Monday, October 15, 2012

PERJALANAN KE MESJID



Biasanya mesjid dipenuhi oleh jemaah pada Hari Jumaat.  Tidak berapa lama lagi mesjid juga akan penuh semasa umat Islam menunaikan sembahyang sunat Aidil Adha.  Di luar hari-hari kebesaran Islam, minda saya sering tergerak bila memerhatikan suasana aman damai setiap hari melalui jalan yang sama menuju mesjid ketika hendak menunaikan sembahyang Subuh.  Rumah saya dekat saja dengan mesjid.  Cuma mengambil masa kira-kira tiga minit untuk sampai ke mesjid.

Saya bangun sekitar jam 4.10 minit pagi.  Setelah mandi dan sarapan ala kadar dan memanaskan enjin kereta saya mula bergerak perlahan sekitar jam 4.45 pagi.  Dalam perjalanan waktu subuh saya lebih suka membuka cermin kereta.  Udara waktu subuh sungguh nyaman.  Apa lagi bila selepas waktu hujan.  Bayu yang menampar muka segar dan mengasyikkan.

Sepanjang perjalanan itu mungkin ramai yang masih diulit mimpi.  Hanya sebuah dua kereta yang lalu di jalan raya.  Mungkin pekerja sebelah pagi atau yang baru balik dari kerja syip.  Laju kereta itu dipandu.  Ini mengingatkan saya supaya memasang tali keledar.  Jangan sangka waktu subuh yang permai itu tidak mengundang kemalangan.  Perlu waspada setiap masa.

Di kiri kanan sekitar kawasan perumahan saya  dapat melihat banyaknya kereta berlabuh di setiap rumah. Mewahnya orang Brunei.  Saya tidak melihat sebuah rumah hanya mempunyai sebuah kereta.  Jika dihitung-hitung kebanyakannya mempunyai enam hingga sepuluh buah kereta pada setiap rumah.
Sekitar jam empat empat puluh lima subuh sinar cahaya pagi belum muncul. Cahaya lampu floresen masih gagah menyinari setiap rumah.  Ada yang membubuh di keliling rumah.  Terang benderanglah rumah itu.  Kalangan ini mungkin berusaha untuk mencegah jenayah curi.  Pencuri tidak akan mendekati rumah itu apa lagi bila ada notis terlekat menyatakan rumah berkenaan dipasang dengan kamera sekuriti sepanjang 24 jam.

Ada juga rumah yang malap.  Apakah kalangan ini jenis yang berani atau mereka ini penuh percaya kawasan mereka tidak akan dikunjungi pencuri atau juga mereka ini cuba menyahut seruan supaya tidak terlalu banyak menggunakan tenaga.  Penghuninya saja yang tahu.
Anjing-anjing liar berkeliaran dan mengheret saki baki makanan dari tong sampah yang tidak bertutup.  Berjuritlah sampah sarap. Siang hari kelak pasti penghuninya menyumpah-yumpah.  Saya hanya mendamaikan hati dengan menyuarakan bahawa anjing itu juga mahluk yang mahu tumpang hidup dalam dunia ini.

Di perkarangan mesjid sudah banyak kereta yang berlabuh.  Saya tidak tahu jam berapa mereka sampai.  Di dinding mesjid saya pernah terlihat mesjid di buka jam empat pagi dan pagar mesjid di tutup jam lapan malam.

Biasanya saya tidak terus masuk ke mesjid.  Saya berlegar di sekitar kereta yang berlabuh.   Saya akan ditunggu oleh seekor kucing berwarna kuning.  Saya tidak tahu dari mana datangnya kucing itu kerana mesjid terletak di atas bukit.  Mungkin kucing itu dibuang oleh tuannya.  Kadang kala kucing itu bernasib baik kerana selepas Isya ada orang mengadakan jamuan di siring mesjid selepas bertahlil atau lain-lain kegiatan ugama.  Dapatlah dia memakan rimah.  Jika tidak ada, ia akan mengiau mengharapkan simpati jemaah.  Oleh sebab kucing itu sering saya temui saya menyediakan sebotol makanan kucing jenis kering untuk sajiannya.  Kucing itu nampaknya sudah mengenali saya.  Setiap kali saya keluar dari mesjid kucing itu mendongak.  Matanya yang bundar seolah-olah berkata, mana makananku.

Balik dari mesjid saya berpeluang mengikuti ceramah Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam mengenai Melayu Islam Beraja melalui televisyen kecil yang saya pasang dalam kereta. Cara penyampaian Pehin sangat bersahaja.  Mudah difaham apa lagi dalam suasana kepala masih kosong dan selepas menunaikan sembahyang fardhu Subuh pula.  Saya hanya menutup TV kereta setelah selesai mendengar ceramah itu yang disampaikan sekitar lima belas minit.  Biasanya ceramah tamat jam enam pagi.

Pantai nan indah, boleh menjadi ilham penulisan
Begitu rotin saya setiap pagi.

No comments: