Monday, November 11, 2013

MAHRAJAN PERSURATAN DAN KESENIAN ISLAM NUSANTARA KE 2


Pada 1hb dan 2hb November 2013 yang lalu saya berada di Sabah bersama rombongan Asterawani dan Putera Seni Brunei Darussalam bagi menghadiri Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam kali ke 2.  Mahrajan itu ertinya Festival. Acara di adakan di Kota Kinabalu dan pekan kecil Membakut.  Untuk sampai ke Kota Kinabalu kami memandu kereta dari Brunei kurang lebih 7 jam.

Antara isian Mahrajan ialah Diskusi Mahrajan, ucapan berunsur Islam dari tokoh-tokoh seni dan sastera, Persembahan Kesenian Islam. Acara ini diadakan di Seapark Hotel KK.

Hari kedua para peserta diangkut dengan bas ke pekan kecil Membakut iaitu kawasan N 24 dibawah  pimpinan Yang Berhormat Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Rrif, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah. Di Membakut/Pimping diadakan pula penyampaian Kertas Kerja, Program Ziarah Mahrajan, Projek Keluarga Angkat.  Sekali lagi persembahan kesenian Islam di utarakan.  Dalam majlis itu juga beberapa orang penulis dianugerahi hadiah SEDCO-BAHASA-NST kali ke 5 dan beberapa tokoh dinobatkan sebagai Anugerah Kesenian Islam Nusantara.

Dengan berlatarkan Kampung Pimping terasa kedamaian masyarakat pedalaman.  Di Dewan Perpustakaan Membakut disampaikan beberapa buah Kertas Kerja yang menjurus kepada tujuan Mahrajan.  Rombongan berpeluang mengunjungi Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yakob Khan.

Di sebelah petang rombongan diberi ruang untuk bersama keluarga angkat.  Saya diangkat oleh keluarga Pengiran Hamzah bin Pengiran Haji Simpul iaitu Pemimpin Kemajuan Rakyat Daerah Membakut.  Membaca nama beliau saya teringat pada seorang kawan sekolah di STAR Ipoh kira-kira lima puluh tahun lalu. “bin” nya itu sama dan nama ini jarang ada kecuali di kalangan masyarakat Melayu Sabah dan Brunei.  Saya  tanya kenalkah Pg Hamzah dengan Awangku Amin kerana kata saya nama indung mereka sama iaitu Pengiran Simpul.  Dia segera menjawab, itu abang saya.  Dia ada di kampung ini tadi, sambungnya.  Pengiran Hamzah cuba menghubungi tapi Ak Amin sudah pulang ke Benoni Papar.  Kalau tidak alangkah seronoknya berjumpa kawan yang terpisah sejak 1967 itu.

Walau bagaimanapun saya kagum dengan penyertaan masyarakat kampung Pimping di bawah pimpinan Datuk Haji Mohd Arifin, wakil rakyat mereka  dalam meraikan kami dan menyertai acara Mahrajan.  Mereka tidak bergajak mengikuti pelbagai acara sehingga tamat jam 11.30 malam.

SALAH SEORANG PEMENANG PERADUAN MENULIS

YB DATO HAJI ARIFFIN BERSAMA PENERIMA ANUGERAH KESENIAN ISLAM NUSANTARA

KELAS TAHFIS AL-QUR'AN KAMPUNG PIMPING MEMBAKUT

UCAPAN DARI PEMIMPIN SETEMPAT

ANAK DAMIT YANG MNYERTAI MAJLIS PAPAT JAMBUL
 
DAMAINYA KAMPUNG PIMPING MEMBAKUT

Saturday, October 12, 2013

MAJLIS PERKAHWIANAN PUAK BRUNEI: BEBERAPA PENGHAKISAN BUDAYA TRADITIONAL


Kurang lebih 3 bulan yang lalu iaitu pada 27hb Jun 2013 saya bersama beberapa orang teman dari Asterawani berkunjung ke Labuan atas undangan Persatuan Penulis Perwila. Saya telah membentangkan sebuah kertaskerja betajuk  Penyelenggaraan Majlis Perkahwinan Puak Melayu Brunei: Beberapa Hakisan Budaya Traditional  dalam majlis seminar yang diadakan selama 3 hari.  Ramai yang hadir termasuk dari Semananjung, Sabah dan Sarawak, juga sebagai pemakalah Kertaskerja dan sebagai peserta biasa seminar.  Kertas Kerja saya itu terkandung dalam 12 muka.  Masa yang diperuntukkan ialah kurang lebih 15 minit.  Tentu saja tidak mencukupi.  Maka saya hanya menyampaikannya secara impromto dengan hanya berpandukan tulisan dalam Power Point.  Baik jua saya berbuat demikian kalau tidak pembicaraan akan melarat dari tabasan.

