Wednesday, June 16, 2010

BENGAWAN SOLO

Saya pergi ke Jakarta beberapa minggu lalu setelah kira-kira enam tahun tidak menjejak kaki ke bumi Indonesia. Setelah masa berlalu tentu saja banyak ekspektasi. Namun turun dari pesawat terbang dan melalui Bendara Sukarno-Hatta saya rasa keadaannya masih seperti dulu. Yang Dulu ramai pengurap wang berlari-lari untuk membawa ke booth mereka. Tukar wang di sini, bapak. Bagitu juga pengemudi teksi. Ramai yang menawarkan khidmat. Pergi ke Jakarta mengembalikan kenangan saya pada lagu-lagu keroncong termasuk lagu Bengawan Solo.

Lagu ini bagitu popular sehingga bila orang menyebut ibu Negara Brunei Darussalam, mereka terpengaruh dengan sebutan Bengawan Solo, bukan Begawan dalam nama Bandar Seri Begawan. Orang-orang tua lingkungan 50 ke 70 tahun pasti ingat melodi lagu tersebut. Sungguh mendayu-dayu. Apa lagi alunannya dalam irama keroncong dan digual pada waktu malam. Melodi asalnya dimainkan dengan menggunakan seruling.

Cerita tentang lagu Begawan Solo timbul bila mana penciptanya bapak Gesang Martohartono meninggal dunia baharu-baharu ini pada usia 92 tahun. Lagu Begawan Solo dicipta pada tahun 1940 menceritakan tentang sebuah sungai solo yang mengalir melalui bahagian tengah dan Timur Pulau Jawa. Oleh sebab melodinya yang menarik lagu ini telah di terjemahkan ke sekurang-kurangnya 13 bahasa termasuk ke dalam Bahasa Inggeris, China dan Jepun. Jadi bayangkan sebanyak mana pendengar lagu Bengawan Solo. Lagu itu juga telah disampaikan oleh penyanyi-penyanyi handalan seperti Pan Xiuqiong, penyanyi traditional Jawa Waljinah dan Francis Yip.

Bengawan Solo dinyanyikan dalam Singapore Youth Festival, dipadankan ke lagu Bahasa Inggeris River of Love dan dinyanyikan oleh Rebecca Pan. Lagu yang sama juga dimasukkan dalam sebuah filem Hongkong oleh Pengarahnya Wong Kar Wai dalam filem bertajuk The Mood for Love pada tahun 2000.

Khabarnya bapak Gesang Martohartono, pencipta lagu ini mendapat royalti sekitar 21 juta rupiah dari bulan Julai hingga Disember tahun lalu sahaja. Ini satu pencapaian yang amat besar bila mengenang bahawa lagu Bengawan Solo dicipta oleh seorang yang mendalami ilmu musik secara sendirian dan pada mulanya hanya dinyanyikan di pesta-pesta kampung.

Cerita-cerita sebegini walaupun dipandang sebagai cerita “stail lama” perlu juga diambil peduli oleh insan-insan yang terlibat dalam dunia musik. P2F baru saja selesai. Mungkin ada rangsangan dari pengalaman bapak Gesang ini dan penyanyi gemerlapan yang disokong oleh peminat tidak hanya bergantung kepada undian sms.

Pelangi FM berungkayah mengeluarkan CD penyanyi tempatan setiap tahun. Moga lagu-lagu itu terus berkumandang. Kalaulah boleh melodinya meresap ke genarasi akan datang.

No comments: