Saturday, April 11, 2009

JUNK MAIL

Suatu perkara yang menjadikan saya girigitan ialah kehadiran junk mail atau spam. Saya tidak tahu bagaimana mereka mengetahui alamat saya. Jika saya tidak membuka e-mel pada sebelah pagi atau petang lihatlah nanti ratusan e-mel yang tidak diundang berada di dalam box saya yang perlu dipadam segera. Kalau tidak ia akan menambah beban komputer yang menyebabkan laluan e mel yang tulin menjadi terhalang.

Cara pengirim junk mail ini ada berbagai-bagai. Mereka yang lembut hati mudah terpedaya. Masakan tidak. Jika menyertai skim, mereka akan mendapat habuan besar berupa beberapa peratus dari harta yang ditinggalkan oleh waris yang berjumlah berjuta-juta ringgit. Harta itu beku dalam bank kerana si anu yang empunya harta sudah meninggal dunia.

Cara meninggal dunia itu pula berbagai-bagai. Ada yang terkorban dalam perang revolusi, ada yang terbunuh dalam perang saudara dan ada pula meninggal dunia selepas kapalterbang yang ditumpangi terjatuh. Cerita rekaan ini dikaitkan dengan peristiwa peperangan atau rampas kuasa yang benar berlaku di negara-negara Afrika. Juga peristiwa kapalterbang jatuh terhempas dijadikan model untuk menulis kenyataan dan mengaburi mata mereka yang mungkin tamak haloba. Dikatakan sianu itu merupakan salah seorang penumpang malang dan masa ini anaknya yang menjadi waris mencari orang ketiga mendapatkan wang dan harta yang dibekukan di bank.

Suatu junk mail yang cepat saya tutup tanpa fikir dua tiga kali ialah bila disebutkan saya memenangi loteri yang hadiahnya mencapai ratusan ribu ringgit. Soalnya, bila saya membeli teket loteri ? Macam mana boleh menang kalau teket loteripun saya tidak pernah beli.

Ada satu lagi jenis scam yang membuatkan rasa berbelah bagi. Kumpulan ini tahu yang ditujukannya itu orang berugama Islam. Maka sebagai pembuka kata ia memberi salam; assalamu alaikum. Saya serahkan kes ini kepada alim ulama bagaimana menanganinya. Balas atau tidak salamnya kerana bila e-mel ini dibuka kerana ada salam, sama jua ceritanya berjanji untuk membagi sebahagian harta yang dibekukan.

Mari saya bawa beberapa contoh ajakan yang saya terima semasa saya menulis rencana ini. Dauba Ahmed - very urgent assistance, Dr Bello Ali – from the desk of Dr Bello Ali, Abdullah Abdulrahman – As salam alaikum, Herold Kellah – private and urgent, Muhamad Abudu – Confidential Business Proporsal dan banyak lagi. Tertarikkah awda pada pujukan sebegini ?

No comments: