Monday, November 19, 2012

Sastera Bandingan


Pada 3hb November 2012 saya menghadiri Siri Kuliah Kesusasteraan Bimbingan  di Balai Sarmayuda DBP yang dibimbing oleh Prof. Dr Sohaimi Abdul Azizi dari Malaysia.  Sebelah petang diadakan di UBD.  Projek ini adalah projek MASTERA.
Kuliah kedua mengenai jenis-jenis adaptasi novel ke  filem menarik perhatian saya kerana sudah lama saya teringin untuk mengalih cerita dari novel kepada genre skrip filem/drama TV.  Sekarang saya sudah mempunyai sedikit kekuatan kerana Prof Dr Sohaimi ada menerangkan tentang jenis adaptasi; adaptasi yang hampir lengkap dengan karya asal, adaptasi yang merobah sebahagian dari apa yang terdapat dalam karya asal dan adaptasi yang menghancurkan karya asal.  Cuma semangat atau roh cerita novel itu saja yang diikut. 
Saya dan sebahagian dari yang menyertai ceramah itu

Prof Dr Sohaimi dari Malaysia  menyampaikan Kertas Ceramah
Sebelumnya saya ragu-ragu kerana ada jalan cerita yang mungkin payah untuk dialihkan kepada bentuk filem/drama TV. Khuatir kalau mengubahnya tidak akan dibenarkan.Contoh-contoh filem dan novel juga memudahkan saya kerana novel/filem yang digunakan dalam ceramah itu pernah saya baca dan tonton.

Friday, October 26, 2012

BERKUMPUL DI AIDIL ADHA 1433H


Keluarga terdekat saja sudah memenuhi ruang bilik tamu.  Kyusuk membaca tahlil selepas bertakbir


Ketam suri dari kampung. Juga ada ialah buah tarap yang baru di pupul.  Tapi saya menggemari ikan kerapu masam manis yang baru di kail.

Ani ialah pais ikan tamban dan talur tenggiri.
Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan pada pembaca sekalian.  Sambutan yang saya adakan di rumah sederhana saja dengan memanggil adik beradik, anak buah, cucu, menantu.  Itupun sudah memenuhi ruang tamu.  Kami bertakbir sebelum bertahlil.

Makanan cukup lumayan.  Daging saja ada empat macam; daging lembu, ayam, kambing dan payau.  Saya suka pada ikan kerapu masak masam manis.  Kurapu atu oleh mengail.  Katam suri pun ada.  Perut kenyang tapi saya tambah lagi dengan memakan pais ikan tenggiri.  Buah buahan dan kueh muih pun ada.  Di dapur mereka membuka buah tarap yang baru di pupul.  Isinya punat.
Memang seronok mun makan beramai-ramai.  

Monday, October 22, 2012

TUGASAN

Penerbit bersama ahli kru penggambaran.  releks saja
Mengambil close up cara membuang kulit kayu.  Nampak mudah.  Tapi bila dicuba kial-kial jua dibuatnya.
Saya diminta oleh Penerbit Dokumentari Dayang Hajah Roziah bagi menulis sebuah bahan tentang alat musik tradational - Alat Musik Sadaman.  Penyelidikan dan penggambaran membawa saya ke dalam hutan bagi melihat tumbuhan dari mana alat musik itu berasal.  Lama sudah saya tidak ke hutan sejak bersara dari perkhidmatan Kerajaan.  Tentu saja tugasan itu menimbulkan rasa gembira dan cabaran.  Cabaran awal ialah bersilat dengan nyamuk dan agas.

Monday, October 15, 2012

PERJALANAN KE MESJID



Biasanya mesjid dipenuhi oleh jemaah pada Hari Jumaat.  Tidak berapa lama lagi mesjid juga akan penuh semasa umat Islam menunaikan sembahyang sunat Aidil Adha.  Di luar hari-hari kebesaran Islam, minda saya sering tergerak bila memerhatikan suasana aman damai setiap hari melalui jalan yang sama menuju mesjid ketika hendak menunaikan sembahyang Subuh.  Rumah saya dekat saja dengan mesjid.  Cuma mengambil masa kira-kira tiga minit untuk sampai ke mesjid.

Saya bangun sekitar jam 4.10 minit pagi.  Setelah mandi dan sarapan ala kadar dan memanaskan enjin kereta saya mula bergerak perlahan sekitar jam 4.45 pagi.  Dalam perjalanan waktu subuh saya lebih suka membuka cermin kereta.  Udara waktu subuh sungguh nyaman.  Apa lagi bila selepas waktu hujan.  Bayu yang menampar muka segar dan mengasyikkan.

Sepanjang perjalanan itu mungkin ramai yang masih diulit mimpi.  Hanya sebuah dua kereta yang lalu di jalan raya.  Mungkin pekerja sebelah pagi atau yang baru balik dari kerja syip.  Laju kereta itu dipandu.  Ini mengingatkan saya supaya memasang tali keledar.  Jangan sangka waktu subuh yang permai itu tidak mengundang kemalangan.  Perlu waspada setiap masa.

