Tapi seronok dengan menaiki bas. Juga melihat keindahan sekitar hutan Labi (lama saya tidak ke sana). Saya melihat banyak sekali pohon durian di kampung Hajah Zuliana tapi belum berbuah. Angan-angan sudah ada untuk berkunjung ke tempat ini pada musim buah terutama bila durian sudah dapat dipetik.

Wednesday, November 9, 2011

SANTAI YANG TIDAK SANTAI


Bot-bot "flying coffin" menunggu penumpang. Lihat jenis enjinnya dan perahunya. Bot jenis ini juga menjadi alat pengangkutan Labuan-Sipitang, BSB - Temburung/Limbang.


Masuk ke dalam bot ini kena hati-hati. Kalau tidak mudah mencabur. Ikut serta dalam bot ini adalah tanggungan sendiri. Ada insurankah pengendali bot ini?



Fesyennya macam kapalterbang. Inilah jenis kapal yang membawa penumpang mengharung laut berombak ke Negara Brunei Darussalam.


Untuk sekian lamanya saya tidak pergi ke Labuan walaupun kata orang tempat itu tumbir-tumbir di kuala sungai Brunei. Minggu lepas saya berkesempatan ke sana. Bukan setakat Labuan saja, malah menyeberang ke pekan kecil Menumbuk.
Untuk ke Menumbuk saya menaiki bot tambang yang dulu dikenali sebagai flying coffin. Betul-betul macam keranda. Bot atu disertai oleh 12 orang penumpang. Lajunya bukan main. Saya khuatir kalau terlanggar batang “timbul tahi”. Ke mana hendak pergi walaupun bot atu mempunyai pelampung peribadi. Badan saya sudah berat dan sudah lama tidak bernang di air masin. Alhamdulillah saya sampai juga ke Menumbuk. Pekan itu bagaikan pekan koboi. Lengang. Tidak seperti ketika musim cuti sekolah.
Dua jam di sana saya pulang ke Labuan. Kalau semasa pergi ke Menumbuk saya menaiki bot 200 kuda. Masa pulang enjin bot itu berkuasa 250 kuda. Saya tidak dapat mengampaikan punggung . Hentakannya terlalu kuat. Bagaikan orang menumbuk tulang belakang. Dalam kepala saya sudah berligar untuk mencari tukang urut. Pemandu bot biasa-biasa saja melanggar ombak besar. Dia mempunyai kerusi berkosyen. Yang sengsara ialah menumpang. Nasib baik masa yang diambil tidak sampai setengah jam. Sungguh hebat deraannya.
Saya jalan-jalan buang masa di Labuan menunggu kapal bertolak jam 3.30 petang. Tiada apa yang menarik. Saya singgah di gerai dan menempah cucur pisang. Saya belasah bersama teh tarik.
Menyeberang ke Brunei satu hal lagi. Ombangnya besar-besar. Salam salur kapal dibuatnya. Lenggangannya juga terasa. Anging bersama ombak menimbulkan rasa gerun. Kata seorang kenalan yang ikut dalam kapal itu, lima belas minit lagi kalau kapal belum merakit ke Serasa pasti membual isi perutnya keluar. Muntahnya sudah berada di leher.
Buat apa pergi ke Labuan? Itu pertanyaan kawan-kawan. Saya kata cari ilham sambil cari buku. Tapi tidak ada buku yang menarik.

Saturday, October 29, 2011

SEMINAR PENGAJIAN MELAYU

Saya menghadiri Seminar Pengajian Melayu Dalam Pembinaan Temadun Nusantara Pengajian Melayu di Universiti Brunei Darussalam kemarin dan hari ini. Seminar ini mahu mendedahkan dan meletakkan kembali nilai pengajian Melayu sebagai disiplin ilmu yang mempunyai banyak kepentingan dalam kehidupan. Saya petik sedikit nukilan semasa perasmian Seminar yang bertema Pemerkasaan dan Pelestarian Pengajian Sastera, Bahasa dan Budaya Melayu.

Para penggemar pengajian Melayu sedar tentang tekanan yang dihadapi, saingan dan pengupayaan sebagai disiplin ilmu dalam garapan sistem pendidikan dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi.

Pengajian Melayu tidak hanya dilihat sebagai suatu bentuk perjuangan egosentrik di wilayah Nusantara tetapi harus diiktiraf sebagai satu bidang keilmuan dalam konteks global. Tunjang -tunjang pengajian Melayu harus ditrampilkan sebagai penanda aras serta sumber kebijakan, keilmuan atau kebitaraan yang boleh menyokong pembinaan dan peningkatan temadun tinggi dalam dunia Melayu.

Apresiasi yang berterusan dalam pengajian Melayu memerlukan sokongan dan dokongan pelbagai media komunikasi baik berbentuk massa mahupun personal. Hal ini memerlukan cendikia pengajian Melayu merumuskan formula untuk menyemarakkan kembali bidang-bidang pengajian Melayu sebagai suatu bidang pengajian yang kondusif, impresif dan kompetatif.

Friday, October 28, 2011

Pemalas

Terkejut juga saya bila singgah ke ruangan Blog saya. Sudah empat bulan saya tidak menambah walau satu perkataan pada hal saya mempunyai banyak bahan. Malah saya tidak menulis apa-apa ketika sambutan hariraya Aidil Fitri 1432 Hijrah. Sekarang hariraya Aidil Adha juga sudah jauh di belakang dan akan menjelang pula sambutan tahun Hijrah 1433. Saya melihat mereka yang singgah ke Blog saya. Bilangannya hampir mencecah 30 ribu.
Satu sebab kenapa tidak ada tambahan pada cerita dalam Blog ialah kerana keghairahan untuk mengikuti jejak kawan-kawan untuk menatap Facebook. Facebook wujud pada tahun 2004. Sebelum itu ruang untuk berkomunikasi di alam siber ialah dengan menggunakan Blog.
Semasa saya mula diperkenalkan kepada Blog, saya merasa was-was untuk apa Blog itu. Masa itu saya bertugas dengan sebuah akhbar yang menyampaikan komunikasi kepada pekerja melalui IT. Tidak ada kertas yang digunakan. Oleh sebab terbiasa dengan cara kerja begitu saya terus menatap Blog. Terdapat beberapa orang kawan yang sudah rancak menulis dan memberi ruang iklan dalam Blog mereka. Maka penyakit menulis dalam Blog itu menjangkit pada diri saya.

Saya menyemak siapa lagi menjadi ahli Facebook. Ada organisasi ngo samada bercorak sosial atau ekonomi yang menghubungi klien mereka melalui Facebook. Begitu juga hal ini diikuti oleh jabatan-jabatan Kerajaan. Maknanya seperti juga tool dalam alam siber lain, terpulang kepada kita untuk bagaimana alat itu digunakan. Untuk kebaikan atau sekadar suka-suka.
Dan sekarang saya ingin belajar lebih lanjut mengenai Facebook. Bagaimana menggunakannya secara positif. Dan dalam masa yang sama saya cuba memaksa diri untuk kembali menulis dalam Blog saya.