Sebut saja harijadi, yang ada dalam kepala ialah kemeriahan. Sanak saudara berkumpul; Di hotel, restoran atau di rumah. Jika di rumah, ruang awal-awal lagi dihias. Belon di gantung. Lampu cucul berbentuk lada padi berkedip-kedip mengeluarkan cahaya. Sistem suara sudah tersedia. Manalah tahu ada orang ajak karaoke. Jangan takut suara tidak tune. Jangan khuatir terbabas, suara bagai angsa atau patu laki tidak mengapa. Itu lebih elok dan menghiburkan di harijadi.
Di luar ada bouncer untuk anak-anak melompat, berteriak. Yang kecil juga mengikut. Pantulan berat badan rakannya membuatkan ia tejatuh. Ia menangis. Bila di pujuk ia kembali diam dan mula lagi melompat mengikut rakan-rakan yang lebih besar. Makanan ? Jangan khuatir. Pulangkan saja pada caterer. Yang penting ada wang untuk membayar.
Di tengah ruang tersaji sebiji kek yang cantik dihias. Ada nama atasnya. Ada juga lilin. Semua mata tertumpu pada kek itu. Lilin kecil dinyalakan. Kemudian yang menyambut harijadi meniup lilin hingga padam. Sorakan, hilai ketawa kedengaran. Sebentar lagi kek dipotong. Juru kamera bersedia. Ini satu sejarah kehidupan. Perlu dirakam. Pisau tajam menusuk kek.. Rasa kek itu pasti enak, seelok bentuknya. Semuanya merasa kek itu waima sejemput dua. Jemputan menyanyikan lagu harijadi. Mereka bertepuk.
Orang dewasa, orang remaja dan kanak-kanak hafal lagu harijadi. Siapa yang mencipta jangan kira. Mana ada soal copy right di sini. Luahkan saja perasaan. Lagu harijadi ini sama iramanya walau dinyanyikan dalam bahasa Hindustan. Tak percaya tontonlah cerita Hindustan yang ada pesta harijadi. Awda tahu itu harijadi kerana dicelah-celah dialog Hindi ada disebutkan happy birthday.
Orang Melayupun ikut juga. Potong kek dan tiup lilin. Khabarnya, lagi daulu orang tetua juga sambut harijadi. Mereka makan nasi kuning dan lepas itu baca doa. Sekarang cara ini jarang kelihatan. Tidak popular seperti tiup-tiup lilin. Bila ramai orang Indon datang ke sini mereka membawa bersama lagu “panjang umurmu” Lagu itu juga berkumandang dalam filem-filem remaja. Maka di negeri ini ada jua versi nyanyian. Mau jenis klasik “happy birthday” atau “panjang umurmu” Sambutan harijadi tanpa lagu dirasakan tidak lengkap. Nah teman-teman yang masuk beradu dalam Anugerah Pelangi hujung tahun lepas boleh cipta lagu harijadi tempatan. Kalau kena gayanya, ia boleh jadi siulan sepanjang zaman. Apa jadi selepas sambutan harijadi ? Kanak-kanak tentu ria membuka hadiah. Yang remaja juga mencari-cari apa buah tangan yang menjadi kejutan terutama dari insan yang di sayangi. Orang dewasa dan orang tua bagaimana ? Menghitung harilah. Berapa lama lagi wajahku dapat bertahan. Berapa lama lagi Tuhan pinjamkan nyawa.
Ada orang megah memberitahu umur mereka. Saya sudah tujuh belas tahun. Sudah ada sayap mahu terbang sendirian. Saya bukan anak-anak lagi. Harijadi ini lesen saya. Orang dewasa lain pula fe’elnya. Umur empat puluh tahun disebut umur matang. Masih boleh berseronok-seronok lagi. Matang fikiran dan matang dari segi kewangan. Bagaimana orang tua ? Namanya dirai’kan harijadinya, mesti beritahu
berapa tahun. Ini period saya dapat pensyen tua. Maknanya umurnya sudah genap 60 tahun. Ada juga segan silu mahu sebut berapa umur yang dirai’kan. Tapi bila teman rakan belanja buat pesta hari jadi tak menolak pula. Hanya mereka yang tahu apa alasan berbuat demikian.
Saya dilahirkan tahun 1950. Orang muda masa itu mana tau tentang pesta-pesta. Mendengar orang sambut harijadi pun tidak pernah. Bila belajar ke luar negeri, baru saya sedikit terdedah. Itupun cuma melalui pembacaan. Namanya hendak menghadiri pesta harijadi tiada yang hendak dijadikan nukilan dan kenang-kenangan. Tahun enam puluhan cerita-cerita hidustan mula mempengaruhi penonton. Saya salah seorang peminatnya. Sanggup saya berbaris hampir setengah kilometer untuk mendapatkan teket cerita Sangam. Ceritanya dramatik, romantis, pilu dan penuh pesta-pestaan.
Saya bawakan cerita harijadi ini kerana dapat ilham. Esok hari ulang tahun kelahiran saya. Bukan untuk menguar-uarkannya. Sekadar memperingatinya. Kalau dibubuh dalam tulisan, ia merupakan catatan yang berpanjangan. Seronok juga dirai’kan walaupun hanya setelah saya berpencen dan dikelilingi oleh anak cucu. Saya tidak pernah merasai pesta-pestaan seperti ini masa muda-muda. Esok umur saya mencecah 58 tahun. Saya berusaha untuk sihat, minda segar supaya Katak Atas Tempurung dapat melompat jauh. Dan tentu saja ingin diiktiraf sebagai senior citizen dalam jangka dua tahun lagi.
Bagi yang setarikh dengan saya menyambut harijadi, saya ucapkan selamat hari jadi, umur panjang penuh bakti.
Dari teman tuan, Haji Hussain Abdul Rahman,
Katak Atas Tempurung.
30hb Disember 2007.
No comments:
Post a Comment