Di kiri kanan sekitar kawasan perumahan saya  dapat melihat banyaknya kereta berlabuh di setiap rumah. Mewahnya orang Brunei.  Saya tidak melihat sebuah rumah hanya mempunyai sebuah kereta.  Jika dihitung-hitung kebanyakannya mempunyai enam hingga sepuluh buah kereta pada setiap rumah.
Sekitar jam empat empat puluh lima subuh sinar cahaya pagi belum muncul. Cahaya lampu floresen masih gagah menyinari setiap rumah.  Ada yang membubuh di keliling rumah.  Terang benderanglah rumah itu.  Kalangan ini mungkin berusaha untuk mencegah jenayah curi.  Pencuri tidak akan mendekati rumah itu apa lagi bila ada notis terlekat menyatakan rumah berkenaan dipasang dengan kamera sekuriti sepanjang 24 jam.

Ada juga rumah yang malap.  Apakah kalangan ini jenis yang berani atau mereka ini penuh percaya kawasan mereka tidak akan dikunjungi pencuri atau juga mereka ini cuba menyahut seruan supaya tidak terlalu banyak menggunakan tenaga.  Penghuninya saja yang tahu.
Anjing-anjing liar berkeliaran dan mengheret saki baki makanan dari tong sampah yang tidak bertutup.  Berjuritlah sampah sarap. Siang hari kelak pasti penghuninya menyumpah-yumpah.  Saya hanya mendamaikan hati dengan menyuarakan bahawa anjing itu juga mahluk yang mahu tumpang hidup dalam dunia ini.

Di perkarangan mesjid sudah banyak kereta yang berlabuh.  Saya tidak tahu jam berapa mereka sampai.  Di dinding mesjid saya pernah terlihat mesjid di buka jam empat pagi dan pagar mesjid di tutup jam lapan malam.

Biasanya saya tidak terus masuk ke mesjid.  Saya berlegar di sekitar kereta yang berlabuh.   Saya akan ditunggu oleh seekor kucing berwarna kuning.  Saya tidak tahu dari mana datangnya kucing itu kerana mesjid terletak di atas bukit.  Mungkin kucing itu dibuang oleh tuannya.  Kadang kala kucing itu bernasib baik kerana selepas Isya ada orang mengadakan jamuan di siring mesjid selepas bertahlil atau lain-lain kegiatan ugama.  Dapatlah dia memakan rimah.  Jika tidak ada, ia akan mengiau mengharapkan simpati jemaah.  Oleh sebab kucing itu sering saya temui saya menyediakan sebotol makanan kucing jenis kering untuk sajiannya.  Kucing itu nampaknya sudah mengenali saya.  Setiap kali saya keluar dari mesjid kucing itu mendongak.  Matanya yang bundar seolah-olah berkata, mana makananku.

Balik dari mesjid saya berpeluang mengikuti ceramah Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam mengenai Melayu Islam Beraja melalui televisyen kecil yang saya pasang dalam kereta. Cara penyampaian Pehin sangat bersahaja.  Mudah difaham apa lagi dalam suasana kepala masih kosong dan selepas menunaikan sembahyang fardhu Subuh pula.  Saya hanya menutup TV kereta setelah selesai mendengar ceramah itu yang disampaikan sekitar lima belas minit.  Biasanya ceramah tamat jam enam pagi.

Pantai nan indah, boleh menjadi ilham penulisan
Begitu rotin saya setiap pagi.

Sunday, October 14, 2012

HAMPIR TEBENGKALAI


Lama betul saya tidak singgah ke blog saya ini.  Pada hal banyak benda yang boleh dimasukkan terutama sambutan-sambutan hari raya. Namun yang mengesankan saya dan membuatkan saya terkilan ialah bila tidak diundang untuk majlis penyampaian hadiah menulis skrip drama radio.  Skrip saya tidak mendapat tempat, kata penganjur.  Jadi tidak ada undangan.  Tidak mengapalah.  Saya menghantar skrip itu kerana mahu sama-sama merespons promo meminta supaya penulis menghadapkan karya.  Tidak menang tidak apa.  Undangan ke majlis penyampaian hadiah itu memang ditunggu-tunggu (walaupun tidak menang).  Ada juga peluang memberi tahniah kepada penulis yang menang.  Tapi begitulah kejadiannya.....

Sebagai penulis mesti rajin ke sana ke maricari bahan.  Gambar ini ketika melawat pameran di Majlis Ilmu 2012
Seminggu selepas itu saya di undang oleh Pusat Dakwah.  Rupanya nobel saya mendapat tempat kedua.  Saya menerima hadiah lapan ribu ringgit Brunei.Cerita ini sudah berlalu tiga empat bulan. Saya sekadar mencatatkannya sebagai cara menghidupkan blog saya kembali.

Thursday, July 12, 2012

ESH

Rakan-rakan berkata: cuba tah kita tulis tentang ash. Perkara pertama yang terlintas dalam minda saya ialah tentang abu. Ash itu perkataan Inggeris. Bahasa Melayunya abu. Apa yang menarik tentang abu? Soal jerabukah? Setelah saya dengar bisik-bisik, rupanya saya salah dengan. Yang diperkatakan ialah ESH bukan ASH. ESH itu ialah singkatan dari Elaun Sara Hidup.


