Seminggu saya tidak ada di tanah air. Saya ke Kedah menghadiri perkahwinan cucu kemanakan. Seminggu inda menjangkau komputer walaupun laptop damit ada saya bawa. Terasa jua ruginya quality time berlalu bagitu saja. Seperti biasa saya catat beberapa dapatan yang boleh dijadikan bahan mingguan Katak Atas Tempurung. Inilah salah satu darinya....
Bermula dari kelompok keluarga. Sekarang sempadan geografi itu semakin luas. Ada kalangan keluarga yang bermastautin di luar negara; di Australia, Kanada, England, Malaysia, Singapura.
Sekarang ramai yang menggunakan facebook sebagai pengerat hubungan. Dari sekecil-kecil anak hinggalah kepada nenek-nenek. Syaratnya mereka mampu menekan kekunci komputer. Orang jauh dapat didekatkan. Mereka yang lama berpisah boleh dicari. Oleh yang demikian jangan kita ditinggalkan oleh perahu siber. Jika tidak kita akan ternganga bila orang memperkatakan tentang facebook; suatu kemudahan sosial masakini. Banyak yang boleh dilakukan. Bersembang-sembang, mengirim gambar, mengiklan barangan hinggalah mengedarkan cakap-cakap politik.
Yang dulu kurus sudah jadi gemuk. Yang berambut ikal kini kepala diliputi rambut putih. Atau lebih mengelirukan jika dulu ia berambut lebat kini kepala sudah licin berkilat. Dulu barisan giginya yang bagus menjadi buruan pengiklan ubat gigi sekarang sudah rongak dan bertagar pula kesan dari merokok bertahun-tahun.
Baharu-baharu ini saya ke Kulim Kedah menghadiri majlis perkahwinan cucu saudara. Sayapun terfikir, ini peluang saya berjumpa kawan-kawan lama yang sama-sama menuntut di sebuah sekolah berasrama lebih empat puluh tahun lalu. Benar, seperti yang dijanjikan ada seorang yang datang ke rumah penginapan saya. Lucunya saya tidak mengenalinya. Siapa dia ini walaupun saya pasti ia sahabat rapat saya dulu. Dia tidak menghadapi masalah kerana memang hajatnya untuk menjumpai saya. Tapi saya dijanjikan oleh beberapa orang yang ingin menemui saya. Segan juga hendak bertanya siapa dia. Jadi saya hanya mengintai clue dari percakapan kami. Sedikit-sedikit saya mula mencam dirinya.
Sungguh bertukar wajahnya. Dulu dia aktif dalam musik. Maka rambutnya juga mengikut trend penyanyi tahun enam puluhan. Leper ke dahi. Sekarang kawasan yang sama di kepalanya sudah tidak ditumbuhi rambut. Lasak di dahi. Saya terus mengingati dirinya. Kulitnya saya lihat lebih gelap dari zaman persekolahan dulu. Mungkin lama terdedah pada cuaca tepi laut di Pulau Pinang. Giginya pun sudah rongak.
Dia mengajak saya minum di sebuah restoren dan di sana kami bersembang mengingat kesah lama. Katanya dia sudah bersara. Jawatan terakhirnya ialah sebagai pengetua sekolah. Dia mengeluarkan sigup daun. Ini bagitu kontras dengan tempat kami membasahi leher; hotel empat bintang. Masih jadi perokok rupanya dia, hati saya berkata-kata. Cepat sekali dia menggulung tembakau dengan sigup daun.
Dia menyebut nama beberapa orang rakan kami dulu. Katanya ada yang jadi Menteri. Ada yang memegang gelaran Dato Seri. Ada juga yang kurang bernasib baik tinggal di pelusuk kampung dan tidak mahu keluar dari daerah itu. Mungkin segan kerana dulu kawan itu pernah jadi ketua darjah. Lepas itu dia merista nama seorang teman berasal dari Brunei.
“Saya ingat betui dia ni,” katanya dalam loghat Kedah pekat. “Satu Jamaat kami tuang sembahyang. Tak pii sembahyang Jamaat. Releks ataeh katil. Cikgu Singh buat roll check Saya pii cabut laghi. Tapi kawan Brunei diam. Hang tau pasai apa ?” Dia menyoal saya. Saya diam terus mendengar ceritanya “Cikgu Singh tanya why are you not going for Friday prayer ? Kawan Brunei kata dia bukan Islam. Dia orhang Dusun. Dia terlepah. Aku yang kena belasah pongkok. Kena public canning" katanya sambil ketawa menampakkan gigi bertagar kena sigup daun.
Bila kami mengira masa yang kami lalui, rupa-rupanya sudah lebih empat puluh dua tahun kami tidak bertemu. Patutlah dia, pagi-pagi lagi sanggup memandu kereta dari Alor Star ke Kulim, mengambil masa lebih sejam . Lepas itu putar-putar mencari rumah penginapan saya di Taman Kemuning selama sejam lagi. Kesal juga saya. Kalaulah saya berhubungan lebih awal melalui facebook alangkah mudahnya perjalanan dan perjumpaan itu.
No comments:
Post a Comment