Hari Ulangtahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada 31hb Mei mengingatkan saya pada soal senjata. Dan ini pula ada kaitannya dengan sebuah berita dalam akhbar baharu-baharu ini yang melaporkan sembilan puluh peratus dari anggota polis di Manila tidak cekap menembak. Ertinya sasarannya sering tidak mengena.
Saya tidak pernah memegang pistol kerana tidak ada kepentingannya. Saya hanya melihat pelbagai jenis pistol melalui gambar dan cerita-cerita wayang. Payahkah menuju sasaran ? Mungkin juga. Awda pasti pernah melihat cerita-cerita wayang di mana adu tenaga menggunakan pistol. Tidak kira cerita itu wayang Hindustan, wayang Melayu, wayang Filipina atau wayang orang putih, setiap kali ada pertelagahan menggunakan pistol, jarang mangsa rebah dengan sekali tembak. Mesti ada tembak menembak dulu sebelum ada yang menjadi mangsa. Tidak tahulah sama ada babak itu senghaja dipanjangkan bagi menimbulkan rasa cemas penonton atau memang bagitu keadaannya; payah untuk menumbangkan sasaran dengan menggunakan pistol. Malah ada babak di mana jarak penembak dengan sasaran bagitu dekat. Oleh kerana orang yang ditembak itu adalah hero dalam cerita, ia tidak cedera. Kalaupun cedera, sasarannya sipi dan hanya mengena pada anggota badan yang tidak membahayakan. Saya tidak tahu kepantasan peluru keluar dari muncong pistol. Tapi bagitulah, ada kalanya seorang hero mampu mengelak tembakan pistol waima dari jarak dekat.
Berlainan dengan cerita-cerita koboi pada zaman dulu. Kepantasan menembak menjadi penentu samada seorang itu seorang hero atau sebaliknya. Sebarang pertelagahan atau dispute ditentukan dengan aksi pantas mencapai pistol dan menembak musuh. Lihat betapa kemampuan seorang koboi menewaskan lawannya. Walau mereka melangkah dua tiga tapak, bila mereka segera menoleh secara berdepan, mereka mampu menggunakan pistol secara tepat dan cepat. Sesudah itu pistol diputar-putarkan dan disarongkan di pinggang.
No comments:
Post a Comment