Oh itu rupanya. Memang ramai orang memperkatakannya. Pertama, sama ada dia akan menerima ESH itu. Kedua, berapa jumlahnya? Nampaknya soalan kedua itu lebih menonjol. Saya sebenarnya tidak kesah samada akan menerima ESH tersebut. Saya pencen tahun 2005. Bukan tidak mahu wang. Kalau ada, alhamdulillah. Apa lagi bila Ramadhan dan Hariraya akan menjelang. Belanja tetap lebih walau hari-hari sudah diingatkan supaya berbelanja secara berhemah.

Ada orang meramal ESH itu hanya akan dapat dilihat transit di mesen ATM saja kerana siapa yang berhutang pada kerajaan, akan diberi kemudahan untuk membayar hutang dulu. Kalau ada lebih baru dapat dijawat. Di pihak saya berpandangan berbelah bagi. Walaupun sudah pencen, hutang elektrik saya agak tinggi. Dulu bil elektrik di potong dari gaji. Bila pencen, bil itu harus dibayar di kaunter pembayaran. Kerana malas pergi ke kaunter, hutang elektrik meningkat. Nah, mun ada ESH boleh jua menampung. Inda sakit kepala hutang beres atau sekurang-kurangnya jumlahnya bekurangan.

“Kalau cam atu tuan aji, rapan-rapan saja dapat ESH kalau habis dipotong” seorang teman menyuarakan keluhan. Ia mahu kalaulah dapat potongan dari ESH itu hanya dipotong sekian sekian peratus saja. “Terasa jua ni’mat mendapat ESH itu” katanya. Saya tidak tahu apa nak kata pada dia. Pertama bentuk pembayaran itu belum diketahui. Kedua kita tahu negara kita adalah negara kebajikan. Pasti ada sifir-sifir yang lebih besar bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kewangan.

Bagi saya, kalau ada anugeraha, alhamdulillah. Kalau tidak ada, saya akan memikirkan betapa ni’matnya hidup berpencen. Goyang kaki dan jalan-jalan di kedaipun dapat imbalan di hujung bulan. Ada pencen perkhidmatan. Ada pencen tua.
Kalau ada wang, tamu sebegini menjadi tumpuan terutama dalam bulan Ramadhan

Sunday, July 1, 2012

SYARAHAN MABBIM

Saya hadir di majlis Syarahan Mabbim yang berlangsung 21hb Jun yang lalu. Tajuk ceramah Penyebaran Ilmu dan Penerusan Tamadun Peribumi melalui Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Ceramah itu disampaikan oleh Profesor Dr Tengku Mohd Tengku Sembok dari Jabatan Sains Komputer Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Isinya amat menarik namun sedikit sulit untuk mendigest. Mungkin disebabkan dedahan yang kurang dalam ilmu itu.


Dalam kaitannya dengan kebahasaan saya tertarik dengan apa yang disebutkan oleh mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia Allahyarham Dato Hassan Ahmad dalam sidang ke 40 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia –Malaysoia pada 12-13 Mac 2011.

“..rancangan teknologi maklumat negara akan gagal jika ia tidak dikembangkan dalam bahasa Melayu, bahasa yang lebih layak daripada bahasa Inggeris untuk menjana kemajuan dan tamadun indigenus di negara ini”

Mahasiswa dan peminat sastera yang hadir mengikuti ceramah
Profesor Dr Tengku Mohd bersama Pengerusi Dr Yabit.

Memberi perhatian yang mendalam pada ceramah yang disampaikan

Tuesday, June 19, 2012

ANAK KAMPUNG

Saya menghadiri majlis perkahwinan anak saudara Haslinda Haji Makrof pada 17hb Jun yang lalu di Kota Kinabalu Sabah. Biasalah, sanak saudara berkumpul dan diadakanlah majlis ramai-ramai termasuk nyanyian karaoke. Nyanyian-nyayian diiringi dengan pelbagai tarian; joget, dandut, poco-poco dan yang popular ialah tarian Sumazou.


Lagu-lagu Sabah dimainkan. Saya tertarik dengan lagu Gunung Kinabalu dan Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat. Lagu Anak Kampung mengesahkan bagaimana seorang anak remaja lelaki merasa dirinya tidak layak bercinta dengan seorang dara kerana beberapa sebab. Alasannya itu yang menarik kerana sungguh lokal. Balik ke Brunei saya surf di Internet dan mendapati Anak Kampung mempunyai pelbagai versi. Selain versi bahasa Kadazan, Anak Kampung juga mempunyai versi Sarawak, (bahasa Iban), versi wanita (senikatanya dari kacamata si dara), versi Kelantan (bahasa orang Kelantan) dan mempunyai pelbagai rentak; rentak Samazou, dangdut, rok, dikir barat. Sungguh yunit lagu Anak Kampung ini.

Mempelai Haslinda-Hisham bersama keluarga;  haji Maarof, Hjh Haslinda dan adik-adik.

