Thursday, February 21, 2008

Katak Atas Tempurung - Bendera

Bendera besar Negara Brunei Darussalam sudahpun dinaikkan. Itu tandanya perayaan sambutan Hari Kebangsaan sudah bermula. Cuba langui, bolehkah awda membaca aksara dalam tulisan jawi pada panji-panji yang terletak di tengah bendera. Banyak yang tau sebut warna bendera tapi kurang maklum apa yang tertulis. Itu dalam bahasa Arab yang bermakna “sentiasa berkhidmat dengan panduan Allah”

Maka itu bendera tidak harus dicuai-cuaikan. Pagi-pagi bila saya melalui jabatan-jabatan kerajaan saya melihat pembantu pejabat memasang dan menaikkan bendera. Bendera itu disahan dan tidak diampaikan. Berlainan dengan pekerja kontrek yang memasang bendera sepanjang jalan. Ada yang tidak hormat. Mungkin tokeynya tidak memberi penerangan. Atau sudah diberi penerangan tapi masih jua tidak peka tentang menghormati bendera. Betul, bendera harus dihormati oleh semua peringkat orang. Buruhkah dia atau pegawai kanan pejabat; pengurus atau ceo badan korporat. Bendera adalah lambang negara. Bendera Brunei dikibarkan di bangunan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pengiktirafan bahawa negara ini sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Bendera Brunei diperkenalkan pada 29 September 1959 semasa Brunei menjadi negeri protektorat United Kingdom dan dikekalkan apabila Brunei mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984. Lambang negara ini terdiri daripada bulan sabit (lambang Islam), dicantum dengan payung obor-obor (lambang kerajaan di bawah seorang raja). Di bawah payung ada sayap yang melambangkan keadilan, kedamaian, kemakmuran dan keamanan. Di sebelah kiri dan kanan terdapat sepasang tangan.
Sekarang kita boleh lihat bendera besar, bendera bersais rasmi dan bendera kecil yang diletakkan pada kenderaan. Semua ini adalah cara untuk menimbulkan semangat patriotisma. Ini penting supaya perasaan kenegaraan itu tidak luntur. Bukan tidak disedari dari pengalaman negara-negara jiran di mana golongan baru lebih mementingkan diri dan tidak banyak berminat dalam hal-hal yang tidak menawarkan ganjaran. Ada juga golongan yang taksub mengejar kekayaan kebendaan dan melupakan nilai-nilai hidup murni. Ini yang ditakuti kerana tanpa kekentalan semangat kenegaraan, sesebuah negara mudah rapuh. Ironinya sikap ini sebahagian besar berpunca dari kemakmuran negara; kemakmuran yang dicurahkan kepada mereka sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1984.
Hebahan supaya mengebarkan bendera kebangsaan ini sudahpun disampaikan melalui media elektronik dan media cetak. Itu adalah hebahan dan bukan rayuan atau desakan. Kata orang sebagai soft reminder. Maklumlah bila sibuk-sibuk, memasang tiang bendera itupun kadang-kadang dirasakan berat. Adalah lebih baik ia disedari dari dalam diri supaya pemasangan bendera juga sempurna. Bukan ala kadar; menyangkutkannya pada batang buluh yang bengkok atau bendera itu sudah cawir warnanya. Mempunyai bendera yang bersih dan cantik tentu membanggakan. Jangan biarkan bendera jadi kabur dan tenggelam warnanya oleh asap kapal atau compang-camping setelah lama berhujan berpanas.
Kalangan kanak-kanak dan orang muda perlu banyak dedahan supaya mereka faham apa makna kemerdekaan. Jika mereka kurang diberi ruang untuk mencari sendiri makna kemerdekaan, sukar nanti dilentur bila sudah mereka menjadi buluh. Masyarakat mesti tahu maklumat sebenar keadaan masa lampau supaya mereka mudah menghargai sepenuhnya masa depan mereka.
Hari kebangsaan merupakan masa untuk mengenang sejarah, mem -perkukuhkan semangat kenegaraan dan cintakan tanah air. Setiap warga memperbaharui azam untuk terus menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan negara di masa depan. Perjuangan mengisi kemerdekaan adalah tanggungjawab semua rakyat.
Alaf baru menyaksikan ledakan teknologi moden yang menukar cara hidup masyarakat. Dulu orang muda duduk berkumpal di kepala tangga sambil memerhati genarasi tua menebar rambat atau meniti pukat. Perolehan hari itu adalah untuk mengisi perut hari itu juga. Kini orang muda duduk-duduk di kafe sambil santai menghadap skren komputer pangku mengharungi dunia. Ini zaman ict. Ini zaman tanpa sempadan. Mengawal manusia zaman ini lebih komplekated dari zaman sebelumnya.
Merdeka bukan hanya memerdekakan fisikal. Merdeka juga bererti memerdekakan minda. Bebas mengharung dunia tapi masih bernaong dalam calak budaya dan susila kehidupan orang Brunei. Selamat menyambut Hari Kebangsaan.
Dari teman tuan,
Haji Hussain Rahman, Katak Atas Tempurung.

No comments: