Monday, November 11, 2013

MAHRAJAN PERSURATAN DAN KESENIAN ISLAM NUSANTARA KE 2


Pada 1hb dan 2hb November 2013 yang lalu saya berada di Sabah bersama rombongan Asterawani dan Putera Seni Brunei Darussalam bagi menghadiri Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam kali ke 2.  Mahrajan itu ertinya Festival. Acara di adakan di Kota Kinabalu dan pekan kecil Membakut.  Untuk sampai ke Kota Kinabalu kami memandu kereta dari Brunei kurang lebih 7 jam.

Antara isian Mahrajan ialah Diskusi Mahrajan, ucapan berunsur Islam dari tokoh-tokoh seni dan sastera, Persembahan Kesenian Islam. Acara ini diadakan di Seapark Hotel KK.

Hari kedua para peserta diangkut dengan bas ke pekan kecil Membakut iaitu kawasan N 24 dibawah  pimpinan Yang Berhormat Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Rrif, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah. Di Membakut/Pimping diadakan pula penyampaian Kertas Kerja, Program Ziarah Mahrajan, Projek Keluarga Angkat.  Sekali lagi persembahan kesenian Islam di utarakan.  Dalam majlis itu juga beberapa orang penulis dianugerahi hadiah SEDCO-BAHASA-NST kali ke 5 dan beberapa tokoh dinobatkan sebagai Anugerah Kesenian Islam Nusantara.

Dengan berlatarkan Kampung Pimping terasa kedamaian masyarakat pedalaman.  Di Dewan Perpustakaan Membakut disampaikan beberapa buah Kertas Kerja yang menjurus kepada tujuan Mahrajan.  Rombongan berpeluang mengunjungi Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yakob Khan.

Di sebelah petang rombongan diberi ruang untuk bersama keluarga angkat.  Saya diangkat oleh keluarga Pengiran Hamzah bin Pengiran Haji Simpul iaitu Pemimpin Kemajuan Rakyat Daerah Membakut.  Membaca nama beliau saya teringat pada seorang kawan sekolah di STAR Ipoh kira-kira lima puluh tahun lalu. “bin” nya itu sama dan nama ini jarang ada kecuali di kalangan masyarakat Melayu Sabah dan Brunei.  Saya  tanya kenalkah Pg Hamzah dengan Awangku Amin kerana kata saya nama indung mereka sama iaitu Pengiran Simpul.  Dia segera menjawab, itu abang saya.  Dia ada di kampung ini tadi, sambungnya.  Pengiran Hamzah cuba menghubungi tapi Ak Amin sudah pulang ke Benoni Papar.  Kalau tidak alangkah seronoknya berjumpa kawan yang terpisah sejak 1967 itu.

Walau bagaimanapun saya kagum dengan penyertaan masyarakat kampung Pimping di bawah pimpinan Datuk Haji Mohd Arifin, wakil rakyat mereka  dalam meraikan kami dan menyertai acara Mahrajan.  Mereka tidak bergajak mengikuti pelbagai acara sehingga tamat jam 11.30 malam.

SALAH SEORANG PEMENANG PERADUAN MENULIS

YB DATO HAJI ARIFFIN BERSAMA PENERIMA ANUGERAH KESENIAN ISLAM NUSANTARA

KELAS TAHFIS AL-QUR'AN KAMPUNG PIMPING MEMBAKUT

UCAPAN DARI PEMIMPIN SETEMPAT

ANAK DAMIT YANG MNYERTAI MAJLIS PAPAT JAMBUL
 
DAMAINYA KAMPUNG PIMPING MEMBAKUT