Nah ani dia.  Mereka bukan Kadazan.  Mereka orang orang Melayu tapi sungguh cekap goyang tangan mengikut irama Samazao dalam lagi Anak Kampung

Thursday, June 14, 2012

DUNIA TAKAT


Pusat Biodiversiti Maragang.  Tempat pameran dunia lautan baru-baru ini

Anak penyu ini dibesarkan dalam sebuah kolam setelah menetas.  Kanak-kanak sudah pasti suka hidupan ini.

Bila dipegang anak penyu ini diam saja. Sesudah itu bila di kembalikan ke dalam air mengambil masa untuk berenang. Malu kali.  Saya mau mencari bagaimana yang dikatakan "senyum penyu"  itu.

Semasa zaman anak-anak dulu ada satu permainan di kalangan kami, anak-anak kampung air yang dinamakan Taluk Salam. (maaf kalau nama ani inda tepat). Proses permainan atu ialah dengan membalingkan kulit tiram ke dalam kawasan air yang dalam. Kemudian masing-masing berlumba untuk mendapatkan kembali kulit tiram itu. Sebenarnya permainan atu menguji ketahanan menyelam. Berapa minit kami boleh tahan menyelam ke dasar hingga mencecah tanah.

Tentu saja keupayaan menyelam atu sudah inda dapat dipertahankan di zaman usia lanjut ani kecuali bebata tong oksijin. Alangkah bagusnya kalau dapat melihat suasana di dasar laut atu yang dikelilingi oleh terumbu karang dan ikan serta hidupan laut yang beranika warna.

Brunei pada masa ani berusaha untuk menjaga kawasan laut dengan menubuhkan Pusat Biodiversiti Marin. Ini bermakna bukan saja laut itu dijaga supaya tidak tercemar malah hidupan seperti terumbu takat dan ikan-ikan juga di pastikan tidak terganggu kehidupan mereka.

Pusat ini terletak di Pantai Meragang sebagai program pemuliharaan dan pengurusan marin di perairan negara di samping meningkatkan kesedaran awam tentang peri mustahaknya melindungi ekosistem marin.

Monday, June 11, 2012

SEMOGA ROHNYA DI CUCURI RAHMAT

Tinggallah isteri dan 7 orang anak Allahyarham Ibrahim menghadap Allah.  Isteri Allahyarham menyiram air asah-asahan ke pusara suami.

Bacaan talkin menyedarkan yang tinggal.  Satu hari akan menjejaki juga bagi menghadap Yang Maha Kuasa. Adi beradik di sisi pusara.
Jumaat lepas 8hb Jun saya ke Sabah menggunakan kereta. Balik ke Brunei hari itu juga. Saya bertolak jam 5 pagi sampai ke tempat yang dituju jam 10.45 pagi. Jam 2 petang balik ke Brunei dan sampai pada 7.45 malam. Lepas itu sambung pergi jemputan persandingan jam 8.15 malam. Balik jam 10 malam. Sungguh memenatkan. Dua dua saya pergi kerana saya anggap kedua-duanya mustahak.


Malam Jumaat (Khamis malam Jumaat) yang lalu saya mendapat maklumat anak saudara saya di Kuala Penyu Sabah meninggal dunia. Hendak pergi malam itu sudah lambat. Check point Imigresen mungkin tutup. Jadi mesti pergi sebelah pagi esok hari. Awal-awal lagi sudah bangun. Sampai di sempadan Kuala Lurah jam 5 subuh. Kawalan Imigresen belum buka lagi. Kena tunggu. Cue kereta sudah panjang.

Dalam perjalanan banyak lori. Payah mau bergerak cepat. Sampai di kawalan Sindumin jam 10.30 pagi. Saya dihubungi mengatakan jenazah akan dikubur dalam masa sejam. Rasanya tidak sempat menunduki jenazah. Mau minta tempuh. Tapi khuatir juga kerana hari itu Hari Jumaat. Ramai orang/ jiran berurusan untuk sembahyang Jumaat.

Telefon kali kedua mengatakan jenazah sudah dibawa ke perkuburan. Maknanya saya harus pergi ke kubur dulu sebelum ke rumah. Jam sudah menunjukkan 11 pagi. Sempat juga saya melihat penurunan jenazah ke liang lahat.

Berita dukacita itu tidak disangka-sangka. Allahyarham Ibrahim dikatakan sehat. Dia sering menjenguk ke rumah bapanya (abang saya) setiap petang. Petang dukacita itu dia tidur di satu bilik berasingan. Tidak ramai yang berada di rumah itu selain beberapa orang cucu abang saya. Waktu Magrib tiba. Ibrahim belum juga bangun. Terus dibuka pinta tempat ia tidur. Di dapati Ibrahim sudah tidak bernyawa lagi. Badannya kaku dan sejuk. Dia meninggal dunia dekat pinta bilik itu.

Kata orang rumah, ada tanda gigitan ular pada punggungnya yang masih keluar darah. Masa dipatuk ular mungkin dia tidur dan bisa ular menjalar ke seluruh tubuh. Ibrahim mungkin berusaha minta tolong dan berinsut ke pinta. Tapi sudah ajalnya. Tiada ada yang mendengar. Mungkin dia pingsan dan menemui ajalnya di situ. Semoga rohnya di cucuri rahmat.