Pengantin di arak ke Majlis Persandingan didahului oleh "bidadari-bidadari" kecil 

Pada masa ini ramai yang mengadakan Majlis Persandingan di hotel dan dewan-dewan persidangan.

Monday, October 7, 2013

DAKWAH BERINOVASI


Sudah lama benar saya tidak menulis dalam blog ini kerana digiring untuk membaca facebook setiap hari dan jua  membaca pesanan-pesanan dalam whatsapps kumpulan-kumpulan yang saya terlibat. Dulu setiap kali saya buat posting akan menyertakan gambar.  Mendownload gambar anipun menyebabkan saya  garing.  Tidak secepat saya membaca facebook.  Sebab itu saya terlalai membuat pengisian dalam blog.

Banyak bahan sebenarnya yang saya boleh tulis.  Tapi itulah, bila terlalai cerita itu jadi basi atau bangas. Hari ini saya kuatkan hati untuk menulis. 
Minggu lepas saya mengikuti Seminar Dakwah Berinovasi anjuran Pusat Dakwah Islamiah Brunei yang berlangsung di Jade Room Centre Point Gadong dari 2hb-3hb Oktober 2013.  Sebanyak 7 buah kertas kerja dibentangkan dan satu kertas perdana disampaikan sebaik saja perasmian disempurnakan oleh YB Menteri Hal Ehwal Ugama.  Pembentang termasuk dari Singapura dan Malaysia disamping dari Negara Brunei Darussalam sendiri.
Di akhir Seminar telah menghasilkan 15 resolusi.  Pastinya menjadi pandu Pusat Dakwah Islamiah yang menganjurkan Seminar tersebut.
 
Kulit buku kertaskerja yang di download dari sesawang KHEU
Sebaagian dari peserta Seminar yang diadakan di centre Point Gadong.
 

Sunday, February 3, 2013

UMUR SAYA 63 TAHUN


Saya berumur 63 tahun pada 30 Januari yang lalu. Dan ramai juga manusia lain berumur 63 tahun pada tarikh yang sama. Ada sesuatu yang signifikan dengan angka 63 tahun ini.  Orang Islam mesti tahu Nabi Muhammad wafat ketika berumur 63 tahun.  Jadi bagaimana?  Adakah saya memikirkan tentang kematian?

Kematian adalah sesuatu yang pasti.  Tentang bila waktunya itu terserah pada Yang Maha Kuasa.  Yang penting orang Islam diingatkan supaya sentiasa mengingati mati kerana dengan demikian akan terus kuat beramal bagi mendapatkan bekal yang maksima dalam menuju akhirat. Seolah-olah kematian akan berlaku esok.  Begitupun ini bukan bermakna soal dunia tidak dipentingkan.

Di kala umur 63 tahun mari imbas kembali apa yang telah kita lalui.  Cuba lihat bandingan apa yang dicapai oleh Nabi Muhamad SAW. Baginda telah dapat menyebarlan Islam ke seantero dunia.  Jasa baginda adalah peringkat global.  Kita tidakpun sampai ke sana.   Bandingannya tidakpun sampai setitik air di lautan.  

Nah, ketika merayakan hari lahir mari kita imbas kembali apa yang telah kita lakukan.  Awda bukanlah pemimpin dunia,juga bukan pemimpin ugama.  Awda cuma manusia kecil.  Kalau begitu bagaimana di peringkat benua ? Itupun tidak ada yang signifikan untuk awda kenang.  Bagaimana pula peringkat serantau? Cuba juga imbas di peringkat Negara atau peringkat mukim dan kampong.  Tentu ada secalit jasa yang awda telah ukirkan.  Sekurang-kurangnya di peringkat keluarga. Tentu awda telah melalui zaman membesarkan anak, memberi pendidikan atau menimang cucu.  Teruskan merenung kehidupan.
Gambar saya di Pantai Berakas ketika rihat dari mengendalikan pengarahan drama Teh Copachino

Sunday, January 13, 2013

SEMINAR KESEDARAN ASEAN


Saya menghadiri Seminar “program Kesedaran Mengenai ASEAN” anjuran Persatuan Siswazah Wanita, Negara Brunei Darusalam kemarin 12hb Jan.  Ini langkah baik sebagai respon kepada persediaan Brunei menjadi Pengerusi ASEAN 2013.
Kata-kata dari ucapan SUT Jabatan Perdana Menteri Haji Mohd Roselan memberangsangkan.  Tiga orang penceramah juga memberikan input yang berguna.  Mereka ialah Garry Ramlee Dato Haji Ibrahim, Kementerian HEWLN, Pg Haji Mohd Aslan dari KKBS dan dari Malaysia Miss Tan Lay Ean.  Saya tertarik dengan topik ASEAN Charter And The Roadmap.
Sebahagian dari peserta seminar dari kalangan persatuan wanita

Banyak soalan dikemukakan semasa forum Kesedaran ASEAN
Kehadiran di seminar itu menimbulkan nostalgia zaman saya terlibat dalam ASEAN COCI dan menjadi Pengerusi sub Group on Film and TV bagi Negara Brunei Darussalam semasa masih dalam perkhidmatan kerajaan dulu. 