Wednesday, June 6, 2012

KEGIATAN BELIA


Beberapa bulan terakhir ini ada beberapa projek yang diungkayahkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Projek Hari Keluarga masih lagi kelihatan riaknya. Majlis Hari Keluarga masih berlangsung di sana sini. Projek ini adalah urutan dari titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan tentang pentingnya yunit keluarga. Dari unit kecil keluarga terbentuk kumpulan masyarakat dan dari kumpulan masyarakat akan membentuk pula rakyat yang berperanan sama-sama membina negara.

Kemudian sekitar minggu lepas diadakan pula Forum Kreatif bagi mencari takah paling baik untuk menggunakan kegiatan kreatif bagi meningkatkan sumber ekonomi disamping menjaga dan mempromosikan budaya dan warisan tempatan. Perkataan “kreatif” itu sendiri terlalu luas maknanya; bukan sekadar nyanyian, tarian, penciptaan lagu saja. Melakar dan mereka bentuk setem juga merupakan kegiatan kreatif.

Tadi berlangsung pula permuzakarahan antara YB Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan dengan badan-badan belia di negara ini bagi merangka kegiatan Hari Belia Negara. Kumpulan saya, Astrawani yang bergiat dalam bidang penulisan juga diundang bagi mendengar dan mengutarakan buah fikiran. Astrawani walaupun dianggotai oleh sebahagian besar kalangan “beliau” diundang ke majlis itu kerana persatuan ini berlindung di bawah Majlis Belia-Belia. Bagus juga ada permuzakarahan antara “beliau” dan golongan “belia” ani. Masing-masing mempunyai pandangan berlainan tetapi mempunyai matlamat yang sama; membangun negara.



Salah satu kegiatan belia; lakunan pentas/teater

UNDANGAN TELEVISYEN BRUNEI

Kemarin saya diundang lagi bagi bercakap dalam rancangan Televisyen Brunei. Kali ini dalam rancangan Dialog dan memperkatakan tentang publishing. Presenternya ialah Normala Suhaili. Skop yang dibincangkan tidak luas hanya sekitar penerbitan buku, hadangan dan pertaliannya dengan penulis. Durasi rancangan cuma sekitar 23 minit. Jadi tidaklah banyak bercakap tentang soal penerbitan lainnya seperti persurat-khabaran, iklan journal, newsletter dan sebagainya. Saya hanya menyentuh sedikit-sedikit perkembangan penerbitan digital dan penerbitan kad-kad jemputan. Saya merasa gembira kerana subjek publishing menjadi sub topik dalam permuzakarahan Forum Kreatif baru-baru ini. Bidang penulisan dimasukkan dalam kategeri ini.




Disolek dulu sebelum masuk studio.  Solekan bukan untuk cantik saja tapi diguna bagi menahan dari cahaya lampu studio

Bincang-bincang dulu dengan presenter Normala Suhaili sebelum "take"

Tuesday, June 5, 2012

DUA SUASANA

Kemarin semasa menghadiri majlis akad nikah cucu kemanakan di Mejid Al-Amirah Al Hajah Mariam saya bertemu dengan seorang rakan yang sama-sama mengangkat cenderamata untuk dihadiahkan kepada para tamu. Ini hadiah dunia akhirat katanya. Apa maksudnya? Hadiah itu merupakan sepotong kek. Ini hadiah dunia katanya. Yang satu lagi ialah hadiah untuk akhirat; senaskah surat Yassin.


Ada perimbangan dalam kehidupan ini. Majlis itu berlangsung dalam suasana mariah, gembira dan ceria. Setelah selesai, saya terus ke hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Jam 10.30 malam itu bukan waktu melawat. Namun jururawat di wad CCU itu memberi laluan untuk saya masuk menjenguk pupu sekali saya; Dayang Hajah Halimah, ibu kepada YDM Pehin Orangkaya Seri Dewa Major Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Muhammad bin Haji Daud. Pupu sekali itu sedang tenat. Saya di sana sehingga tengah malam. Jam 11.33 malam, kira-kira setengah jam tadi, roh Dayang Hajah Halimah sudah bercerai dari badan. Suasana sedih menyelubung suasana. Syukur juga kerana kesemua anak pupu sekali saya berada di sisi ibu mereka ketika menghembuskan nafas terakhir.

Ya, semalam 5hb Jun saya berada di dua suasana yang bertentangan. Yang gembira dan yang sedih. Bagi yang baru mendirikan rumahtangga, Siti Fatimatuz’zahra bte Haji Md Shahrir (Cits) dan suaminya Muhammad Rafie Haji Abdul Wahid, didoakan semoga bahagia menempuh penghidupan baru. Dan kepada Allahyarham Dayang Hajah Halimah bte Abu Bakar di doakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang salihin.

Wajah pengantin perempuan, Siti Fatimatuz'zahra (Cits) bersama ibu Hajah Anidah tenang menunggu majlis pernikahan

 Apa yang difikirkan pengantin lelaki ini? Sabar Mohammad Rafie. Gementarkah hati menunggu bakal mertua sendiri menikahkan ?

Perbincangan wali  Haj Md Shahril dengan wakil majlis YBPehin Laila Wijaya Dato Seri Setia Awang Abdul Aziz.

Saturday, April 14, 2012

CERITA ORANG GILA


Ini kerja orang gila. Berabis dia padlock selipar Jepun ani. Kalau orang mau curi angkat saja dengan kunci-kuncinya atu.


Gambar ani cuma ilustrasi saja. Ada juga orang gila bermuka bersih. Otaknya saja bercelaru.



Dua minggu lalu saya melekat di hadapan televisyen menonton sebuah filem dari jiran seberang yang mempunyai tema orang gila. Mulanya saya hendak mengubah saluran tapi terus menontonnya bila melihat artis-aris berjaya melakukan pelbagai watak orang gila. Ada yang gila menjadi koboi dan samborono menembak teman-temannya dengan pistol air. Ada yang gila ketawa. Ada yang terus-terusan menangis. Ada yang gila memberi salam pada siapa juga yang lalu di hadapannya. Bukan manusia saja diberi salam malah juga benda sehingga semasa ketika hendak makan dia memberi salam pada makanan sebelum menjamah makanan tersebut.
Ada seorang pemuda yang baru dimasukkan ke dalam pusat pemuliahan itu. Dia tidak gila tapi menghadapi tekanan fikiran bercelaru. Maka pelbagai perbuatan yang aneh-aneh berlaku di pusat pemulihan itu mengikut pandangan si anak muda berkenaan. Pusat orang senteng itu ditadbir oleh seorang doktor wanita. Biasalah, bila menghadapi kerenah orang gila dia menggunakan pendekatan saikologi. Kadang-kadang keras, kadang-kadang lembut.
Pada suatu hari doktor bertanya kepada seorang penghuni kenapa dia menangis tidak berhenti-henti. Maka si senteng itupun menjawab dalam keadaan sidak-sidak. Dia mengeluarkan satu tulang ikan dari poket bajunya. Isi ikan itu sudah di makan oleh temannya, hanya tinggal tulang saja. Katanya dunia ini tidak adil. Doktor pentadbir mengajukan soalan: apa yang dimaksudkannya dunia tidak adil. Maka si senteng gila menangis pun berhujah. Dunia ini betul-betul tidak adil. Lihatlah ikan ini, katanya. Sudahlah ditangkap oleh manusia dan dikeluarkan dari persekitarannya dalam air, di bunuh pula. Yang malangnya, katanya digoreng lagi, dan isinya dimakan pula hingga tinggal tulang temulang. Dunia sungguh tidak adil, katanya lagi.
Saya yang menonton tersenyum mendengar hujah itu dan cuba menganalisa kata-kata si senteng tadi. Sekali imbas benar juga kata-katanya itu. Kemudian fikiran saya berubah bila doktor pengetua pusat berhujah. Kau jangan menangis lagi. Itu resam dunia. Kita manusia menakluki ikan untuk dijadikan makanan kerana ikan amat lemah dibandingkan dengan manusia. Hujah pengetua pusat orang senteng bersama peghuninya membuat saya berfikir: Dalam senario di luar pusat pemulihan itu, betulkah orang kuat menindih dan menguasai orang lemah?
Nah, lihat kiri kanan awda. Ada kalanya awda terasa putus asa kerana pandangan dan pendapat awda mudah diketepikan hanya kerana awda tidak kuat dan tidak mempunyai kuasa.

Friday, April 13, 2012

MAKANAN OH MAKANAN


Putumayang atau Kutumayang. Apapun namanya makanan ani sedap. Atu nyaman !!

Sedap-sedap sekali makanan karang ani. Di suatu pihak radio dan televisyen tempatan dan luar negeri menguar-uarkan pelbagai jenis makanan yang mengandungi pelbagai jenis cream yang membuatkan selera mau mencubanya. Di satu pihak pula ada rancangan kesihatan yang diterbitkan oleh teman saya Salmi Ibrahim mensyorkan itu ini tentang permakanan seimbang. Bila mendengar rancangan atu seolah-olah tidak ada lagi peluang merasai makanan beranika rupa da rasa (?) yang dikemukakan dalam rancangan sajian dan masakan. Apa lagi bila disampiri penyakit orang tua-tua…. Kecing manis. Nasib baik jua saya tidak dihampiri oleh penyakit pakej. Begitupun pagi-pagi mesti menelan lima biji pil pencegahan kecing manis, darah tinggi dan pencairan darah.

Sunday, April 8, 2012

PERTANDINGAN DRAMA KTM PERINGKAT SARINGAN


pengundian bagi giliran persembahan di peringkat akhir bagi sekolah yang berjaya di peringkat saringan. Ada lapan buah sekolah yang berjaya masuk ke peringkat akhir.


Kanak-kanak mudah dibentuk. Kegiatan luar seperti mengikuti pertandingan drama ini adalah kegiatan yang menjadikan minda mereka cergas dan tangkas.