Monday, January 7, 2013

GELB KICK OFF 2013

Notis pelancaran GELB Kick Off 2013


Group CEO dari Singapura turun padang ke NBD beri perangsang dan nasihat

Belum lagi kumpul jualan sudah ada semangat Korea. Staf GELB menggayakan tarian Gangnam Style
Saya menghadiri perjumpaan GELB Kick Off 2013 Syarikat Great Eastern di mana saya bertugas sebagai Life Planner di syarikat tersebut.  Sesi ini ialah untuk melihat kemajuan pada tahun 2012 yang lalu  dan mendedahkan apa yang patut dibuat untuk tahun 2013 ini. Bagi merangsang perniagaan, beberapa orang top gun dari Singapura  turun padang dan menyampaikan pelbagai saranan, pandangan dan nasihat.  Antaranya ialah Group CEO dan juga Singapore CEO.  Hadiah yang ditawarkan dan bakal menanti ialah melancong ke Korea disamping pelbagai insentif lain.

Saturday, January 5, 2013

GUNA TENAGA ELEKTRIK


Saya sudahpun diaturkan menggunakan meter pra bayar menggantikan meter elektrik lama.  Sudah dua bulan saya menggunakannya.  Bila disemak memang ada penurunan bayaran.  Tapi masa ini saya masih berhempas pulas membayar tunggakan dua ratus ringgit sebulan disamping membeli kad pra bayar.  Mungkin selesai dalam tiga tahun ini.
Tunggakan itu adalah kerana ada sifat “nantitah dulu, esok lusa ku membayar”.  Akhirnya sampai ke hujung bulan tidak terbayar.  Lagi satu sebab masa itu tidak ada kemudahan membayar secara on line.  Bayaran harus dijelaskan di meja pembayaran.  Bila malas pergi ke tempat itu (dengan pelbagai alasan, tidak ada parking dan sebagainya) maka bayaran tertunggak.
Notis ini di diletakkan di pintu tandas Universiti Brunei Darussalam.  Cara begini mengingatkan tentang penggunaan tenaga elektrik
Sekarang ini kalau tidak peka mengenai penggunaan tenaga elektrik, alamat gelaplah rumah. 

Thursday, January 3, 2013

TENGUK AIR PADA 1HB JANUARI 2013


Pada 1hb Januari yang lalu saya tidak mempunyai program khusus.  Hari cuti tahun baru 2013 itu elok di isi dan tidak gureng limpang di rumah.  Maka saya ke Empire Hotel and Country Club.  Tengok pecahan ombak.  Tenguk orang mandi manda  di kolam bernang. Sayang  tidak ada pancutan air.
Air sebenarnya mustahak alam kehidupan, tujuh puluh peratus tubuh kita terdiri dari air. Jadi mengambil air bersih dan sihat sangat-sangat disarankan. Air menghantar vitamin dan zat makanan ke seluruh sel dan organ tubuh. Jika kita kekurangan air, vitamin dan zat makanan, daya tahan tubuh akan melemah. Air menjaga suhu tubuh khususnya bagi kita yang hidup di iklim tropika, kurang minum menyebabkan  dehidrasi. Air membantu peredaran oksigen ke seluruh sel tubuh. Jika tubuh kekurangan air, maka bekalan oksigen terganggu dan kesannya sangat tidak baik bagi kesihatan. Air membantu tubuh bebas bergerak. Sendi-sendi tulang bahkan otot tidak akan berfungsi dengan baik jika tidak terdapat peluancar yang dihasilkan air, yang membantu melenturkan tubuh kita. Air  berfungsi membantu membuang racun dalam tubuh kita yang keluar dalam bentuk air kencing. Air sebagai pengimbang elektrolit dalam tubuh untuk membantu mengawal tekanan darah. Air membantu memelihara volume darah dalam tubuh sehingga kita mendapatkan keseimbangan tenaga yang baik.  Dengan cukup minum air proses pembakaran kalori dalam tubuh akan berjalan secara baik. Air juga membantu mempercepat proses penyembuhan penyakit.

TENANG BILA MELIHAT AIR DI  RUANG DEPAN HOTEL


DEKOR EMPIRE HOTEL KETIKA MENYAMBUT TAHUN BARU 2013
Banyak lagi kegunaan air.  Bagi saya melihat desiran ombak yakni air  memecah di tepi pantai, air di kolam renang,  sudah cukup mentenangkan fikiran.