Saya menjadi ketua hakim Pertandingan Drama Sketsa Kumpulan Tunas Mekar 2012 pada 4hb dan 5hb April yang lalu. Lapan pasukan dipilih ke peringkat akhir yang akan diadakan di Dewan Raya pada bulan Jun akan datang.

Acara yang diadakan di Sekolah Rendah Rimba 2 itu memperlihatkan keupayaan kanak-kanak berlakun bagi menyampaikan maksud cerita yang diolah dari skrip ditulis oleh para guru.

CUCU BARU


Ini wajah cucu baru kami, anak kecil perempuan. Belum ada nama. Tarikh lahirnya 7hb April 2012.


Enak tidur di pangkuan neneknya.


Saya sudah hendak beristirehat malam kemarin bila diberitahu Masdinah, isteri anak saya Ilham Hidayat, melahirkan anak. Girigitan hati untuk menjenguk cucu terbaharu itu. Esoknya pagi-pagi lagi saya dan isteri sudah berada di hospital. Saya bisikkan ayat Al-Qadar ke telinga cucu atu dan mencecahkan madu ke mulutnya. Mudah-mudahan ia akan menjadi insan cemerlang untuk diri, keluarga, ugama dan bangsa.


Sekarang saya dan isteri mempunyai enam orang cucu. Semuanya perempuan. Alhamdulillah.

Friday, March 30, 2012

MEROSAKKAN BAHASA



Kasut jahit atau jahit kasut?


Saya heran kenapa bahasa Melayu sering diterbalikkan. Cuma dua perkataan saja. Itupun salah. Gambar ini saya ambil di sebuah kedai kampung. Mungkin kedai orang Melayu tapi yang berniaga orang India. Kalau awda terganggu dengan kesalahan ini jangan geleng kepala tanda tidak setuju. Bahasa badan ini tidak pernah dimegerti. Bagi orang Melayu geleng kepala maknanya tidak. Tapi bagi yang tulis iklan ini geleng kepala bermakna ya.
Apa kata pengeluaran sijil rampaian perniagaan mensyaratkan pendatang (peniaga) mesti tahu bahasa rasmi negara ini.

Thursday, March 29, 2012

REZEKI SEBAGAI PENULIS



Jamuan berbuka puasa tahun lepas kerana merai'kan penerbitan rancangan yang diterbitkan oleh Dayang Hajah Aminah Haji Jaafar. Tahun lepas saya menulis drama Sayang Diri Sayang Hati.


Saya mendapat SMS dari Penerbit Sentuhan Minda mengatakan rancangan yang saya tulis untuk siaran harian di Nur Islam FM dirihatkan dulu mulai bulan April ini. Kata Penerbit, dirihatkan dulu dan diganti dengan rancangan lain. Kalau rancangan pengganti kurang popular baru tah menyambung Sentuhan Minda.

Sebenarnya untuk menjadikan sebuah rancangan itu popular di kalangan pendengar bukan kerja mudah. Mesti fokas dan membuat “positioning.” Tapi begitulah keadaannya. Kata putus di bawah kawalan Penerbit. Walau macam manapun rancangan-rancangan khas seperti Hari Radio dan hari-hari kebesaran Islam masih saya diberi lampu hijau untuk menulis.


Ada hikmah di sebalik memberi rihat Sentuhan Minda ini. Bolehlah saya menunduki dan menulis rancangan terbitan televisyen Serambi Hidayat. Rancangan bersiri berbentuk drama ini bakal saya tulis skripnya dan disiarkan pada bulan puasa. Penerbitnya ialah Dayang Hajah Aminah Jaafar.


Terima kasih kepada Hajah Shahrina, Penerbit Sentuhan Minda dan Hajah Aminah, Penerbit Serambi Hidayat kerana mereka saya mendapat rezeki dari hasil menulis.

TAKLIMAT PERTANDINGAN DRAMA KTM 2012


Cikgu Hajah Roslin, Ketua Bahagian Projek Sketsa Drama Kumpulan Tunas Mekar 2012 menyampaikan penerangan.


Semua mata menghala ke kotak undian. Ada yang kena bakal membuat persembahan pada tarikh 4hb April dan ada juga 5hb April 2012. Cikgu-cikgu dari Daerah Temburong ini tentu mengharapkan nombor bilangan yang memudahkan lojestik pembawaan anak-anak murid dari daerah mereka.




Nah, untung giliran sekolah ku ani. Begitu luahan dari cikgu pengawas ini setelah mengeluarkan bola undian dari kotak.




Jangan tah watir. Awal akhir membuat persembahan jua. Kalau latihan sudah mantap, di tarikh dan waktu manapun yang diaturkan, inda kan menjadi soal.


Saya dilantik menjadi Ketua Hakim Pertandingan Drama Sketsa Kumpulan Tunas Mekar (KTM) bagi tahun 2012. Bersama saya ada lagi dua orang hakim. Pada 28hb Mac diadakan pertemuan dengan guru-guru sekolah yang mengawasi kumpulan mereka dan mengundi giliran persembahan. Pertandingan saringan akan diadakan pada 4hb dan 5hb April 2012.
Majlis yang diadakan oleh Bahagian Bimbingan dan Kounseling Jabatan Sekolah- Sekolah Kementerian Pendidikan di Jalan Ong Sum Ping juga mendengar taklimat dan soal jawab mengenai sudut-sudut penghakiman.



Selamat bertandingan kepada 15 buah sekolah dari seluruh negara yang ikut serta.

MALAM KELUARGA GREAT EASTERN


Siti Hana, life planner yang serba boleh. Malam itu ramai teman-teman mendapat kejutan dari persembahan menghiburkan: menari, menyanyi dan melawak.


Salah seorang penghibur pro malam itu yang membuat persembahan secara live. Acara juga hidup dengan beberapa orang life planner yang memperlihatkan kebolehan mereka dalam bidang nyanyian.



Life planner "bob" bersama gadis-gadis manis dari bahagian pentadbiran GE. Kalau mahu jumpa mereka pergilah ke ofis Great Eastern di Kiulap.


Pelbagai aksi kandid sebahagian yang hadir. Selain nyanyian, tarian kita juga ada games.



Sudut yang paling disukai dimana di sajikan pelbagai juadah. Selamat Maju Jaya Great Eastern Brunei.


27hb Mac 2012 yang lalu saya menghadiri Malam keluarga Great Eastern. Saya sebagai life planner. Biasalah malam ini malam penganugerahan bagi mereka yang berjaya dalam pelbagai kategeri bidang insuran hayat. Ada juga diadakan teket bertuah. Saya berjaya malam itu mendapat teket yang bernilai seratus ringgit. Katanya untuk belanja makan. Mewah tu.


Malam itu mengingatkan pada diri saya. Sekarang sudah hampir penutup bulan Mac. Sepanjang tiga bulan pertama saya terlalai untuk mendapatkan klien kerana kesibukan dalam penerbitan drama TV dan juga menghadiri MMN. Maknanya saya terpaksa berusaha keras untuk catch up apa yang tertinggal.

Thursday, March 22, 2012

AMPIT KUAH


Santai-santai Dato Ibrahim mengajak kami minum pagi. Kali ini di restoran Jerudong.


Kuah kari ayam menyelerakan. Apa lagi bila perut kosong. Ganap dengan kelupis.



Nah ani kelupisnya bersama daging rendang. Kami order tiga round. Baru tah patut menolak.



Kueh putu Mayang. Banjir dengan kuahnya.


Pagi tadi Brigedier General (Rtd) Dato Haji Ibrahim mengajak minum pagi. Ia ani malar belanja. Sanang-sanang adalah panggilan telefonnya. Kali ani kami minum di restoran Jerudong. Mission kami ialah untuk makan kueh Brunei. Rumah Dato Ibrahim dekat saja. Rumahnya di Jerudong. Saya kena setengah jam lebih awal bertolak dari Lambak Kanan. Sementara Haji Judin dan Haji Deli juga mengambil masa yang sama. Bis durang sekereta. Istilah kami seperahu. Setengah jam dari Belait! Haji Deli pakai Mesedesnya. Katanya bila sudah meluncur laju di highway ia pakai auto drive. Edidih, macam kapal terbang guna auto pilot!

Seperti biasa inda ada perkara mustahak dikurapakkan. Sekadar sembang-sembang kosong. Dan becali. Kami mendengar khabar bagas sekolah kami Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh mendapat kejayaan terbaik dalam peperiksaan SPM. Nombor satu di Perak dan salah sebuah sekolah berasrama teratas di seluruh Malaysia.

Megah jua rasanya. Ampit kuahnya jaditah. Ampit nama saja walaupun alam sekolah atu sudah lebih lima puluh tahun kami tinggalkan. Kami dihantar Kerajaan tahun 1962. Karang ani kami sudah pencen. Semoga Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) terus bersinar.

Wednesday, March 21, 2012

KURAPAK SASTERA


Sebahagian peserta tua dan muda, ceramah yang diadakan di Tingkat 1 Dewan Bahasa dan Pustaka.


Peserta wanita tekun menyemak kertas kerja yang diedarkan.




Antara pengiat sastera termasuk pensyarah universiti.




Pembentang kertas kerja Profesor Dr Sahlan dan Dr Noriah. Pengerusinya saudara Khamis.




Saya bersama penulis novel Dato Haji Muslim dan penulis Awang Chong Ah Fook



Sudah hampir tiga bulan saya tidak memasukkan apa-apa tulisan dalam blog ini. Sekarang saya menghdapai masalah apa patut saya dulukan kerana saya mempunyai banyak bahan. Fikir punya fikir saya masukkan dulu kegiatan yang saya ikuti hari ini. Petang tadi saya menghadiri ceramah sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka anjuran Asterwani. Kegiatan itu mengupas novel baru tulisan Dato Paduka Haji Muslim Burmat bertajuk Di Sini Pohon-Pohon Berlari. Pemakalahnya ialah Profesor Dato Dr Haji Sahlan Mohd Saman dan Dr Norian Taslim kedua-duannya pensyarah dari UBD.